Hi! Welcome Back and Stay Tune! Birokrasi punca wanita sakit, anak OKU bergantung hidup bantuan RM400 sebulan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Birokrasi punca wanita sakit, anak OKU bergantung hidup bantuan RM400 sebulan


Tan menunjukkan surat yang diterima memaklumkan beliau tidak lagi layak menerima Bantuan Orang Tua.
PETALING JAYA: Ketika pihak berkuasa berusaha menangani definisi kemiskinan yang baru dan lebih tinggi, seorang warga emas dengan 2 anak kelainan upaya terpaksa hidup dengan bantuan RM400 sebulan disebabkan peraturan dan kerenah birokrasi.
Beliau mungkin akan kehilangan bantuan itu.
Wanita yang mempunyai masalah pendengaran itu menerima bantuan kebajikan sejak 2008 – tetapi ia dihentikan selepas anak perempuannya mendapat pekerjaan sebagai pelayan dengan gaji RM1,100 sebulan.
Bagaimanapun, beliau diberhentikan kerja akibat penutupan perniagaan bagi membendung penularan Covid-19.
Kini, mereka hidup dengan bantuan kebajikan RM400 sebulan untuk OKU yang diterima anaknya yang menghadapi masalah pembelajaran, tetapi wanita itu bimbang jumlah itu akan dikurangkan kerana penganggur tidak layak mendapat elaun lebih tinggi.
Tan (bukan nama sebenar) memberitahu FMT, seorang jirannya menghantar e-mel kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pihaknya dan memaklumkan failnya sudah ditutup serta beliau perlu menghantar permohonan baru untuk skim bantuan lain.
Ia memerlukan tandatangan ketua kampung dan tanpa pengangkutan, beliau berdepan kesukaran untuk melengkapkan permohonannya. Tambahan, beliau mempunyai masalah pendengaran dan tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris, serta menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan pegawai jabatan.
FMT sedang menunggu tindak balas daripada JKM.
Tan berkata, gaji RM1,100 sebulan yang diterima anak perempuannya menaikkan pendapatan keluarga melepasi had RM980, tahap pendapatan isi rumah yang digunakan untuk menentukan tahap kemiskinan.
Mac lalu, wanita itu menerima sepucuk surat memaklumkan beliau tidak lagi layak menerima Bantuan Orang Tua.
Empat bulan kemudian, Jabatan Perangkaan mengumumkan garis kemiskinan dinaikkan daripada pendapatan isi rumah bulanan RM980 kepada RM2,208 yang menyebabkan lebih 400,000 keluarga berada di bawah paras kemiskinan.
Minggu lalu, ahli Parlimen diberitahu agensi persekutuan dan kerajaan negeri diberikan masa 5 bulan untuk mengkaji semula dasar pembasmian kemiskinan mereka berdasarkan garis kemiskinan baru negara serta mengenal pasti kumpulan sasar untuk program mereka.
Tetapi, Tan dan anaknya kini hanya bergantung hidup kepada RM400 sebulan daripada bantuan OKU.
Anak perempuannya kehilangan kerja sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.
“Pada permulaan PKP, saya diminta tidak datang kerja. Tetapi selepas keadaan beransur pulih, majikan saya kata perniagaan tidak baik dan saya tidak perlu datang kerja lagi. Saya tidak dapat gaji sejak PKP,” kata anak perempuan Tan.
Tan kini bimbang jika anak perempuannya tidak dipanggil bekerja semula, beliau akan dianggap menganggur dan bantuan mereka dikurangkan.
Selain masalah pendengaran, Tan turut menghidap kanser darah kronik yang jarang berlaku dan masalah kesihatan lain yang memerlukan rawatan. Untuk mendapatkan rawatan adalah sukar.
Tan berkata, beliau pernah “dimarahi” kerana mahu berjumpa doktor berbahasa Cina.
Beliau mempunyai seorang anak lelaki autistik yang tinggal di sebuah institusi kendalian sebuah gereja sejak 2015. Bayaran sebanyak RM900 sebulan ditanggung melalui sumbangan daripada ahli keluarga lain.
Disebabkan masalah kewangan mereka, Tan terpaksa mengehadkan penggunaan bantuan pendengarannya supaya bateri bertahan lebih lama dan mengurangkan jumlah makanan.
“Biasanya, kami makan lebihan makanan dari tempat kerja anak perempuan saya, tetapi sejak PKP, kami masak makanan sendiri, biasanya nasi, sayur dan telur, hampir tidak cukup untuk 3 kali makan sehari. Buah-buahan ialah kemewahan. Untuk menjimatkan wang, saya berkongsi sebiji epal dengan anak perempuan saya.
“Sekali-sekala kami beli ayam dan makannya selama beberapa hari. Kami tidak beli daging babi atau ikan, ia terlalu mahal. Semuanya mahal.” - FMT


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.