Samsung Memperkenalkan Kad Memori UFS – Pengganti Untuk Mikro-SD
Kad mikro-SD pada hari ini bukan sesuatu yang asing lagi. Ia digunakan secara meluas pada pelbagai jenis peranti daripada komputer riba, telefon pintar, dan sebagainya. Bagi anda yang tertanya-tanya apakah yang hadir selepas mikro-SD, kini Samsung mempunyai jawapannya.
Samsung hari ini telah memperkenalkan kad memori UFS – yang mana menawarkan kapasiti bermula 32GB hingga 256GB, selain pada masa yang sama hadir dengan kebolehan membaca dan menulis yang berkali ganda lebih pantas berbanding kad mikro-SD biasa.
UFS (Universal Flash Storage) sebelum ini telah digunakan oleh Samsung pada telefon pintar Galaxy S6 mereka untuk storan utama peranti. Namun, dengan pengenalan kad memori UFS ini, kita mungkin akan melihat pelbagai perubahan hadir pada telefon pintar akan datang.
Ini adalah kerana kad memori UFS menggunakan rekaan yang berbeza dengan kad mikro-SD, membuatkan sokongan berbeza diperlukan untuk menggunakannya. Dengan telefon pintar yang memfokuskan kepada saiz yang lebih nipis, kita mungkin hanya akan melihat sokongan kad memori UFS sahaja pada masa hadapan menggantikan penggunaan kad memori mikro-SD ini.
Samsung sendiri menyasarkan penggunaan kad memori UFS ini semakin meluas dengan permintaan pada masa kini yang memerlukan penulisan dan pembacaan lebih pantas – apatah lagi dengan ramai yang mula merakamkan video dalam bentuk 4K ataupun 360-darjah.
Samsung masih belum mengumumkan harga dan bilakah ia akan dijual secara meluas di pasaran. Mungkinkah kita akan melihatnya pada telefon pintar Galaxy Note akan datang ini?
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/29jQhNx
Post a Comment