Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pemilik di Kg Baru tak mahu lepaskan tanah mereka - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pemilik di Kg Baru tak mahu lepaskan tanah mereka


PETALING JAYA: Biar apa pun cadangan kerajaan mengenai pembangunan semula Kampung Baru pada masa depan, sebahagian besar pemilik tanah di situ bertegas tidak mahu menjual lot mereka kepada mana-mana pihak, kata seorang wakil penduduk.
Ahli Jemaah Malay Agricultural Settlement (MAS), Raden Salikun Mui, berkata hasil perbincangan dengan pemilik dan waris baru-baru ini mahu kerajaan menawarkan pajakan bagi suatu tempoh tertentu berbanding membeli terus lot harta mereka.
“Pemilik mahu Kampung Baru dibangunkan tetapi kebanyakan mereka tidak setuju dengan rundingan sedia ada,” katanya kepada FMT. “Mereka tidak mahu tanah dipindah milik, sebaliknya mencadangkan supaya kerajaan memajak tanah mereka bagi tempoh 50 atau 60 tahun.”
Isu pembangunan semula Kampung Baru kembali diperkatakan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, minggu lalu berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) diarah memaklumkan kepada pemilik mengenai perkembangan terkini pelan pembangunan Kampung Baru 2019.
Raden Salikun Mui.
Perkembangan ini selepas PKB memaklumkan pelan itu amat sukar dilaksanakan kerana hanya 61% pemilik bersetuju walaupun ditawarkan RM1,000 sekaki persegi, iaitu RM850 dalam bentuk tunai dan RM150 dalam bentuk saham di syarikat bertujuan khas. Menurut PKB, pelan pembangunan semula itu membabitkan kos anggaran pembelian tanah mencecah RM7.4 bilion, dan kos lain sehingga hampir RM10 bilion.
Annuar tidak mahu pemilik tanah yang bersetuju berharap projek berkenaan diteruskan, dan berkata kerajaan akan merangka pelan baharu bagi pembangunan semula Kampung Baru, yang kini berusia hampir 120 tahun, membabitkan kira-kira 846 plot atau 89 hektar yang dimiliki oleh 5,374 pemilik atau waris.
Dikenali sebagai Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 (PIPKB 2040), inisiatif yang disemak itu dijangka menyaksikan kawasan pembangunan dibahagikan kepada grid lebih kecil sebelum pembangunan lanjut diteruskan.
Rancangan itu, mirip pelan induk yang diumumkan kerajaan pada 2015, bakal mengimbangi Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru 2020 (PTPKB 2020) yang dikemukakan pentadbiran lepas.
Raden berkata ia selaras dengan apa yang disuarakan penduduk selama ini yang mahu kawasan berkenaan dibangunkan secara berperingkat.
“MAS setuju jika Kampung Baru dibangunkan secara berfasa,” katanya, menyifatkan melaksana projek secara sekali gus “kerja gila”.
Bagaimanapun, dalam keghairahan pelbagai pihak merencana pembangunan semula Kampung Baru, beliau mahu kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selesaikan dahulu masalah yang sekian lama membelenggu penempatan itu.
“Dari dulu hingga sekarang masalah kesesakan, jalan sempit, dan longkang tersumbat tidak pernah dipandang serius oleh pihak berwajib.
“Sebelum teruskan projek pembangunan ini apa kata kerajaan, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selesaikan dulu masalah prasarana dan pusaka. Baru boleh canang nak bangunkan semula Kampung Baru.”
Mengenai cadangan Fasa 1 PIPKB 2040, membabitkan pembangunan runcit di 4 atau 5 lot tanah runcit di Jalan Sultan Ismail hingga Jalan Campbell dan Dang Wangi, Raden berkata ia diterima baik penduduk setempat.
“Mereka nak tengok dulu kejayaan projek fasa 1 ini. Jika ia berjaya, rundingan fasa seterusnya mungkin akan dipertimbangkan,” katanya.
“Namun, projek ini lama lagi nak mula. Banyak lagi yang perlu diperhalusi dan dimuktamadkan,” katanya.
Raden juga memaklumkan MAS, PKB, DBKL, dan kementerian akan duduk semeja dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju terbaharu pembangunan semula Kampung Baru.
Berdasarkan carian FMT di beberapa laman jual beli hartanah, projek hartanah di sekitar Kampung Baru dijual pada harga antara RM1,400 hingga RM1,700 kaki persegi bergantung kepada jenis kediaman.
Sementara itu, jurunilai hartanah berdaftar, Kit Au-Yong, berkata nilai hartanah di Kampung Baru tidak akan menyusut malah akan kekal berada paras sedia ada malah mampu melonjak lebih tinggi bergantung kepada pemaju atau projek.
“Nilai tanah di Kampung Baru banyak dipengaruhi oleh dasar kerajaan. Namun, pada dasarnya nilai hartanah di sini tidak akan turun kerana ia sentiasa mempunyai permintaan lebih-lebih lagi perkampungan ini terletak di ‘lokasi emas’.”
Namun, beliau berpendapat, kerajaan perlu terus mengadakan rundingan dengan pemegang amanah di kawasan terbabit jika benar-benar mahu memberi nilai tambah kepada kawasan sekitar.
“Rundingan perlu diteruskan, berjaya atau tidak kita lihat nanti.”
Pada dasarnya, Kampung Baru boleh dibangunkan dengan minimum 30,000 kaki persegi atau 0.68 ekar, berdasarkan kriteria yang ditetapkan kerajaan bahawa sesuatu kawasan itu mesti dibangunkan dengan nisbah plot 1:10.
Secara umumnya, 1 lot Kampung Baru berkeluasan sekitar 4,000 hingga 5,000 kaki persegi sementara maksimum hingga 16,000 kaki persegi. Justeru, 1 projek memerlukan sekitar 4 atau 5 lot tanah bagi memenuhi syarat berkenaan. - FMT


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.