Balik-balik ditaja Saudi
Saya berpendapat seseorang pemimpin, atau ahli politik bukan sahaja perlu mendedahkan dana asing yang diterimanya, tetapi jika ia ingin lebih segak dalam realpolitik semasa, dan demi menghormati demokrasi; jalan terbaik untuknya adalah menjauhi sebarang tajaan atau dana ketika urusan rasmi dan tidak rasmi.
Dana asing memang banyak membantu masyarakat sivil khususnya dalam kerja-kerja mempromosi demokrasi dan hak asasi manusia. Terdapat banyak hujah dan poin termasuk perakuan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai ini. Saya tidak akan membincangkan aspek ini di sini. Akan tetapi dalam hal seorang yang sedang menjawat posisi sebagai menteri, yang menerima tajaan sekecil-kecil urusan daripada individu mahupun pihak asing, saya menilai terdapat keperluan dari segi undang-undang untuk memantau hal ini.
Ini kerana sebagai negara berdaulat, sebarang tajaan asing ini dibimbangi akan meletakkan negara kita dalam keadaan menghambakan diri, atau melutut kepada kehendak dan agenda asing tersebut; di mana sesebuah kerajaan mungkin menindas rakyatnya sendiri demi memenuhi keperluan dan permintaan penaja atau pendana.
Dalam hal ini apa yang junta tentera Myanmar lakukan sekarang terhadap rakyatnya sendiri, memandangkan hubungan erat rejim ini dengan China dari segi dagang niaga dan kapital, dapat menjadi contoh mengerikan.
Sebuah lagi negara yang mempunyai kepentingan meluas tidak lain tidak bukan adalah Saudi. Negara ini diketahui mendanai aktiviti dengan wang petrolnya dan malah terdapat istilah Petro-Islam untuk menggambarkan bagaimana aktiviti keislaman atau dakwah dilincirkan dengan wang petrol Saudi.
Dalam hal ini saya tidak akan bertele-tele dan memadai mengundang pembaca untuk mengulit sebuah makalah lain yang saya karang untuk ISEAS-Yusuf Ishak, Singapura dengan judul “Longer-term External Conditions Behind Legal Conservatism in Malaysian Islam“. Ia membahaskan bagaimana negara kita menyerah diri dengan sepenuhnya kepada mazhab dan cara pandang Salafisme setelah mendapat kelebihan daripada Arab Saudi.
Malah, kejumudan dan konservatisme Islam yang amat menekan dan mencengkam negara kita yang kaya aneka budaya dan agama ini terancam oleh tajaan-tajaan asing ini. Salah satu yang sering mendapat perhatian pengkaji ialah tajaan Rabitah Alam Islami. Sebagai contoh Greg Barton dalam makalahnya “The historical development of Jihadi Islamist thought in Indonesia” dalam satu laporan panjang bertajuk “Radical Islamic Ideology in Southeast Asia” untuk Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point mengetengahkan satu fakta mengejutkan.
Beliau memberi gambaran Rabitah mendanai “pejuang asing” dalam tahun 1980-an. Barton menulis begini pada 2009:
“The majority of foreign (that is to say, non-Afghan and non-Pakistani) fighters in Afghanistan were ethnic Arabs from heartland Arab states such as Egypt, Saudi Arabia, Jordan, and Syria, but significant numbers of mujahidin also came from northern Africa, Europe, the Caucuses, and Southeast Asia. In March 1985, the war reached its bloodiest phase. In response, Saudi recruiting of foreign fighters intensified and agencies such as the Rabitah stepped up their efforts to recruit and finance foreign fighters. As a result, funding was seldom a problem for Sungkar and Ba’asyir, but they were nevertheless careful about who they sent to Afghanistan.”
Kita masih belum bebas dari ancaman teror, mungkin, para militan ini diam sementara oleh pandemik. Namun kita tidak boleh bersenang-lenang. Jangan membuka pintu untuk ular masuk.
Oleh sebab Greg Barton hanya menyebutkan “Rabitah” dan bukan nama penuhnya terdapat kesangsian Rabitah manakah yang dimaksudkan oleh beliau. Namun demikian, barangkali kita perlu berterima kasih kepada Ahmad Fauzi Abdul Hamid, profesor sains politik di Universiti Sains Malaysia, yang pada 2016 menulis sebuah makalah lain bertajuk “ISIS in Southeast Asia: Internalized Wahhabism is a Major Factor” untuk ISEAS-Yusuf Ishak.
Fauzi menyentuh peranan Rabitah Alam Islami yang menabur duit (baca dana atau tajaan) kepada pelbagai pihak dan menghubungkannya dengan bumbu kejadian gerakan militan seperti ISIS. Dalam hal ini Fauzi menulis begini:
“Under the guise of ummatic unity, Saudi institutions such as the Rabitah al-‘Alam Islami (MWL: Muslim World League) and the World Assembly of Muslim Youth (WAMY) have served as conduits for exporting Wahhabi dogma worldwide. The transmission process in Southeast Asia has been well documented, penetrating structures of Muslim states, ruling parties, charity associations, non-governmental organizations, Islamist movements and educational networks.”
Konklusi Fauzi di atas nampaknya tidak datang secara semberono memandangkan ia datang dari bacaan yang meluas meliputi makalah ilmiah hasil kerja Alexander Horstmann, “Transnational Ideologies and Actors at the Level of Society in South and Southeast Asia”; dan Noorhaidi Hasan dengan, “Transnational Islam in Indonesia”; juga tulisan Rommel Banlaoi, iaitu “Transnational Islam in the Philippines”, termasuk Joseph Chinyong Liow, dengan “Local Networks and Transnational Islam in Thailand”.
Fauzi turut menghubungkan peluasan kuasa Salafisme dengan Umno menerusi dapatan daripada artikel sensasi Mohamed Nawab Mohamed Osman, bertajuk “Salafi Ulama in Umno: Political Convergence or Expediency?”, dan tulisan pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Asmady Idris, yang bertajuk “Malaysia’s Relations with Saudi Arabia 1957-2003”. Jadinya, apa yang ditulis Fauzi bukan satu yang diada-adakan. Kebimbangan kita rakyat terhadap mudahnya menteri ditaja Rabitah bukanlah sesuatu yang kosong.
Suka tidak suka; dana asing, taburan wang, dan tajaan pesawat penerbangan misalnya boleh menjadi galang ganti yang meletakkan negara kita dalam keadaan berisiko. Saudi seperti mana kita tahu, amat nekad dan berani campur tangan dalam mana-mana negara yang ia terasa ingin campur tangan. Pertelingkahan Saudi dan Qatar misalnya menunjukkan Saudi tidak segan silu untuk menabrak mana-mana pihak yang ia rasa perlu ditabrak. Qatar harus diingat mempunyai DNA dan hubungan genetik yang sama dengan Saudi. Manakala hunjaman dan hentaman ganas Saudi terhadap Yemen juga satu lagi kisah sedih yang perlu diberi perhatian munasabah.
Negara lain sangat berhati-hati membenarkan mana-mana menterinya ditaja oleh China, Saudi, atau Rusia. Namun demikian nampaknya tidak pada kita. Dalam keadaan negara dikatakan “sudah tidak banyak wang” tiba-tiba ada menteri ditajai NGO didanai Saudi maka kita – rakyat – perlu memberi perhatian teliti. Hal ini tambah sengit kerana Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang memutuskan kes Najib Razak dengan penuh hati-hati menganjurkan bahawa adalah sesuatu yang janggal seseorang pemimpin menerima dana luar.
Beliau menjatuhkan hukum dengan satu ayat berbisa; “all roads lead to Rome and in this case it leads to Riyadh” (semua sumber dijejaki kepada Rom dan dalam kes ini ia membawa kita ke Riyadh). Selepas seorang menteri dikatakan tanpa rasa bersalahnya merujuk China sebagai abang besar, kes menerima tajaan NGO didanai Saudi ini juga merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian menyeluruh. Malaysia adalah sebuah negara merdeka. Tiada tangan asing patut menyentuh rakyat negara ini – meski sekadar minoriti – demi memenuhi agenda asing. Kisah dana dan tajaan asing ini tidak semudah itu saja harus didiamkan.
Alasan jangan mencari aib dan salah di bulan Ramadan tidak harus mendiamkan suara kritikan. Masyarakat sivil tidak boleh diam, kita khuatir ini adalah lubang masuk musuh yang berkepentingan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment