Polis tak dapat tentukan bila Indira dapat jumpa anak bongsu Prasana
KUALA LUMPUR: Polis belum dapat menentukan bila bekas guru tadika, M Indira Gandhi boleh disatukan dengan anak perempuannya Prasana Diksa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.
Huzir yang mengetuai pasukan khas mengesan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan Prasana, berkata demikian kepada Bernama semasa ditanya mengenai harapan wanita itu disatukan dengan anak bongsunya menjelang Deepavali pada November ini.
“Beliau yang memberikan sasaran sehingga Deepavali, (tetapi) kami tidak memberikan sasaran itu kepadanya. Kami telah mengadakan perjumpaan dengannya (Indira) dan beliau berpuas hati, jadi kami akan berusaha menyelesaikan isu ini.”
Semalam, Indira bersama peguamnya, Sachpreetraj Singh Sohanpal, Ambiga Sreenevasan dan Pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat), Arun Dorasamy ke ibu pejabat polis persekutuan itu untuk menemui Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Bagaimanapun, Indira memaklumkan Hamid tidak hadir perjumpaan itu kerana perlu menghadiri mesyuarat penting di Putrajaya dan diwakili Huzir.
Katanya, mesyuarat itu berhasil dan mereka sedia bekerjasama dengan polis berhubung perkara itu.
“Kami dimaklumkan pasukan khas itu ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19 dan kami faham…mereka (polis) turut memaklumkan kepada kami dapatan dan cabaran dihadapi pasukan khas itu setakat ini.
“Kami berharap kami dapat bekerjasama dengan polis, mengadakan lebih banyak perjumpaan untuk bertukar-tukar maklumat dan seterusnya dapat bersatu dengan anak saya, diharapkan menjelang Deepavali (13 Nov) tahun ini.”
Indira berkata. Prasana akan berusia 12 tahun dan memerlukan bimbingan serta penjagaan seorang ibu untuk memasuki alam remaja.
Prasana berusia 11 bulan ketika diambil Riduan pada 2009 yang memeluk Islam sebelum menukar agama 3 anaknya tanpa izin Indira.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Ketua Polis Negara ketika itu, Khalid Abu Bakar menangkap Riduan dan memastikannya mematuhi perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh 2 tahun sebelum itu untuk menyerahkan Prasana kepada ibunya.
Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama 3 anak Indira, termasuk Prasana terbatal dan tidak sah. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment