Mungkinkah Kerusi P078 Cameron Highlands Jadi Pertaruhan Akhir MIC?
Harus diakui, kerusi Parlimen P078 Cameron Highlands memang panas dan hangat diperkatakan oleh ramai pemerhati politik. Semuanya gara-gara persaingan antara Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas dengan bakal calon yang diletakkan oleh MIC, Datuk S Sivarrajh.
Persaingan untuk diangkat menjadi calon BN ini turut sama menarik perhatian dua parti pembangkang utama di Parlimen ini iaitu DAP dan PSM yang turut mengintai peluang menumbangkan BN buat kali pertama di kerusi ini.
Disebalik semua ini, ramai yang tertanya-tanya, kenapa kedua-dua parti ini begitu bersungguh-sungguh bersaing untuk merebut menjadi calon bagi kerusi ini, terutamanya sekali MIC? Bukankah selama hampir 3 tahun, MIC telah mengabaikan kerusi yang mereka menangi menerusi Datuk Seri G Palanivel sehingga menyaksikan Tan Sri M Kayveas bertindak menjadi "caretaker"?
Jika difikirkan secara logik dan munasabah, seharusnya apa yang diinginkan oleh Tan Sri M Kayveas untuk menjadi calon bagi kerusi ini, sepatutnya tidak menjadi sebarang halangan buat mana-mana parti komponen BN yang ada di Parlimen ini. Ini kerana, beliau telah menggerakkan kerja beliau mendekati rakyat sejak September 2015, tahun di mana MIC meninggalkan kerusi ini akibat pemecatan Datuk Seri G Palanivel.
Namun, MIC kekal bertegas mahu menuntut kerusi ini walaupun gerak kerja yang dilakukan oleh parti berkenaan baru bermula kira-kira 7 atau 8 bulan yang lalu. Apa yang ingin dipertaruhkan MIC terhadap kerusi ini?
Ini mungkin hanya sekadar andaian namun dari apa yang dilihat, MIC begitu terdesak mencari dan mempertahan kerusi yang mereka dakwa sebagai kerusi tradisi atau kerusi selamat mereka. Sejak beberapa penggal yang lalu, benar MIC berjaya mempertahankan kerusi ini sejak kemenangan pertama Datuk Seri Devamany, selama dua penggal berturut-turut.
Kemudian, rentak kemenangan ini diteruskan oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel sebelum beliau akhirnya dipecat dari parti berkenaan setelah berlaku pergolakan dalaman parti berkenaan. Atas alasan inilah kenapa MIC mendakwa kerusi ini adalah kerusi selamat dan tradisi mereka walaupun hakikatnya, selama hampir 3 tahun, mereka secara terang-terangan mengabaikan kerusi ini.
Pada masa yang sama, menurut beberapa sumber, sekiranya MIC gagal memperoleh kerusi ini, koata bagi parti berkenaan akan berkurangan. Malah, kedudukan Presiden MIC sendiri, Datuk Seri S Subramaniam juga dikatakan turut akan terjejas andai kerusi ini terlepas ketangan Tan Sri M Kayveas dan MyPPP.
Sekali lagi, mungkin ini hanya andaian dan maklumat yang disampaikan oleh sumber dari dalam MIC itu sendiri. Namun, apa yang perlu diterima semua pihak adalah, seramai lebih 32 ribu pengundi Cameron Highlands sendiri yang berhak menentukan siapa yang akan mereka pilih selaku wakil mereka di Parlimen kelak.
Cukuplah mereka kehilangan wakil selama hampir 3 tahun untuk menyuarakan hak dan masalah mereka. Sudah tentu, mereka memerlukan seorang calon yang mampu berkhidmat untuk mereka dan dekat di hati mereka.
Istilah tradisi mahupun kerusi selamat tidak harus dijadikan alasan kerana apa yang lebih penting adalah kehendak rakyat itu sendiri. Paling utama, BN tidak boleh melepaskan kerusi yang dilihat boleh dimenangi hanya semata-mata menerima alasan kerusi selamat mahupun kerusi tradisi.
Banyak yang dipertaruhkan walaupun ianya melibatkan satu kerusi. Kemenangan BN, kekuatan BN, hak rakyat dan wakil rakyat yang cukup komited bakal menjanjikan sesuatu yang jauh lebih manis dari memperkatakan tentang kerusi selamat mahupun tradisi. Masa depan rakyat di Parlimen P078 Cameron Highlands bakal jadi taruhan andai berlaku sebarang kesilapan memilih calon.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2Jmjafh
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment