Ulasan Apple iPhone 13 Pro Max – Impak Maksima
12 purnama berlalu pergi dan seperti hari jadi, iPhone baharu telah dilancarkan di Malaysia bulan ini. Saban tahun soalan yang ingin dijawab oleh peminat Android ialah adakah model iPhone tahun ini mengecewakan sementara di kalangan peminat iPhone pula apakah pembaharuan yang membuatkan model tahun ini berbaloi untuk dibeli.
Sukacita saya boleh katakan dalam ulasan ini, kedua-dua soalan di atas akan dapat dijawab dengan jelas. Tahun ini iPhone 13 Pro Max mungkin ialah telefon pintar dengan rekaan chocolate bar terbaik di pasaran dan perubahan yang kecil yang dilakukan berbanding model tahun lalu sebenarnya mendatangkan impak yang maksima.
Spesifikasi
Apple iPhone 13 Pro Max | |
---|---|
Skrin | 6.7″ Super Retina XDR OLED, 1284 x 2778 pixel, (458 PPI), Dolby Vision, 120Hz |
Pemproses | Apple A15 Bionic (5nm) |
Cip | 2 X 3.22 GHz Avalanche 4 X ? GHz Blizzard |
Cip Grafik | GPU 5 Teras |
RAM | 6GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256/512/1000 GB NVMe |
Kamera Utama | 12+12+12 Megapixel f/1.5+f/1.8+f/2.8, Zum Optikal 3X, Sensor Shift, 3D ToF |
Kamera Swafoto | 12 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 4352 mAh Pengecasan berwayar 27W Pengecasan MagSafe 15W Pengecasan nirwayar 7.5W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas wajah Face ID |
Harga Jualan | RM 5299 (128GB) RM 5799 (256GB) RM 6699 (512GB) RM 7599 (1TB) |
Skrin
Berita baik akhirnya iPhone 13 Pro Max menyokong kadar segar semula 120Hz adaptif ProMotion yang selama ini ditawarkan pada iPad. Tahun ini Apple mendengar permintaan pengguna yang merasakan skrin 60Hz tidak lagi mencukupi memandangkan kadar segar semula yang lebih tinggi boleh dinikmati pada peranti kelas pertengahan Android. Menerusi skrin ProMotion, kadar segar semula berubah secara dinamik dari serendah 10Hz ke 120Hz mengikut keperluan aplikasi.
Skrin iPhone yang sejak dahulu lancar kini terasa lebih pantas terutamanya pada aplikasi Apple sendiri. Di awal ulasan terdapat isu pada aplikasi pihak ketiga seperti Twitter yang tidak terasa lancar tetapi ini diperbaiki menerusi kemas kini iOS 15.0.1. Satu perkara yang membezakan skrin 13 Pro Max dengan skrin peranti Android seperti Galaxy S21 Ultra ialah iOS tidak memberikan pilihan untuk pengguna menukar kadar segar semula ke 60Hz. Kesemuanya automatik. Ini konsisten dengan polisi Apple yang tidak memberikan begitu banyak pilihan kustomasi kepada pengguna peranti mereka berbanding Android.
Di bawah cahaya matahari yang terang paparan masih dapat dibaca dengan mudah. Ini ialah kelebihan skrin Super Retina XDR OLED tahun ini. Jika anda ingat tahun lalu aneh sekali skrin 12 Pro Max sukar dibaca di bawah mentari terik yang menjadi isu di Malaysia.
Sungguhpun begitu skrin 13 Pro Max memang cantik serta lawa lebih-lebih lagi sekiranya menonton kandungan dengan Dolby Vision pada perkhidmatan Apple TV+, Netflix dan Disney+ Hotstar. Warna kelihatan lebih sinematik jika ingin dibandingkan dengan HDR10+ pada Galaxy S21 Ultra. Tetapi tidak semuanya sempurna, takuk Face ID yang besar masih menghalang kandungan ditonton untuk ditonton secara skrin penuh.
Sebagai pengguna Galaxy Z Fold3 dengan kamera bawah skrin, saya sudah tidak boleh lagi menerima kewujudan lubang dan takuk yang mencacatkan pengalaman menonton video pada skrin besar. Jadi tidak mengejutkan sudah wujud ura-ura tahun hadapan Apple 14 akan mengucapkan sayonara kepada takuk.
Bercakap mengenai takuk, ianya kini lebih kecil tetapi sedikit lebih tinggi. Adakah ia ciri yang mengganggu? Selepas empat tahun menggunakan iPhone dengan Face ID, saya langsung tidak menyedari kewujudannya dan begitu juga dengan ratusan juta pengguna iPhone yang lain. Tahun 2021 ialah tahun takuk untuk Apple kerana ia kini telah merebak ke MacBook Pro 14″ dan MacBook Pro 16″ baharu.
Rekaan
Rekaan tahun lalu dikekalkan dan ini bermakna sisi logam tahan karat yang rata dipadankan dengan panel belakang yang tidak berkilat dan panel hadapan kaca Ceramic Shield. Walaupun dikatakan tahun lasak, skrin pada peranti yang diulas masih tercalar apabila bersentuhan dengan kunci kereta. Masih tiada kaca di pasaran yang cukup tahan lasak untuk mengelakkan calar atau pecah berderai. Jika tidak ingin masalah ini berlaku, belilah pelindung skrin atau kerangka tahan lasak premium.
Secara keseluruhan peranti amat selesa di dalam tangan walaupun sisi tahan karat yang berkilat dan tubuh yang 12 gram lebih berat berbanding 12 Pro Max. Angka 12 gram mungkin nampak kecil di atas kertas tetapi ia terasa amat ketara dalam tangan. Ini saya rasakan adalah kerana bonggol kamera 13 Pro Max yang jauh lebih besar berbanding 12 Pro Max. Bahagian atas peranti adalah lebih berat berbanding bawah. Sukar untuk mengimbangi peranti di dalam tangan.
Galaxy Z Fold3 memang lebih berat (271g) tetapi berat peranti disebarkan dengan baik dan peranti terasa jauh lebih seimbang dalam tangan dalam kedua-dua mod terbuka serta tertutup. Saya memerlukan masa lebih lama untuk membiasakan peranti dalam tangan kali ini berbanding peranti skrin boleh-lipat paling besar Samsung tahun ini.
Bonggol kamera yang lebih besar ini juga mengakibatkan sekali lagi peranti tidak boleh diletakkan rata di atas permukaan meja. Jongkang jongket tahun ini lebih tinggi dengan lensa menjadi fulkrum. Penggunaan 13 Pro Max tanpa kerangka amat tidak disarankan sekali kecuali anda tidak bercadang untuk menjual semula peranti ini dengan “kualiti baik tahap Mira Filzah” tahun hadapan.
Butang kuasa pada sebelah kanan, butang laras suara pada sisi kiri, dan butang bisu juga di bahagian kiri adalah sangat premium. Permukaannya rata dan saiznya juga besar. Tangan langsung tidak sakit ketika menggunakannya.
Penggunaan Dan Perisian
Dari sudut perisian iOS 15 bukanlah perubahan yang besar berbanding iOS 14. Saya ada membaca beberapa komen pengguna bahawa iOS 15 ialah kemas kini yang membosankan kerana memberikan tumpuan kepada privasi dan penambahan ciri bagi membolehkan sistem operasi lebih setaraf dengan Android.
Tetapi pada hemat saya ciri membolehkan pemilik peranti melantik seorang ahli keluarga atau kenalan rapat mengakses storan awanan sekiranya meninggal dunia adalah ciri yang sudah lama diminta. Sekiranya anda ingat terdapat dua kes berprofil tinggi di mana ibu si mati meminta Apple memberikan beliau akses kepada gambar anak. Walaupun ke mahkamah keputusan memihak kepada Apple kerana privasi data perlu dihormati. Ciri yang sama turut membolehkan OTP dihantar kepada peranti milik insan paling rapat untuk pengesahan apabila berlaku kecurian.
Perkara yang sama juga boleh saya katakan dengan mod Focus yang meminjam elemen dari pelancar Android HTC Sense. Tetapkan mod anda pada waktu tertentu dan kemudian pilih siapa boleh menghubungi anda dan notifkasi apa yang boleh dipaparkan. Cukup berguna ketika di watku pejabat dan saya tidak mahu menerima pelawaan kawan untuk menyertai sesi MP COD Mobile!
Tahun ini jelas adalah tahun iterasi dan bukan evolusi. Selepas pengenalan widget yang benar-benar mengubah muka iOS 14, Apple memberikan tumpuan untuk memperhalusi lagi sistem operasi mereka. Sungguhpun begitu harus saya tegas ciri seperti SharePlay dalam Facetime dan rakaman video ProRes yang menjadi topik perbualan utama masih belum diberikan pada peranti yang sedang diulas. Maka tiada komen mengenai baik ataupun tidak ciri ini sebenarnya.
Yang boleh saya komen ialah aplikasi memang dapat dilancarkan lebih pantas dengan ia juga disimpan lebih lama di lalar belakang dengan bantuan memori sebesar 6GB RAM. Prestasi membuka permua sebenarnya paling mengejutkan kerana dapat teras bezanya khususnya pada permua berat seperti COD Mobile, Genshin Impact, dan Asphalt 9. Lebih pantas jika sekali lagi saya diizinkan untuk membandingkan 13 Pro Max dengan Z Fold 3 yang mempunyai 16GB RAM (termasuk dari memori RAM Plus yang baru diberikan di Malaysia).
Penanda Aras
Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan Geekbench 5 dan Antutu 3D mengesahkan ketuanan Apple Silicon untuk tahun 2021. Dengan 1716 markah dalam ujian satu teras dan 4678 dalam ujian multi teras Geekbench 5, Apple A15 Bionic jauh meninggalkan Snapdragon 888 (1122/3412 markah). Perkara yang sama berulang dalam ujian Antutu 3D dengan A15 Bionic mencatatkan 789,647 markah yang juga di hadapan 747,436 markah yang dicatatkan Snapdragon 888. Keputusan yang cukup konklusif walaupun A15 sekadar dilengkapi enam teras CPU bukannya lapan.
Markah ujian sintetik hanya separuh daripada cerita yang lengkap. Dalam pemproses video saya tidak pernah melihat kepantasan A15 Bionic pada peranti-peranti Android yang pernah diulas sebelum ini. Kemampuan memproses video dengan pantas adalah amat penting untuk generasi TikTok, Instagram dan YouTube. Suntingan dengan kesan khas yang kompleks dilakukan terus dari peranti. Lebih pantas video diproses, semakin pantas ia dapat dimuat naik untuk tontonan umum. Jika anda tertanya-tanya mengapa iPhone menjadi peranti pilihan penghasil kandungan mudah alih, prestasi memproses video yang amat pantas ini adalah salah satu sebabnya.
Satu lagi sebab lain ialah menikmati permua pada tetapan grafik dan tetapan bingkai paling tinggi. A15 Bionic boleh menjalankan aplikasi permua 3D yang cantik pada tetapan bingkai paling tinggi. Peranti hanya terasa sedikit suam selepas sesi permainan yang panjang. Aneh sekali isu pemanasan ini tidak pula saya alami pada iPad Mini 2021 dengan cip yang sama. Sistem penyejukan pada iPad Mini adalah lebih baik. Pemanasan yang sama turut disedari semasa mengambil banyak gambar. Dalam hal ini iPhone dan telefon Android mempunyai isu yang sama kerana keperluan melakukan pasca proses pada gambar adalah tinggi.
Telefoni dan GPS
Peranti menyokong rangkaian 5G Sub 6GHz yang pada waktu ini hanya boleh dinikmati oleh pengguna di Bukit Tunku Kuala Lumpur. Saya tak sempat pula bertandang ke kawasan atas-atas ini dan sekadar menguji rangkaian 4G. Prestasinya memuaskan tanpa sebarang isu panggilan telefon yang terputus-putus atau Internet yang bergerak pada kelajuan siput. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE, panggilan telefon yang lebih jelas dapat dilakukan. Ini amatlah membantu sekiranya anda bekerja di kawasan dengan rangkaian selular yang tidak berapa baik dan WiFi rumah boleh menyelamatkan keadaan.
Kemampuan GPS juga amat baik dengan lokasi kenderaan dikesan dalam Google Map, Apple Maps dan Wazer sepantas kilat. iPhone 13 Pro Max ialah sebuah telefon pintar yang cemerlang prestasi telefoni dan GPSnya.
Kamera
Kemera dilengkapi lensa yang lebih besar tetapi sensor yang sebenarnya masih lagi 12MP+12MP+12MP dan sensor 3D ToF. Lensa sudut lebar dipadankan dengan lensa sudut ultra lebar dan telefoto. Sistem telefoto tahun ini menyokong zum optikal sehingga 3X, peningkatan dari hanya 2.5X tahun lalu. Apple masih belum bersedia memberikan sistem telefoto ultra sehingga 100X seperti Samsung dan Xiaomi.
Sistem OIS Sensor Shift digunakan pada kesemua lensa sudut lebar iPhone tahun ini bagi memberikan penstabilan imej yang terbaik. Kerap saya menerima soalan apa gunanya OIS berbanding EIS pada telefon pintar? Jawapannya ialah dengan adanya OIS, imej yang lebih tajam dan terperinci dapat diambil khususnya dalam mod malam. Inilah yang membezakan kamera pada peranti kelas mercu dengan kelas pertengahan.
Di hadapan pula kamera 12MP sekali lagi digunakan dengan lensa sudut lebar untuk membolehkan kesemua subjek diambil tanpa memerlukan tangan sepanjang Fantastic Four.
Itu semua spesifikasi atas kertas dan dipaparkan dengan prominen sekali di laman rasmi bagi tujuan pengiklanan. Tetapi adalah khabar lebih baik dari rupa? Jawapan pendeknya ialah tidak. Gambar yang diambil menggunakan iPhone 13 Pro mempunyai perbezaan yang amat ketara berbanding tahun lalu. Akhirnya ada kawalan manual untuk mod malam (yang menjadi isu besar saya tahun lalu), adanya mod makro sebenar (juga adalah kelemahan ketara kamera 12 Pro Max) dan mod malam yang akhirnya memang terang.
Lihat sahaja sampel-sampel di bawah. Ketajaman imej tahun ini adalah jauh lebih baik jika saya bandingkan dengan iPhone 12 Pro Max, Oppo Find X3 Pro dan Galaxy S21 Ultra yang menjadi kamera harian saya di Amanz tahun ini. Mod malam juga mempunyai hingar lebih rendah dengan julat dinamik yang amat memuaskan. Sumber cahaya tidak pecah tetapi jelas dengan glob mentol nampak jelas. Saya bukan seorang jurugambar profesional dan aplikasi kamera iPhone 13 Pro Max adalah cukup mudah digunakan serta kalis pengguna dungu. Bagi mereka yang tidak segan silu mengaku adalah dungu fotografi seperti saya, kamera telefon pintar ini memastikan setiap gambar dapat diambil dengan sempurna.
Memang ada mod menarik seperti Cinematic Mode dan Photographic Styles tetapi pada hemat saya adalah gimik semata-mata. Cinematic style yang membolehkan rakaman video Focus Rack dilakukan memang canggih tetapi apakah kegunaannya dalam operasi harian? Mungkin hanya berguna bagi mereka yang mempunyai aspirasi menjadi pengarah filem di masa hadapan.
Photographic Styles pula mirip ciri yang ditawarkan pada peranti LG dan Sony. Terdapat beberapa penuras terbina dengan penekanan pada warna dan tona tertentu. Saya tak tahu siapa yang akan menggunakan ciri ini kerana salah satu penurasnya membuatkan gambar mempunyai saturasi tinggi seakan kamera Samsung. Mungkin ada yang menyukainya tetapi setahu saya majoriti pembeli iPhone menggunakan kamera peranti kerana warnanya yang tepat dengan dunia sebenar dan bukan untuk warna fantasi. Kalau mahu diubah sekalipun aplikasi pihak ketiga seperti Snapseed dan VSCO digunakan kerana terdapat banyak preset telah dihasilkan oleh jutaan pengguna.
Secara keseluruhan gambar yang diambil menggunakan iPhone 13 Pro Max adalah memuaskan. Mod potret walau bagaimanapun masih mempunyai isu memisahkan imej latar belakang dengan subjek. Isu masih wujud walaupun sensor 3D ToF digunakan. Tetapi saya perlu adil kerana ini ialah isu yang juga ditemui pada semua kamera telefon pintar di pasaran yang pernah diulas.
Bateri
Bateri 4352 mAh adalah paling besar pernah digunakan pada iPhone tetapi agak kecil jika dibandingkan dengan peranti mercu Android seperti ASUS ROG Phone 5. Tetapi kapasiti yang kecil ini menyorokkan kemampuan bateri yang amat menakjubkan. Secara purata selepas penggunaan peranti secara sederhana, masih terdapat 20-25% bateri di akhir hari. Secara konsisten SOT sekitar 13 jam dapat saya nikmati sendiri. Peranti hanya dicas sekali setiap 36 jam sepanjang tempoh ujian.
Apple iPhone 13 Pro Max ialah juara segala juara dalam kejohanan bateri telefon pintar mercu 2021. Langsung tak masuk akal ketahanan baterinya. Kombinasi skrin LTPO, bateri besar dan perisian membuatkan ketiadaan sokongan pengecasan yang amat pantas tidak langsung disedari. Memang peranti boleh dicas dengan kuasa 27W, tetapi tempoh pengecasan penuh adalah sekitar 100 minit. Dari 0-75% ialah amat pantas tetapi untuk 10% terakhir ia memakan masa sehingga 30 minit. Ini ialah cara Apple menjaga kesihatan bateri dengan ciri ini dipopularkan oleh Sony sejak beberapa tahun yang lalu.
Audio
Audio terbaik pada iPhone memerlukan kelengkapan dari ekosistem Apple sendiri. Mahukan audio spatial dan Dolby Atmos? Pastikan anda mempunyai AiPods Pro atau AirPods Max. Pembesar suara yang disertakan adalah sekadar sederhana. Cukup lantang tetapi tidak seimbang dengan speaker bawah lebih kuat berbanding speaker di atas. Isu ini tidak akan selesai selagi kedua-dua speaker stereo peranti tidak menembak ke depan.
Pesaing
Apple iPhone 13 Pro Max | Samsung Galaxy Z Fold3 | Sony Xperia 1 III |
6.7″ Super Retina XDR OLED, 1284 x 2778, 120Hz, Dolby Vision, (458 PPI) |
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz (374 ppi) Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ |
6.5″ OLED, 1644 x 3840, 120Hz, HDR BT.2020 (643 ppi) |
karipapApple A15 Bionic (5nm) 2 X 3.22 GHz Avalanche 4 X ? GHz Blizzard |
Snapdragon 888 (5nm) 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 |
Snapdragon 888 (5nm) 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 680 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 680 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 680 |
Apple GPU 5 Teras | Adreno 660 | Adreno 660 |
6 GB | 12 GB LPDRR5 | 12 GB LPDDR5 |
128/256/512/1000 GB NVMe |
128/256 GB UFS 3.1 |
256 UFS 3.1 (Mikro SD 1TB) |
Kamera Utama 12+12+12 Megapixel f/1.5+f/1.8+f/2.8, Sensor Shift OIS |
Kamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4) OIS |
Kamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.7+f/2.2+f/2.3) OIS |
Kamera Hadapan 12-Megapixel f/2.2 |
Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 4-Megapixel f/1.8 (UDC) |
Kamera Hadapan 8-Megapixel f/2.0 |
IP68 | IPX8 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4352 mAh (Berwayar 27W) | 4400 mAh (Berwayar 25W) | 4500 mAh (Berwayar 30W) |
Harga bermula RM5299 | Harga bermula RM6699 | Harga bermula RM5399 |
Kesimpulan
Apple akhirnya menuju puncak kegemilangan telefon pintar tahun ini dengan iPhone 13 Pro Max. Ia penawaran paling premium, berkuasa, dengan perisian yang semakin matang, kemampuan kamera yang sangat ampuh dengan bateri yang boleh bertahan selama dua hari. Kesemua ini ialah kejayaan yang jarang sekali berlaku serentak pada sebuah telefon pintar. Dengan iPhone 13 Pro Max, Apple mempunyai calon yang kuat untuk memenangi anugerah peranti terbaik Amanz 2021.
Tetapi adalah ia telefon pintar terbaik di pasaran sekarang? Izinkan saya menjadi devil’s advocate di sini seketika. Samsung Galaxy Z Fold3 dijual pada harga RM6699/7099 ianya tidak terlalu melampau apabila dibandingkan dengan iPhone 13 Pro Max yang dijual pada harga RM 5799/6699 dengan saiz storan yang setanding 256/512GB.
Secara peribadi anda mendapat lebih banyak inovasi dengan setiap ringgit yang dibayar untuk Fold3. Sistem multi-tugas pada Fold3 juga adaalah yang paling pantas pernah saya lihat pada sebuah telefon pintar. Satu lagi kekurangan iPhone 13 Pro Max ialah skrin yang lebih kecil, bertakuk dan tidak cukup besar untuk melakukan kerja di luar. Fold3 mungkin lebih menarik bagi saya tetapi saya juga harus akur jika ekosistem Apple adalah penting pilihan adalah di tangan pembaca sekalian.
Semua sudah tahu konklusi saya ialah iPhone 13 Pro Max ialah telefon pintar yang terbaik pernah dihasilkan oleh Apple. Ini ialah fakta yang tidak boleh disangkal sama sekali. Jika anda mahukan yang terbaik di pasaran dari Apple hari ini, iPhone 13 Pro Max ialah jawapannya. Tak perlu berfikir panjang dan kumpul sahaja dana sekarang kerana stok semasa sudah habis kesemuanya.
Pro
- Rekaan kemas, premium, dan sedap di dalam tangan.
- Pemproses paling berkuasa untuk telefon pintar 2021.
- Skrin 120Hz sangat lancar dengan perisian semakin matang.
- Kemampuan kamera yang boleh dilihat peningkatan berbanding 12 Pro Max.
- Prestasi bateri yang sangat melampau.
- Kemas kini 5 tahun – masih terbaik dalam industri.
Kontra
- Beberapa ciri yang dijanjikan tidak dapat diuji selepas dijual kerana masih menanti kemas kini.
- Mod Photographic Style terasa seakan gimik sahaja pada waktu ini.
- Pengecasan mengambil masa hampir dua jam.
- Pengecasan pantas nirwayar hanya menerusi MagSafe.
- Masih port Lightning dengan kelajuan pemindahan data yang tidak memuaskan.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment