Hi! Welcome Back and Stay Tune! Calon bebas dulu dan sekarang - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Calon bebas dulu dan sekarang


 

Kemunculan calon bebas bertanding pada pilihan raya bukan perkara baru.

Malangnya calon bebas kerap dikaitkan dengan unsur negatif walaupun tidak boleh dinafikan ada calon bebas yang benar benar ikhlas dan jujur dalam perjuangan mereka.

Ada calon bebas yang asalnya bukan calon bebas. Mereka anggota parti politik, lazimnya pembangkang dan bertanding pilihan raya atas tiket parti. Mereka menang lalu bergelar ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri.

Tetapi tidak lama kemudian keluar parti dan isytihar diri mereka ahli Parlimen atau Adun bebas. Berkecuali tetapi menyokong parti pemerintah. Ini pernah terjadi di Perak pada 2009 sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu tumbang.

Lantas kedengaran pelbagai andaian dan tuduhan terhadap 3 Adun yang berpaling tadah itu. Tuduhan tinggal tuduhan. Tentu ramai masih ingat episod itu. Tidak perlu dihurai disini.

Satu lagi “golongan” calon bebas ialah mereka yang daripada asal bukan anggota parti politik. Calon bebas “ori”. Sejak kebelakangan ini kita lihat ramai calon bebas menyertai pesta demokrasi negara sehingga menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.

Dulu pertandingan 3 penjuru sudah cukup untuk membuat ramai buka mata. Kini pertandingan 5 penjuru – malah lebih daripada itu pun ada. Lihat sahaja Pilihan Raya Negeri Sabah September lalu. Pilihan raya di Semenanjung sebelum ini pun ditandingi ramai calon bebas.

Rata-rata anggapan umum ialah calon bebas terbabit muncul untuk memecahkan undi. Ada yang dituduh dibiayai pihak tertentu. Seperti disebutkan tadi dikaitkan dengan unsur negatif. Benar atau fitnah tidak dapat dipastikan.

Seperti dikata tadi juga, ada calon bebas yang ikhlas dan jujur berjuang. Mereka percaya akan perjuangan sendiri bukan perjuangan parti politik. Mereka yakin perjuangan mereka boleh membantu rakyat. Lantas mereka korbankan wang ringgit dan masa demi bertanding pilihan raya.

Pun begitu ramai yang tewas. Mengapa? Jawapannya mudah. Calon bebas tidak punya dana besar dan jentera pilihan raya. Mereka bergantung kepada saudara-mara dan sahabat handai membantu secara sukarela untuk berkempen dan meraih undi. Pendekkan cerita pergerakan calon bebas terhad.

Pada hemat saya calon bebas yang paling cemerlang ialah Mohd Jabar Yusof atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jabar. Beliau berjaya 3 kali atas tiket calon bebas.

Dengan dana terhad (wang sendiri hasil jualan tanah miliknya) dan dibantu kumpulan kecil sukarelawan, Cikgu Jabar menang kerusi DUN Batu Laut di Selangor pada pilihan raya 1972, 1978, dan 1982. Hebat.

Kita tidak lupa juga pada 1988, Shahrir Samad akibat sengketa dalam Umno bertindak keluar parti dan melepaskan kerusi Parlimen Johor Bahru yang sandangnya. Sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya kecil diadakan.

Pada pilihan raya yang dijalankan itu Shahrir bertanding semula atas tiket bebas. Beliau menang. Tindakan Shahrir itu untuk membuktikan beliau tidak terhutang budi kepada Umno untuk mencipta kemenangan.

Apa pun, beliau ketika itu dipercayai mendapat sokongan jentera pilihan raya kumpulan yang kemudiannya menubuhkan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Seperti ramai maklum, lama-kelamaan Shahrir pulang ke pangkuan Umno. Sehingga sekarang beliau dalam Umno. Parti Semangat 46 juga dibubarkan dan Tengku Razaleigh sendiri menyertai semula Umno. Beliau kekal dalam Umno hingga ke hari ini.

Akibat langkah Shahrir mengosongkan kerusinya untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan , satu fasal (clause) dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: seseorang wakil rakyat yang meletak jawatan (dan mengosongkan kerusi yang dimenanginya) dilarang bertanding semula dalam mana-mana pilihanraya selama 5 tahun.

Itu cerita lama. Cerita baharu ialah sekarang ramai dalam kalangan rakyat menyatakan kebosanan dengan tingkah laku (gelagat?) ahli politik masa kini.

Maka kita dengar kata-kata seperti ini: “Rakyat ditakuk lama. Semua parti politik sama saja, orang politik pentingkan diri sendiri, semua tak boleh pakai”.

Benar kah begitu? Kita bincang mungkin pada artikel akan datang.

Buat artikel ini yang ingin ditegaskan ialah kini muncul beberapa individu yang tampil menyatakan kesediaan mereka bertanding pada pilihn raya umum akan datang sebagai calon bebas. Secara individu tanpa terikat dengan mana-mana parti poltik kerana “parti politik tak boleh pakai”.

Mereka terdiri daripada golongan teknokrat dan professional yang agak terkenal. Mereka boleh disifatkan sebagai individu yang dihormati ramai dan mempunyai kredibiliti.

Dalam erti kata lain, golongan ini tidak tercemar dengan skandal atau kegiatan salah laku. Mereka menyarankan rakyat mengundi berdasarkan calon bukan parti. Pilih calon yang jujur dan ikhlas.

Bolehkah mereka menang? Secara am boleh. Berdasarkan watak dan kebolehan. Tetapi ada pelbagai perkara dan persoalan (selain soal kewangan dan ‘resources’) yang mesti diberi perhatian terlebih dahulu.

Umpamanya calon yang baik tetap memerlukan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan untuk membawa kebaikan. Lazimnya sokongan atau “backup” datangnya daripada parti yang kukuh. Jika bertanding tanpa “backup” apa yang dirancangkan sukar atau tidak boleh dilaksanakan.

Lantas seorang wartawan veteran kenalan saya mencadangkan calon bebas bekerjasama dengan parti politik sedia ada yang berpegang dengan prinsip serta sependapat berhubung isu yang diperjuangkan.

Katanya, lebih elok jika boleh “endorsement” terhadap calon bebas diberi oleh parti politik berkenaan kerana kedua-dua pihak mempunyai pandangan sama terhadap isu tertentu. Bagi saya itu cadangan yang wajar diberi pertimbangan walaupun diakui ada yang tidak setuju.

Seorang pemerhati politik pula menyarankan kemungkinan calon bebas bergabung tenaga dengan pemimpin politik muda seperti Nurul izzah Anwar, Rafizi Ramli, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Hannah Yeoh, dan sebagainya. Ini untuk mendapat sokongan muda.

Mungkin boleh dipertimbangkan juga. Cuma perlu dingat nama-nama yang disebut tadi ialah anggota parti politik. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka dizinkan parti masing-masing untuk merangka bentuk kerjasama berasingan yang luar daripada jangkauan parti.

Ingin ditegaskan golongan yang menawarkan diri sebagai calon bebas kali ini mahu bertindak bebas dalam erti kata sebenar. Bermakna bergerak berseorangan atau secara individu dan berasingan.

Walaupun menyatakan tidak mahu terikat dengan parti, mereka terdiri daripada beberapa individu yang berkongsi prinsip dan bergerak secara bersama. Persoalannya – tidakkah ini bermakna mereka juga sebuah “entity” atau “parti” secara tidak langsung?

Mungkin itu boleh diselesaikan kelak. Namun yang lebih penting, ditakdirkan menang, bagaimana caranya untuk mereka membawa perubahan di negara ini? Bagaimana mereka membetulkan segala kepincangan yang mereka lihat berlaku selama ini?

Persoalan ini timbul kerana untuk mengubah sesuatu keadaan sebuah kerajaan diperlukan. Sebagai individu untuk membawa perubahan memang sukar. Apa yang saya faham golongan calon bebas berkenaan tidak berhasrat menjadi kerajaan. Atau tidak cukup angka (numbers) untuk membentuk kerajaan. Ingat mereka individu bukan parti.

Sebaliknya mereka bertindak lebih sebagai “pengawas” atau “watchdog” yang memastikan semak dan imbang atau “check and balance”. Namun kerajaan yang memerintah masih boleh meneruskan perancangannya yang mungkin tidak disenangi golongan calon bebas tadi. Maaf cakap, maksudnya mereka tidak terdaya menghalang rancangan kerajaan walaupun mereka anggap ia sesuatu yang tidak baik.

Calon bebas mungkin boleh membawa kebaikan ke kawasan yang mereka wakili. Tetapi bagaimana untuk memastikan kebaikan di kawasan lain? Untuk negara? Susah jika bukan mustahil – kerana negara ditadbir kerajaan bukan mereka.

Sebagai individu, golongan yang kini bergerak aktif dalam beberapa NGO sememang berwibawa jika mereka menawarkan diri sebagai calon bebas.

Cuma perancangannya perlu diperinci dan pelbagai persoalan mesti dijawab terlebih dahulu kerana arena politik amat mencabar. Bahkan kejam.

Oh seperkara lagi. Ambil kira juga sentimen pengundi. Mereka yang duduk di Bangsar dan di Kerinchi berbeza citarasanya. Walaupun dua-dua kawasan “urban”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.