Hi! Welcome Back and Stay Tune! Bukan senang jadi Ismail Sabri Yaakob - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Bukan senang jadi Ismail Sabri Yaakob


 

Oleh kerana saya tidak bersama wakil media di pintu Istana Negara semalam ketika Raja-Raja Melayu bermesyuarat untuk membincangkan soal siapa akan dilantik Perdana Menteri yang ke-9, saya perlu berpandukan laporan berita untuk memulakan artikel ini.

Menurut Malay Mail, “pada 3.30 petang (semalam), kenderaan yang membawa Sultan Johor, Raja Perlis, dan Sultan Kelantan tidak melalui pintu masuk utama Istana Negara”.

Bolehlah disimpulkan mereka tidak hadir mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut laporan media, yang kelihatan masuk perkarangan Istana Negara ialah Raja Muda Pahang, yang tiba awal, diikuti Sultan Kedah, Sultan Selangor, Sultan Terengganu, Sultan Perak, dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ketidakhadiran Sultan Johor, Sultan Kelantan, dan Raja Perlis tidak wajar dipertikaikan. Tentunya baginda bertiga ada sebab tersendiri yang kemungkinan besar sudah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja.

Cuma, menurut The Malaysian Insight, “beberapa kenyataan Istana Johor mengenai pemilihan pemimpin menunjukkan keraguan Raja pemerintah negeri itu dalam isu pelantikan Perdana Menteri baharu”.

Kenyataan di platform media sosial Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, antara lain memetik hadis diriwayatkan Abu Hurairah mengenai sifat munafik.

Hantaran yang dimaksudkan ialah di Facebook, berbunyi: “Daripada Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berdusta, dan apabila dia berjanji dia memungkiri, dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati.”

Tidak boleh dipastikan apa yang tersurat dan yang tersirat atau siapa ia ditujukan.

Apa pun, sebaik mesyuarat Raja-Raja selesai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan memberitahu Agong memperkenan pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, sebagai Perdana Menteri yang baharu menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan itu Isnin lalu.

Ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembangaan. Menurut kenyataan, Istana Negara menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen menerusi surat akuan dan daripada surat-surat itu sejumlah 114 wakil rakyat mencalonkan Ismail, jumlah majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Sebelum ini kita sudah dengar sokongan 114 untuk Ismail menerusi media yang memetik sumber yang rapat dengan Ismail. Lantas pelantikan beliau bukan sesuatu yang memeranjatkan walaupun saingan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dikatakan sengit.

Sejak tersebarnya berita kemungkinan Ismail dilantik Perdana Menteri, ada petisyen mengumpul tandatangan menentang beliau dijalankan. Dilaporkan ribuan tandatangan dipungut.

Ada juga pihak tertentu yang ‘mengingatkan’ akan kata-kata yang disifatkan “berbaur perkauman” yang pernah keluar dari mulut Ismail beberapa tahun lalu, semasa menjadi menteri kerajaan Barisan Nasional dulu, khususnya berhubung insiden Low Yat.

“Peringatan” juga ditonjolkan akan langkah beliau mewujudkan pusat beli-belah IT khusus untuk peniaga Melayu untuk bersaing dengan peniaga Plaza Low Yat.

Namun pada waktu ini, ‘peringatan’ seperti itu boleh membawa sokongan orang Melayu untuk Ismail kerana boleh dilihat pernah memperjuangkan peniaga Melayu. Namun pihak anti-Ismail tidak juga lupa untuk ‘mengingatkan’ pusat beli-belah yang dibuka sekadar kejayaan jangka pendek kerana kebanyakannya ditutup akhirnya.

Apa pun, itu semua bak kata Inggeris, “water under the bridge” – sesuatu yang sudah berlalu – dan tidak boleh diambil kira sekarang. Hakikatnya, Ismail Sabri ialah Perdana Menteri. Namun, tidak dinafikan beliau mesti bertindak sebagai Perdana Menteri untuk semua, bukan orang Melayu sahaja.

Cabaran utama ialah mengotakan kata-kata mahu memerangi wabak Covid-19 yang terus menakutkan dan memperbetul ekonomi – demi rakyat yang sedang derita.

Itu menjadi keutamaan walaupun sudah ada tuntutan lain.

Umpamana bagi Suhakam, hak asasi manusia perlu menjadi teras pentadbiran baharu ini. Ada juga yang mahu kerajaan Ismail melahirkan undang-undang anti lompat parti, tidak kurang yang mahu Undi18 dikuatkuasakan segera.

Namun keutamaan mestinya krisis kesihatan dan ekonomi yang meruncing. Tetapi Ismail melangkah sebagai seorang pemimpin daripada kerangka yang dilihat ramai sebagai kerajaan gagal.

Dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, beliau bermula sebagai menteri kanan dan dinaikkan ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Maka, apa pun kelemahan, kesilapan, serta kepincangan kerajaan PN tidak boleh hanya dipertanggungjawabkan kepada Muhyididn. Ismail, sebagai orang kuat Muhyiddin, tidak dapat lari daripada tanggungjawab “to share the blame”.

Untuk membantunya melancarkan perang ke atas masalah yang dihadapi, Ismail perlu satu tim yang mantap. Maknanya Jemaah Menteri yang cekap.

Bagaimanapun, yang membimbangkan, jika Ismail juga, seperti bosnya dulu, tunduk kepada tekanan parti yang menyokongnya, terutama Umno iaitu partinya sendiri. Tidak lupa Bersatu parti pimpinan Muyddin serta PAS. Sokongan mereka membolehkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ramai tidak mahukan kerajaan PN 2.0 terus menampilkan muka-muka lama.

Ringkasnya kita (baca rakyat) tidak mahu Ismail mengamalkan dasar “accommodate” atau dasar “ambil hati” penyokong untuk balas budi. Negara tidak mahu malah tidak mampu satu Jemaah Menteri yang besar. Kita tidak mahu 70 Menteri dan Timbalan Menteri. Pelantikan politik di agensi dan syarikat berkaitan kerajaan untuk meraih sokongan jangan diulangi.

Dalam pada itu, beliau mesti mengambi kira titah Agong: “yang menang jangan menang semua, yang kalah jangan kalah semua”.

Cabaran Ismail ialah memastikan beliau tidak diugut mahupun diancam rakan sendiri. Bukan senang mengatasi itu. Soal ancaman pembangkang masalah lain. Musuh dalaman yang mesti ditangani terlebih dahulu.

Hari ini, Ismail akan mengambil sumpah jawatan di Istana Negara. Beliau mesti secepat mungkin menguji majoritinya di Parlimen melalui undi percaya seperti dititah Agong. Realitinya, 114 sokongan yang dimiliki berbanding 109 yang dipercayai milik pembangkang bukan sesuatu yang melegakan.

Kata Azlan Zainal dari Ilham Centre: “Cuma yang belum pasti ini kerajaan BN atau PN? Walau ada pihak yang dilihat menang, hakikatnya dalaman masih tegang. Jemaah Menteri perlu segera dibentuk. Sama ada pasukan perang melawan Covid-19 atau gerak khas menyambung pertempuran sesama sendiri.”

Bagi saya kesimpulan terbaik dibuat aktivis media Fathi Aris Omar, “Ingatlah cogan kata kita: Bersekutu Bertambah Mutu, bukannya Berseteru Bertambah Buntu”. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.