Pesakit tak jujur tentang status Covid-19 cetus risiko berganda di Jabatan Kecemasan
PUTRAJAYA: Meskipun sudah lebih setahun negara berjuang memerangi wabak Covid-19, namun kesedaran masyarakat tentang bahaya penyakit ini masih belum dapat mengubah tingkah laku dan tindakan ketika menghadapi virus maut itu.
Ini dapat dilihat apabila masih ada yang tidak jujur dengan status kesihatan mereka yang terdedah atau menjadi kontak rapat pesakit ketika hadir menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).
Perkara tersebut dikongsikan Pakar Perubatan Kecemasan dan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan yang berkata, tindakan tersebut membawa kesan buruk bukan sahaja kepada petugas kesihatan, malah kepada orang lain yang menerima rawatan di ETD.
“Tidak jujur itu masih berlaku sehingga kini dan tidak tahu apa sebab mereka bertindak demikian,” kata beliau.
“Bila seseorang tidak berkata benar, kita merekod mereka sebagai tidak bergejala dan tiada kontak, yang akan disalurkan ke satu tempat bersama-sama dengan pesakit lain yang tiada kaitan langsung dengan Covid-19.
“Ini mendedahkan orang lain kepada virus itu, terutama golongan lanjut usia dan mereka yang berisiko, hanya disebabkan sikap mendiamkan maklumat yang benar tersebut. Jadi … boleh nampakkan kesannya bagaimana?” katanya baru-baru ini.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Hospital Putrajaya terpaksa membuat pengasingan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan bagi mengelakkan jangkitan silang.
Jelas Dr Khairul, sejak hospital itu mula beroperasi sebagai fasiliti hibrid Covid-19 April lalu, terdapat peningkatan antara 40 hingga 60% kemasukan pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes positif Covid-19 di ETD.
Ada kes positif yang terpaksa kita rujuk ke Hospital Sungai Buloh atas keperluan untuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), katanya.
Justeru, bagi mengurangkan kesesakan serta risiko jangkitan, operasi kini dalam percubaan di ETD adalah mengubah suai waktu kedatangan pesakit untuk memastikan pesakit tidak kritikal tidak datang serentak dengan pesakit kritikal.
“Sistem baharu ini sedang dalam tempoh percubaan bermula minggu ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya nanti kerana kami berpendapat ada ruang untuk mengawal pesakit daripada berkumpul di ETD dengan sistem rawatan waktu berperingkat bagi mengurangkan kesesakan.
“Kita masih dalam proses melihat sistem ini secara berperingkat dan berharap dengan kepakaran dan sumber tenaga yang ada, perkara ini akan dapat dilaksanakan demi kebaikan pesakit, supaya kehadiran mereka lebih terancang,” katanya.
Dr Khairul mengakui emosi para petugas turut terjejas semenjak mengendalikan situasi Covid-19 di hospital namun tugas dan tanggungjawab yang dipikul masih dapat dilaksanakan dengan baik melalui kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkhidmatan psikologi dan kaunseling.
Usaha ini sangat penting untuk memastikan bukan sahaja keadaan fizikal petugas dalam keadaan terbaik, tetapi juga kesediaan mental dan emosi. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment