Ulasan Amazfit GTR Mini – Gaya Moden Dalam Sentuhan Minimalis
Amazfit GTR Mini telah dilancarkan di Malaysia dengan harga jualan RM599 seutas. Ini juga merupakan pertama kali Amazfit menggunakan penjenamaan Mini pada peranti boleh pakai di bawah siri GTR. Seperti namanya, Amazfit Mini adalah jam tangan pintar yang kecil dan nipis, namun sarat universal yang boleh digunakan dalam apa juga keadaan.
Tetapi dengan pelbagai sensor pengesanan kecergasan serta kesihatan diberikan. Ia juga bersifat bagaimana ia berfungsi dalam penggunaan harian? Adakah benar-benar pintar atau sebaliknya? Ketahui dalam artikel ulasan kami di bawah.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Amazfit GTR Mini | |
---|---|
Jenis | Jam Tangan Pintar Asas |
Paparan | 1.28″ AMOLED (416 x 416 piksel), 60Hz, 326PPI |
Pemproses | – |
RAM | – |
Muatan Dalaman | – |
Bateri | 280mAh + Magnetic Charging 14 hari dengan penggunaan normal 7 hari dengan penggunaan berat |
SIM / Telefoni | Panggilan menerusi tambatan bluetooth |
Sensor | Sensor kadar jantung, oksigen darah, pecutan, giroskop, geomagnetik, atmosfera, cahaya ambien |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Tahap Ketahanan | 5ATM |
Diameter | 42.83 x 42.83 x 9.25mm |
Warna | Midnight Black / Misty Pink / Ocean Blue |
Harga Jualan | RM699 |
Tiada apa-apa yang baharu mengenai rekaan tetapi diakui masih terdapat perbezaan kecil dari segi pembuatannya. Ia bercirikan ringkas, minimalis dan mementingkan fungsi. Tidak dinafikan ada sesetengah produk kelihatan cantik pada pandangan mata tetapi tidak praktikal dipakai.
Namun begitu, berbeza pula dengan Amazfit GTR Mini yang menggabungkan nilai estetika dan fungsi dalam satu tubuh yang sangat selesa dipakai. Beratnya hanya sekitar 24.6g yang bermakna langsung tidak terasa berat di pergelangan tangan. Bahkan, saya menggunakannya sewaktu melakukan aktiviti sukan, bekerja dan tidur terasa amat selesa dan langsung tidak mengganggu.
Ia juga didatangkan dalam satu variasi dengan kerangka keluli tahan karat bersaiz 42mm yang amat sesuai digayakan oleh mereka yang mempunyai pergelangan tangan kecil. Meskipun hanya bahan silikon biasa, tali yang digunakan cukup berkualiti sehingga dapat digunakan tanpa menyebabkan risiko alergi dan gatal pada kulit.
Sistem cangkuk standard juga memudahkan penggunaan, di samping tali tersebut turut boleh ditanggalkan dan ditukar ganti sekiranya mahu. Amazfit menawarkan satu pilihan untuk kerangka yang bewarna perak, sementara itu tiga pilihan warna pula untuk tali yang merangkumi Midnight Black, Misty Pink dan Ocean Blue.
Skrin yang digunakan pula bersaiz 1.28-inci AMOLED dengan resolusi 416 × 416 piksel dan kepadatan piksel 326PPI. Ia sejenis rata dan berwarna dengan sokongan sesentuh yang amat berguna memudahkan lagi navigasi dilakukan pada muka jam tangan. Konsep ini adalah hampir sama dengan Amazfit GTR 2 dan GTR 3 yang juga tidak didatangkan dengan sebarang kelengkapan perlindungan khusus di sekeliling permukaan muka jam.
Menurut spesifikasi rasmi, kaca utama hanya dilapisi dengan salutan anti cap jari. Tetapi secara amnya ia masih dilindungi secukupnya oleh kerangka keluli tahan karat yang mengelilingi kaca berkenaan. Ia berfungsi dengan baik dan terbukti tahan lasak tanpa mengakibatkan calar pada kaca jam tangan.
Hal ini boleh dibuktikan apabila saya sendiri telah beberapa kali secara tidak sengaja terlanggar bucu meja dan tombol pintu. Namun bernasib baik kerana tiada kesan kerosakan yang ditemui sehingga hari ini, namun masih menangkap kesan cap jari yang agak ketara dari masa ke semasa.
Pada masa sama, saya juga masih perlu berhati-hati kerana kerosakan termasuklah kaca retak atau pecah tetap boleh berlaku dalam situasi yang tidak dijangka. Terdapat juga butang fizikal tunggal yang bertujuan menyediakan akses pantas untuk sejumlah ciri dan fungsi terbina.
Seterusnya bahagian belakang jam tangan pula diperbuat daripada plastik berkilat. Ini dipadankan juga dengan sensor pengesanan kesihatan yang digelar sebagai BioTracker 3.0 oleh Amazfit. Melaluinya ia menawarkan pelbagai ciri standard untuk seutas jam tangan pintar moden seperti penjejakan nadi, penjejakan pola tidur, oksigen dalam darah dan sebagainya.
Terdapat juga pelbagai ciri lain yang menjadikannya pilihan yang menarik untuk seutas jam tangan pintar moden. Misalnya seperti penjejakan GPS yang amat berguna untuk aktiviti luar. Kemudian kawalan muzik, pemberitahuan pintar, kemas kini cuaca dan keupayaan mengawal peranti rumah pintar.
Bahagian yang sama turut menyertakan plat magnetik bagi tujuan pengecasan namun tiada sebarang ciri pengecasan nirwayar yang diberikan. Jam tangan ini juga mempunyai penarafan kalis air 5ATM bagi memastikan ia masih boleh digunakan meskipun di dalam air.
Lebih menarik apabila mod berenang disediakan dengan pilihan sehingga empat tahap kedalaman. Di samping turut boleh ditetapkan secara manual mengikut keperluan pengguna sendiri. Saya tidak pula menguji kebolehannya kerana tidak pantai berenang, tetapi digunakan dalam situasi hujan (bukan sengaja) menunjukkan tiada kerosakan dikesan sehingga ke hari ini.
PERKAKASAN & APLIKASI
Amazfit GTR Mini menggunakan Zepp OS 2.0 yang jauh lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Tiada perubahan antaramuka terlalu drastik dilakukan tetapi boleh dikatakan lebih matang dengan konsep lebih kemas dan mesra pengguna. Ini bermakna mudah digunakan dan dipelajari tanpa memakan masa yang lama menjadikan ia sesuai buat mereka yang pertama kali menggunakan peranti boleh pakai daripada Amazfit.
Jika anda pernah menggunakan jam tangan daripada Amazfit sebelum ini, anda akan tahu apa yang boleh diharapkan di sini. Sama seperti mana-mana jam tangan pintar asas, sokongan aplikasi pihak ketiga juga tidak diberikan di sini. Sebaliknya Amazfit menyediakan kedai aplikasi khusus untuk jam tangan Zepp OS bagi tujuan memasang lebih banyak aplikasi.
Proses navigasi jam tangan ini juga mudah yang memerlukan pengguna menatal dan menyentuh sepenuhnya pada muka jam. Leret ke kanan dan kiri membolehkan pelbagai fungsi utama diakses dengan mudah, misalnya seperti kadar degupan jantung, oksigen dalam darah, cuaca dan sebagainya.
Menatal dari atas ke bawah pula memaparkan akses pintas untuk sejumlah tetapan pada jam tangan pintar. Kemudian tatalan dari bawah ke atas pula membawa ke bahagian pemberitahuan. Menekan dengan lama pada butang fizikal pula membolehkan sejumlah mod sukan terbina digunakan.
Penggunaan bersama aplikasi Zepp amat diperlukan untuk sokongan fungsi dan perisian yang lancar. Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi gedung aplikasi di AppStore, PlayStore dan Huawei AppGallery. Tetapi saya hanya sempat mengujinya dengan peranti iPhone menerusi sokongan fungsi bluetooth. Proses sambungan mengambil beberapa minit dengan langkah yang mudah seperti pastikan jam tangan telah sedia ditambat pada peranti. Kemudian imbas kod QR yang disediakan bagi tujuan sambungan sepenuhnya.
Pelbagai maklumat berkaitan kecergasan dan kesihatan yang boleh disemak menerusi aplikasi ini. Ia termasuklah bilangan aktif nadi, langkah serta jarak berjalan, kalori dibakar dan banyak lagi. Pengguna juga boleh klik pada mana-mana aktiviti yang disenaraikan untuk melihat maklumat terkumpul dengan lebih terperinci. Dalam masa sama, ia lebih menyeluruh berbanding pada jam tangan itu sendiri. Memang mudah untuk membiasakan diri dengannya tanpa mengambil masa yang panjang.
Banyak faktor yang menjadikan konsep pada kali ini berjaya menarik perhatian dan membuatkan saya suka padanya berbanding pengalaman sewaktu mengulas Amazfit GTR 2 sebelum ini. Misalnya seperti penggunaan warna dan ikon lebih ceria.
Kemudian ruangan markah waktu tidur kini turut disertakan perincian data yang lebih baik bersama cadangan sepatutnya yang bertujuan bantu meningkatkan pengalaman tidur yang lebih berkualiti. Sebagai tambahan, data terkumpul ini turut boleh diselarikan dengan sejumlah aplikasi ketiga seperti Google Fit, Strava, Relive dan Adidas Running.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Apa yang saya suka? Salah satu daripadanya ialah binaan dan skrin utama pada jam tangan ini. Saya suka dengan kemasan dan kualiti bahan yang digunakan, kemasan kaca tidak mudah calar pada kerangka itu sendiri sudah mampu memberi penampilan yang premium.
Ini dipadankan lagi dengan tubuhnya yang ringan, nipis dan kecil amat sesuai digayakan oleh mereka yang mempunyai pergelangan kecil khususnya golongan wanita. Tali silikon yang digunakan pula cukup lembut dan selesa untuk dipakai sepanjang tanpa mengenal aktiviti, sama ada bersantai, kerja mahupun bersenam.
Selanjutnya paparan skrin adalah terang dan cantik dengan penghasilan semula warna cukup bermaya. Pelbagai kandungan seperti nombor dan teks boleh dibaca dengan jelas. Ini tidak kiralah sama digunakan sewaktu di dalam atau luar bangunan. Ciri Always-On- Display juga berfungsi dengan baik yang mana secara bijak mampu mengesan tangan pengguna lalu berupaya menghidupkan skrin bersama kandungan yang sepatutnya.
Begitu juga dengan tiadanya isu sokongan sesentuh yang tidak lancar. Cuma bezel agak tebal dirasakan sedikit mengganggu, justeru anda disarankan agar menggunakan pilihan muka jam yang berwarna gelap supaya tidak kelihatan dengan jelas. Selanjutnya, terdapat juga sensor cahaya terbina yang boleh menyesuaikan tahap kecerahan skrin secara automatik mengikut persekitaran.
Sebagai seutas jam tangan pintar asas, prestasi yang diperlihatkan boleh dianggap memadai tanpa isu kronik yang berlaku sepanjang ulasan dibuat. Sensor terbina dilihat berfungsi cukup baik dengan kemampuan menjejak serta mengesan sejumlah aktiviti secara automatik. Ini amat berguna khususnya buat mereka yang sering terlupa mengaktifkan mod sukan sebelum memulakan aktiviti bersenam.
Cuma sekali sahaja yang saya perasan berlakunya ralat secara rawak. Hal ini berlaku sewaktu perjalanan ke China untuk urusan kerja tempoh hari, yang mana saya meletakkannya di dalam bekas sewaktu pemeriksaan barangan di kaunter imigresen. Tetapi agak mengejutkan apabila jam tangan ini mengesan saya sedang berada di atas treadmill. Keadaan ini bagaimanapun berlaku hanya sekali yang kemudiannya jam tangan ini kembali berfungsi seperti biasa.
Sokongan GPS lima satelit terbina pula membolehkan penjejakan aktiviti dilakukan dalam masa nyata yang kemudiannya boleh disemak menerusi aplikasi. Saya juga menyukai ciri peringatan automatik untuk beberapa keadaan seperti ucapan selamat pagi yang akan muncul setiap kali terjaga daripada tidur.
Kemudian peringatan untuk berdiri juga amat berguna khususnya bagi seorang individu seperti saya begitu gemar duduk sepanjang lapan jam bekerja tanpa bergerak. Ini bagi membolehkan tubuh kita kekal aktif memandangkan duduk terlalu lama tanpa aktiviti sebenarnya tidak baik malahan boleh mengundang kepada banyak masalah kesihatan.
Tiada masalah menyemak notifikasi teks dan panggilan masuk daripada peranti yang disambungkan. Namun tiada kebolehan menjawab panggilan terus daripadanya. Hal ini berlaku akibat daripada tiadanya sebarang mikrofon mahupun pembesar suara terbina yang ditemui pada jam tangan ini. Tetapi Amazfit masih menyediakan kebolehan membalas teks pantas yang juga boleh disesuaikan menerusi aplikasi.
BATERI
Amazfit GTR Mini mempunyai bateri berkapasiti 280mAh yang diiklankan mampu bertahan mencapai 14 hari dengan penggunaan normal. Seterusnya berkurang menjadi 7 hari bagi penggunaan berat. Ia bukanlah tidak berasas malahan penggunaan peribadi saya menunjukkan jam tangan ini mampu bertahan lebih seminggu sewaktu digunakan secara santai.
Sementara itu penggunaan dengan sambungan bluetotth dan pengaktifan mod terbina berterusan memberi ketahanan mencapai 6 hari penggunaan. Proses pengecasan pula mengambil masa sekitar 1 jam menerusi sambungan bermagnet yang mencengkam jam dengan kuat. Ia bagaimanapun perlu diletakkan pada arah yang betul dan jika sebaliknya, proses pengecasan tidak boleh dilakukan dengan baik.
APA DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Amazfit GTR Mini di Malaysia.
- 1 X Amazfit GTR Mini.
- 1 X Kabel pengecas USB-A ke dermaga khusus.
- 1 X Manual pengguna.
- 1 X Notis Waranti
KESIMPULAN
Amazfit GTR Mini mempunyai ciri dan fungsi yang baik bagi segmen jam tangan pintar asas. Skrin cukup baik dengan paparan skrin yang terang dan bermaya, di samping tidak begitu rumit untuk dikendali disebabkan tubuh yang serba nipis. Ia juga boleh digayakan dengan mudah bagi pelbagai tujuan sama ada bersantai mahupun bersukan.
Bukan itu sahaja ciri pemantauan kesihatan dan kecergasan yang pelbagai juga memberi kebebasan kepada pengguna untuk melakukan aktiviti. Hal ini bertambah baik apabila ia juga memuatkan sokongan GPS terbina yang membolehkan pengguna tidak bergantung pada peranti pintar sepanjang masa sewaktu melakukan aktiviti.
Kekurangan seperti saiz bezel yang besar masih boleh di atas dengan penggunaan pilihan muka jam yang sepatutnya. Kemudian tiada kebolehan memuat turun aplikasi pihak ketiga pula umumnya sudah menjadi kebiasaan yang berlaku pada seutas jam tangan pintar asas. Bagi yang berminat anda boleh mendapatkannya pada RM699 di pasaran sekarang.
Pro
- Ringan dan selesa digunakan sepanjang masa.
- Skrin AMOLED yang cantik, terang dan jelas.
- Perisian lebih matang dan mesra pengguna.
- Ketahanan bateri yang lama.
- Kalis air.
Kontra
- Kebolehan membalas teks yang terhad.
- Tiada kebolehan menjawab panggilan masuk.
- Tiada kebolehan muat-turun aplikasi pihak ketiga.
- Tiada pengecasan nirwayar.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment