1998 TAK AKAN BERULANG, DR MAHATHIR DAN ANWAR SUDAH BERUBAH, KATA KIT SIANG
KEDUA-DUANYA bercita-cita tinggi dan penuh luka pertempuran silam.
Kedua-duanya dikelilingi oleh penyokong yang tak sabar dan saling mencurigai.
Kali terakhir gabungan mereka menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri, pengakhirannya tercatat sebagai salah satu kejelikan terburuk dalam sejarah politik Malaysia.
Pengkritik percaya yang negara sebenarnya sedang menghitung waktu sebelum sengketa antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim tercetus sekali lagi, yang akan memperorak-perandakan kerajaan Pakatan Harapan yang baru terbentuk seterusnya mengheret negara ke dalam kemelut perebutan kuasa.
Lim Kit Siang juga ada mendengar cakap-cakap sebegitu, tetapi kali ini beliau meletakkan taruhan yang kemelut tidak akan berlaku.
Veteran DAP itu mengatakan kedua-dua pemimpin dan pemimpin kanan negara yang lain dalam PH sudah berubah dan gabungan empat parti itu sebenarnya lebih kukuh berbanding yang terzahir.
Masa dan persekitaran negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bersejarah telah mengubah Dr Mahathir dan Anwar, kata Lim.
“Saya rasa kami semua sudah berubah. (Dr) Mahathir, Anwar dan semua pemain utama dalam Pakatan Harapan sudah belajar tentang kehidupan untuk jadi orang yang lebih baik dan jadi pemimpin Malaysia yang lebih sensitif, lebih wajar dan lebih baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dua puluh tahun lalu, Anwar dan Dr Mahathir adalah musuh ketat dalam Umno walaupun mereka masing-masing memegang jawatan nombor satu dan kedua parti itu. Bukan lagi satu rahsia yang kedua-duanya cuba menundukkan satu sama lain dalam permainan kuasa dalaman parti.
Kemelut sampai ke kemuncak apabila Anwar dipecat daripada kerajaan, Umno dan akhirnya dipenjarakan sehingga mencetuskan gerakan Reformasi pada 1998.
Kurang dua dekad kemudian, Dr Mahathir dan Anwar kembali berbaik dan bersatu dengan pemimpin PH yang lain untuk menyingkirkan Najib Razak dan Barisan Nasional.
“Saya percaya (Dr) Mahathir sekarang sangat berbeza dengan (Dr) Mahathir yang jadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun daripada 1981-2003,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Berikut adalah petikan wawancara tersebut:
TMI: Apa yang mengejutkan tuan tentang PRU14?
Lim: Saya sebenarnya tak menjangkakan yang Pakatan Harapan menang kerajaan persekutuan dan lapan kerajaan negeri- bukan sekadar mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor, tetapi juga menang di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah bersama Warisan Sabah.
Ada dua kemungkinan wujudnya perubahan politik dalam PRU14 jika dua syarat dipenuhi: pertama, kadar keluar mengundi dan sokongan pengundi di kawasan bandar dan separa bandar kekal atau meningkat bagi memastikan berulangnya tsunami politik kawasan bandar dan separa bandar seperti mana Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013; dan kedua terjadinya tsunami luar bandar atau tsunami Melayu.
Walaupun sindrom sangkal realiti yang ada pada Najib terus wujud sehingga hujung kempen pilihan raya yang tidak mahu menerima adanya tsunami Melayu, terdapat petanda jelas kebangkitan perubahan politik dalam kalangan pengundi Melayu di kawasan luar bandar, tetapi saya tak pasti sekuat mana gelombang itu pada hari pengundian.
TMI: Namakan satu peristiwa paling bermakna PRU14
Lim: Tidak ada satu keadaan “eureka” yang wujud, kerana persoalan yang bermain dalam fikiran setiap orang yang berkumpul di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada malam keputusan adalah, adakah akan wujud Parlimen tergantung atau Pakatan Harapan akan menang majoriti mudah dengan sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen
Ambiga Sreenivasan, bersama ramai lagi pemimpin NGO lain yang turut berkumpul di Hotel Sheraton, bertanya mengapa (Dr) Mahathir tak boleh umum lagi yang Pakatan Harapan telah menang. Tetapi, saya beritahu dia yang pemimpin Pakatan Harapan sendiri perlu kepastian yang kami sudah melepasi nombor ajaib iaitu lebih 112 kerusi.
“Siapa sebenarnya yang jangka Pakatan Harapan akan menang Pilihan Raya Umum ke-14? Semua orang, penganalisis politik dan pengundian menjangkakan Umno-Barisan Nasional akan menang mudah.
Malah, Najib Razak sendiri akan rasa bukan sahaja akan menang, tetapi akan mengekalkan majoriti dua pertiga Parlimen yang tidak dicapai Umno-Barisan Nasional pada dua pilihan raya sebelum ini.
Kalau ditenung balik, sangat jelas yang Najib tak buat sebarang rancangan lain sebab dia hidup dalam kepompongnya sendiri, dipenuhi dengan pakar strategis dan penasihat yang mahal gajinya.
TMI: Tuan sudah bekerja dengan Dr Mahathir sejak tiga tahun lepas? Adakah dia sudah berubah dan adakah Malaysia berada di tangan mereka yang boleh dipercayai?
Lim: Saya percaya (Dr) Mahathir sekarang sangat jauh berbeza dengan (Dr) Mahathir yang jadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun daripada 1981-2003. Beliau berubah daripada seorang ‘hegemon’ kepada pembuat konsensus.
Saya percaya yang Malaysia dalam situasi yang baik di bawah (Dr) Mahathir dan Pakatan Harapan. Sekarang, kita ada peluang kedua untuk menjadi Malaysia Baharu di mana kita boleh tunjuk kepada dunia Malaysia yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya boleh jadi Malaysia yang berjaya, bersatu, progresif dan makmur dan tidak lagi ke arah negara yang gagal, penyangak dan kleptokratik.
– https://ift.tt/2pAR1dR
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2MgIkgK
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment