Hi! Welcome Back and Stay Tune! RMK12 cuma untuk Bumiputera terpilih? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

RMK12 cuma untuk Bumiputera terpilih?


 

Saya amat tidak faham apa sebenarnya yang berada di benak Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia, ketika membentangkan Rancangan Malaysia (RMK12) di Parlimen Isnin lalu.

Saya fikir ramai juga rakyat Malaysia yang mengeluh dan tidak puas hati dengan rancangan dasar beliau itu.

Ismail, daripada Umno, membesar dan menjadi dewasa di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang asalnya dibentang pada 1971 oleh Abdul Razak Hussein, yang seperti Ismail, juga berasal dari Pahang.

Pada mulanya, ramai penganalisis ekonomi menilai DEB, yang dibentuk oleh Razak, sebagai langkah positif.

DEB dijadikan alasan untuk membetulkan imbangan ekonomi negara yang nyata memihak kepada pemilik asing pada waktu itu. Pada era tersebut, pemilikan harta negara banyak lagi dipegang oleh pihak asing atau bekas penjajah.

Tiada Modal

Jadi sedikit pembetulan kepada asas ekonomi perlu dilaksanakan oleh pemerintah ketika itu. Inilah latar belakang DEB dan bagaimana ia dibentuk.

DEB bertujuan untuk memberi bantuan kepada pihak bumiputera yang tidak mendapat peluang dari segi ekonomi, kerana tidak mempunyai;

  • modal,
  • kemahiran dan kepakaran, serta
  • teknologi

untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti komersial dan ekonomi dengan lebih berkesan.

Dasar ini adalah pelan jangka pendek untuk selama 30 tahun sahaja dengan dua objektif kembar utama dan pencapaian yang boleh diukur.

Dasar ini bergerak dengan baik pada peringkat permulaannya dan tidak dibangkang oleh kaum lain.

Objektif Kembar DEB:

  • Membanteras kemiskinan dan mengagihkan semula kekayaan negara.
  • Kerajaan akan mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi dan komersial melalui badan-badan kerajaan seperti SEDC dan GLC di dalam bidang-bidang yang Bumiputra masih lagi lemah dan tiada kepakaran.

Tetapi pentadbiran Perdana Menteri yang menyusul, terutama sekali sewaktu Mahathir memerintah selama 22 tahun, mulai 1982, banyak menyimpang daripada asas-asas murni DEB sehingga mencapai hasil yang berbeza daripada apa yang disasarkan.

Mahathir memperluaskan dasar ini (DEB) dengan berpandukan fahaman beliau mengenai industri berat, lalu memperkenalkan halatuju baru melalui syarikat bantuan kerajaan seperti Hicom, Proton, Perwaja dan lain lain. Berbilion ringgit dilabur ke dalam perusahaan berkenaan.

Penswastaan

Kajian sekarang mendapati, polisi Mahathir ini tidak menghasilkan pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara.

Malah, ia gagal meletakkan negara kita di satu tahap yang berkemampuan untuk industri tempatan berkenaan bersaing baik di peringat rantau ini mahupun di persada dunia.

Malaysia terus dibelenggu masalah kaum Bumiputera yang tidak terlatih, dengan pengetahuan agak cetek, dan tidak berjaya menguruskan bidang-bidang tersebut dengan baik.

Akhirnya, industri berat tempatan ini ditutup atau dijual kepada pelabur asing juga, sama dengan keadaan sebelum di tahun 1971. Justeru, pencapaian Bumiputera dalam ekonomi negara masih tidak kesampaian, malah tetap di tahap lama.

Malangnya, Mahathir tidak belajar daripada kesilapan itu, malah mengorak “eksperimen” seterusnya. Pada awal tahun 1990-an, Mahathir memperkenalkan dasar penswastaan.

Dasar ini melibatkan penjualan harta milik kerajaan dan perkhidmatan yang dikendalikan oleh pihak atau badan-badan kerajaan.

Di antara perkhidmatan yang telah diswastakan termasuklah pelabuhan, jalanraya dan lebuhraya, penjanaan elektrik, pembinaan loji air, perkhidmatan pos, pemeriksaan kenderaan, tanah dan bangunan milik kerajaan dan pelbagai perkhidmatan di kerajaan tempatan.

Dasar penswastaan ini ibarat “durian runtuh” untuk Ketua Umno dan beberapa kerat Bumiputera yang rapat dengan pemerintah. Dalam sekelip mata, kehidupan mereka berubah bagaikan tikus jatuh ke beras.

Tidak hairanlah beberapa kerat sahaja kenalan Mahathir yang mendapat peluang memiliki aset, kontrak dan lesen berharga, bukan sekali tetapi diberi laluan berganda-ganda untuk menambah kekayaan mereka atas nama penswastaan .

Bumiputera terpilih

Lesen-lesen import beras, gula, penjanaan elektrik, pemilik pelabuhan, perkhidmatan pos, pemeriksaan kenderaan dan lain-lain, banyaknya dimiliki oleh Bumiputera yang sama.

Yang dapat cuma sekerat, dan berulang kali atas “jasa baik” pemerintah. Apa pula nasib kaum Bumiputera yang lain, yang terpinggir kerana tiada kedudukan dalam parti, atau “kabel” kepada pemimpin kerajaan?

Apakah dasar DEB ini memilih kaum Bumiputera yang tertentu sahaja?

Rata-rata pada hari ini nasib kaum Bumiputera masih sama seperti mana di tahun-tahun 1980-an, apabila Mahathir dan Perdana Menteri lain melaksanakan DEB.

Sebilangan besar Bumiputera masih tiada modal, tiada kemahiran dan tiada kepakaran teknologi.

Di mana dan ke mana Ismail mahu mengheret kaum Bumiputera ini sekarang? Atau adakah beliau membentuk RMK12 ini untuk pemimpin Umno sahaja?

Apa yang pasti adalah dasar sedia ada banyak menjadikan beberapa kerat sahaja kaum Bumiputera menjadi kaya raya tetapi tidak membela kaum Bumiputera yang masih di paras kemiskinan atau dikenali sebagai B40.

Mereka terus terpinggir.

Bagaimana dengan nasib orang asal dan kaum-kaum etnik Bumiputera di Sarawak dan Sabah?

Wakil dari Cameron Highlands telah pun memberi penjelasan tentang nasib malap kaum orang asal di Parlimen kelmarin.

Kenapa Ismail tidak memberikan komitmen sama untuk membaiki nasib dan masa depan mereka berbanding perhatian yang diberikan kepada golongan Bumiputera lain?

Sedangkan objektif DEB itu sendiri menyebut tentang membanteras kemiskinan dan mengagih semula kekayaan negara.

Ini adalah isu struktur utama yang perlu dibahas.

RMK12 yang dibentang Ismail nampaknya tidak menekan ke arah matlamat itu tetapi banyak menyebut tentang pembelian atau penjualan saham syarikat-syarikat milik Bumiputera.

Pendekatan beliau hanya mencerminkan satu dasar yang agak elitis.

Kesan sampingan

Satu lagi isu struktur yang perlu diketengahkan ialah pembabitan ketua ketua parti yang melibatkan diri dalam segala jenis perniagaan dan pemilikan harta.

Ini adalah kesan sampingan dari pendekatan dasar yang tidak cekap, lemah, tidak berfungsi dengan betul dan terdedah kepada penyelewengan dan ketirisan wang rakyat.

Apakah langkah-langkah pembetulan yang dirangka dalam RMK12 demi mengatasi masalah-masalah tersebut supaya prinsip amanah dan ketelusan diutamakan.

Apakah peraturan atau undang-undang yang digubal beserta hukuman setimpal yang disediakan untuk memastikan wang rakyat tidak lagi disalah guna dan sampai kepada kumpulan sasaran?

Selama lebih 40 tahun, kita berdepan dengan ketidakadilan dasar yang menjurus kepada beberapa kerat kaum Bumiputera yang menguasai bidang ekonomi dan komersial negara.

Apakah sekarang masih belum lagi masa sesuai untuk merangka dan membentuk satu dasar yang lebih inklusif, sama rata dan benar-benar berupaya membanteras kemiskinan, di desa mahupun di kota?

Bagaimana dengan golongan B40 yang meliputi semua kaum?

RMK12 mesti memberi jawapan kepada isu-isu yang diutarakan tersebut.

Ismail harus tegas memastikan masa untuk terus menyuap segelintir Bumiputera termasuk orang politik, atas nama “memperkasa ekonomi Melayu” sudah berlalu.

Helah untuk membantu mereka atas alasan negara belum mencapai 30% ekuiti Bumiputera tidak harus diguna pakai lagi.

Ramai keluarga tiada modal, kepakaran, kepandaian dan pendapatan bulanan yang tidak tinggi dan bukannya ekuiti yang mereka sendiri tidak mampu untuk mengambil bahagian.

Pemilikan ekuiti ini adalah sebahagian dari tugas badan-badan kerajaan atau GLC, ASB dan SEDCs, yang mana kelemahan dan kegagalan, berpunca dari pengurusan kerajaan yang tidak cekap dan juga kerana ketirisan.

Jangan keliru. Pendekatan untuk menangani dua perkara ini amatlah jauh berbeza. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.