Muhyiddin tidak puas hati dengan pembentangan bajet
KUALA LUMPUR – Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pembangkang.
Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sebagai Ahli Parlimen Pagoh turut tidak berpuas hati dengan pembentangan bajet tersebut memandangkan ia tidak menggambarkan keadaan kedudukan kewangan negara yang sebenar.
“Kita tak sedia dengar apa-apa penjelasan lagi kerana saya percaya apa yang disampaikan itu tidak memberikan gambaran tentang kedudukan realistik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Ketika sesi Pembentangan Bajet 2017 semalam, ahli-ahli Parlimen dari pembangkang dilihat bersepakat untuk keluar dewan sebagai tanda protes terhadap bajet disediakan oleh kerajaan tersebut.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa rakyat negara ini telah diguna-gunakan dengan tawaran-tawaran tertentu namun hakikatnya kerajaan tidak mempunyai dana mencukupi.
“Mungkin soal aliran tunai (cash flow) juga merupakan satu bebanan namun ia tidak digambarkan dalam pembentangan kali ini,” katanya.
Di samping itu, Muhyiddin berkata beliau turut meyakini bahawa kementerian-kementerian juga tidak akan dibekalkan dengan jumlah wang yang dinyatakan di dalam pembentangan bajet tersebut.
Menurutnya, situasi ini bakal memberikan masalah lebih besar memandangkan gambaran pada tahun 2017 dikatakan akan lebih teruk.
“Ekonomi dunia tidak akan pulih dan negara tak akan dapat sumber dana baru.
“Dan disebabkan bebanan tadi, ia akan menjadikan masalah rakyat lebih teruk,”katanya.
Ujar beliau, kerajaan sepatutnya lebih beramanah dan bertanggungjawab khususnya melibatkan isu pokok yang sepatutnya diberikan penjelasan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Perdana Menteri beranggapan bahawa penerangan yang diberikan olehnya dalam pembentangan bajet kali ini dapat meyakinkan rakyat untuk dilaksanakan.
Ujar Muhyiddin, beliau pernah berada dalam kerajaan dan melalui pengalamannya, kementerian-kementerian yang dijanjikan peruntukan besar kebiasaannya tidak memperoleh jumlah tersebut selepas proses saringan, kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan sebagainya.
“Saya percaya ini akan berlaku kerana jelas terbukti hasil negara tak mungkin dapat menampung sejumlah besar tanggungan dan pembiayaan,” katanya.
SINAR HARIAN
.
Penyumbang : Malaysia Chronicle http://ift.tt/2etkv4F
Post a Comment