Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pelajar cemerlang SPM anggap PdPR sebagai cabaran - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pelajar cemerlang SPM anggap PdPR sebagai cabaran


 

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Muhammad Azfar Nasution Sakaria, 18, (tengah) bersama ayah Sakaria Musa, 57 melihat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disemak secara dalam talian, semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kaedah baharu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ternyata tidak menghalang pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Mengakui PdPR tidak seperti kaedah konvensional yang membolehkan mereka berinteraksi secara terus dan bersua muka dengan guru, rata-rata pelajar menganggapnya sebagai cabaran dan tidak putus asa untuk mempraktikkan teknik pembelajaran baharu itu.

Aina Nurain Mohd Zamanshahril, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan yang memperoleh keputusan 8A dalam sembilan mata pelajaran berkata kekangan tidak dapat belajar secara bersemuka disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak pernah menghalangnya untuk berusaha dan berjaya.

“Hampir setiap hari saya akan memulakan ulang kaji sekitar 10 malam sehingga 12 tengah malam dan setiap kali membuat ulang kaji saya akan mengumpul soalan yang tidak faham untuk ditanya kepada guru pada keesokan harinya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik.

Turut berkongsi pengalaman, Muhammad Azfar Nasution Sakaria dari Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian, Kelantan yang memperoleh 7A dalam sembilan mata pelajaran.

Menurutnya, beliau memanfaatkan kemudahan seperti telefon bimbit dengan menggunakan capaian internet untuk mengoptimumkan PdPR selain mengambil inisiatif mengulangkaji pelajaran sekitar lima jam sehari.

“Alhamdulillah dengan keputusan yang cemerlang ini saya bercita-cita untuk menyambung pengajian ke matrikulasi ataupun Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya yang berhasrat menjadi seorang guru.

Di Pulau Pinang, tiga kembar seiras melakar sejarah bagi Sekolah Menengah Agama Al-Maahadul Islami Tasek Junjung, di Simpang Ampat kerana menjadi pelajar cemerlang sekolah itu selepas memperoleh 7A dalam SPM.

Mereka ialah Nadwa Insyirah Baharom, Nadwa Maisarah dan Nadwa Zafirah yang merupakan anak kepada pasangan bekerja sendiri serta pekerja am tidak pernah menyangka akan memperoleh keputusan yang sama.

“Kami bukan orang senang, jadi hanya pelajaran saja mampu mengubah hidup keluarga, jadi saya dan dua lagi adik kembar memang sentiasa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah kehidupan kami pada masa hadapan.

Sementara itu, fokus semasa PdPR dan rajin bertanya dengan guru adalah antara rahsia kejayaan buat pelajar Nur Syamira Ishak dari Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Bukit Mertajam yang memperoleh 8A dan 2B.

“Walaupun kadang-kadang terdapat masalah internet ketika PdPR, saya kuatkan semangat dan terus fokus kerana mahu memperoleh keputusan cemerlang, lagipun emak dan ayah selalu beri dorongan…terima kasih juga kepada cikgu-cikgu yang banyak membantu saya dan rakan-rakan lain,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Di Kedah, Nur Nada Azhar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah yang mendapat 11A+ dan 1B+ dalam peperiksaan itu mengakui kaedah PdPR agak rumit, namun tidak mematahkan semangatnya.

“Waktu PdPR ini memang mencabar antaranya pelajar tidak boleh bertanyakan soalan secara bersemuka kepada guru dan yang paling rumit, pelajar aliran sains ketinggalan dari segi pelaksanaan eksperimen dan saya serta kawan-kawan jadi susah nak faham topik yang diajar dan latihan juga susah nak siapkan,” katanya yang menetap di Sungai Petani. - FMT



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.