Pengeluar perabot, peruncit perlu rebut peluang eksport
KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Penggiat industri perabot Malaysia perlu bersedia untuk peluang mengeksport pelbagai jenis perabot ke Amerika Syarikat (AS), selepas Covid-19.
Thomas Russell, editor kanan harian dalam talian AS, Furniture Today, berkata pengeluar dan peruncit di Malaysia perlu mengekalkan kerjasama yang kukuh dengan pelanggan mereka di AS serta memantau perkembangan dan situasi terkini di AS.
“Beberapa negeri di AS akan dibuka semula bermula 1 Mei, dan pesanan dihantar semula.
“Memandangkan Malaysia mempunyai barisan produk yang kukuh untuk kategori seperti pejabat di rumah, ruang tamu dan ruang makan, ini merupakan peluang untuk berkembang,” katanya dalam sesi webinar, ‘Post COVID-19: The Change in Global Furniture Landscape: What is Ahead?’, anjuran Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF).
Russell juga berkata penting untuk pengeluar dan peruncit untuk mengekalkan tenaga kerja yang kukuh.
“Terus memberi tumpuan kepada kekuatan anda dan mengurangkan kelemahan. Memahami bagaimana rekaan baharu dapat membantu orang lain bekerja dengan lebih baik dan bersedia untuk pasaran kembali,” katanya.
Sementara itu, Wang Ming Liang, Pengasas dan Pengarah Shanghai Sinoexpo Informa Markets International Exhibition Co. Ltd berkata susulan persekitaran ekonomi China mula pulih, bekalan bahan mentah turut dijangka disambung semula.
Bagaimanapun, Wang berkata perniagaan yang lebih besar dan lebih mampan akan dapat terus berkembang, tetapi kos buruh yang lebih tinggi dijangka menyebabkan perniagaan yang lebih kecil ditutup.
“Trend kini ialah dalam talian. Misalnya, IKEA China, yang melancarkan platform jualan dalam talian pada Mac, menyaksikan jualan dalam taliannya meningkat dua kali ganda daripada jualan luar talian; ini menunjukkan membeli-belah dalam talian menjadi lebih popular, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
“Selain itu, ramai penganjur turut mengadakan pameran dalam talian menggunakan pelbagai platform, termasuk aplikasi mudah alih seperti WeChat yang sesuai untuk perniagaan, profesional dan pengguna,” kata Wang.
Dalam perkembangan lain, Helmut Max Merkel, Ketua Pengarang portal berita untuk industri perabot Jerman, MÖBELMARKT, berkata situasi industri perabot di Eropah, terutamanya di Jerman, masih tidak pasti.
Beliau berkata kebanyakan perniagaan masih tidak dibenarkan untuk beroperasi dan sukar untuk menjangka keadaan Covid-19.
“Susulan pakar mengunjurkan kemerosotan dalam pertumbuhan ekonomi, banyak pekerjaan, terutamanya dalam industri pelancongan dan hospitaliti, akan terjejas, dan ini akan memberi impak kepada permintaan terhadap perabot.
“Harapan kami ialah penduduk tempatan dapat berbelanja lebih banyak untuk keperluan domestik, termasuk perabot, dan pembinaan perumahan akan menjadi stabil yang dapat membantu industri,” kata Merkel.
-BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Oh! Semput
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment