“Aduh, menyesal ikut cakap kawan aku beli rumah ni!” – Adam
Industri pelaburan hartanah kat negara kita semakin berkembang. Semakin ramai new players yang berminat nak masuk ke gelanggang ini.
Sebagai persediaan awal, kita boleh dalami pelbagai tip dan ilmu hartanah. Tak kira sama ada belajar daripada mentor bertauliah, buku, atau blog yang kongsikan ilmu ini.
Yang pasti, bila kita ada ilmu, semakin susah kita nak kena tipu dan rugi.
Selain itu, kita akan jadi lebih berani mengambil tindakan dalam mencapai matlamat yang kita nak melalui pelaburan hartanah.
Dan kali ini, Tok ada satu artikel menarik yang nak dikongsikan kat korang pasal topik ini. Tok baca ilmu ini kat blog Tuan Najib Mohamed.
Dengan perancangan dan pelan tindakan yang baik, pelaburan ini akan berikan pulangan yang baik.
Tapi, kalau silap buat, korang akan terdedah untuk rugi banyak. Dah tentu korang tak nak rugi langsung, kan?
#1: Elakkan cerita mitos tentang pelaburan hartanah daripada pengaruhi anda
Cukup ramai pelabur-pelabur baru tanam anggapan ini dalam minda mereka:
“Pelaburan hartanah boleh buatkan kita cepat jadi kaya tau!”
Kononnya, dengan 1 big deal dah boleh jadikan mereka seorang jutawan. Kalau macam ini, dah tentu ramai yang dah bergelar jutawan.
Wajar Tok katakan. Pelaburan hartanah sama saja dengan pelaburan yang lain. Ia tetap ada risiko. Dan ia juga tak mudah, dan tak pula susah.
Walaupun ia berisiko, ia masih lagi boleh kita kawal. Tak seperti pelaburan saham, atau pelaburan lain yang boleh Tok katakan, berada di luar kawalan kita.
Belajar untuk tahan diri daripada senang-senang terima cerita mitos seperti ini.
Yang terbaik korang boleh buat, adalah belajar dulu dan kuatkan asas dalam bidang ini. Kalau asas dah kental, tak mustahil korang boleh jadi jutawan hartanah satu hari nanti, In Shaa Allah.
#2: Beli hartanah tanpa sebarang perancangan rapi
Ini nasihat Tuan Najib untuk korang semua:
“Tahan diri daripada membeli dulu, selagi korang tak tahu apa nak buat dengan hartanah itu.”
Sebab apa korang beli hartanah? Ini soalan penting yang kita kena jawab dulu.
Tak usah pula jawab seperti ini:
- “Aku ikut cakap kawan-kawan. Mereka cakap hartanah ini ada nilai yang tinggi.”
- “Aku beli sebab harga rumah ini murah sangat. Duit aku pun dah cukup, aku pun belilah.”
- “Nak kena beli cepat. Kalau tak, orang lain sambar rumah ni. Melepaslah aku…”
Jawapan atas ini bukanlah jawapan yang baik tau.
Sebelum nak membeli hartanah, pastikan kita dah ada perancangan yang jelas. Apakah yang korang nak buat dengan hartanah itu?
Adakah:
- Korang nak sewakan rumah itu, atau nak duduk sendiri?
- Kalau nak sewakan, berapakah kadar sewa yang korang nak letak?
- Berapa kadar monthly installment yang aku kena tanggung?
- Bila nak jual rumah ini untuk dapatkan untung?
- Berapa tahun nak simpan hartanah ini?
Ini antara contoh soalan yang boleh bantu kita merangka matlamat yang nak dicapai. Dan ada banyak soalan yang kita kena jawab sebelum buat sesuatu keputusan membeli.
Dengan strategi dan matlamat pelaburan yang jelas, korang dapat kurangkan risiko kerugian dan buatkan setiap pembelian itu menjana untung.
#3: Tak sediakan bajet yang cukup
Sikap berani itu perlu ada. Tapi, kalau berani tanpa ilmu, pun tak elok juga.
Banyak dah kes pelabur baru yang terlalu berani beli rumah, yang diluar kemampuan mereka.
Ingatkan nak beli rumah, kita cuma perlu keluarkan 10% daripada harga jualan rumah saja. Contohnya, kalau nak beli rumah berharga RM400,000, kita cuma perlu sediakan RM40,000 saja.
Ini adalah cara yang tak betul.
Banyak lagi kos yang pembeli kena tanggung, seperti:
- bayaran duit setem,
- legal fees untuk SPA (Sales & Purchase Agreement),
- kos peguam, serta lain-lain kos.
Kos ini biasanya akan telan belanja sebanyak 5% (atau lebih) daripada harga jualan rumah itu.
Kalau korang kaji lagi, ada cara untuk kita tanggung kos ini gunakan pinjaman perumahan yang kita buat. Itu sebab pentingnya cari ilmu sebelum mula melabur.
#4: Tak tahu langsung pasal pasaran hartanah
Nak jadi seorang pelabur hartanah yang bagus?
Mulakan dengan ambil tahu tentang pasaran hartanah semasa negara kita. Ini termasuk pasal jenis rumah, kawasan, dan juga segmen pelanggan.
Setiap jenis hartanah ada karakteristik yang berbeza antara satu sama lain.
Adakah korang nak beli terus rumah daripada pemaju? Apakah maksud hartanah sekunder?
Faktor-faktor seperti ini akan mempengaruhi nilai hartanah, kadar sewaan dan kebolehan untuk dipasarkan kat pembeli yang berminat.
#5: Kurang buat kajian terperinci pasal hartanah
Bila orang lain tahu yang kita nak beli rumah, mereka akan mula desak kita beli hartanah yang mereka sarankan. Ini adalah perkara normal yang selalu jadi kat ramai orang.
Walaupun cadangan itu boleh kita pakai dan menepati setiap syarat sah membeli sesebuah rumah, duit yang kena guna adalah duit kita sendiri. Bukan duit mereka.
Dan duit ini adalah hasil daripada titik peluh korang sendiri. Korang mesti tak sanggup tengok duit tu lebur begitu saja, kan?
Jadi, ambil masa korang untuk buat seberapa banyak kajian untuk perkara ini. Lagi satu, tak usah ikut bulat-bulat apa yang salesman kata.
Korang boleh rujuk laman web, forum, surat khabar, atau tanya pakar dan coach hartanah untuk dapatkan pandangan mereka.
Antara maklumat yang kita kena ambil tahu adalah:
- identiti pemaju dan track record syarikat mereka,
- keadaan pasaran hartanah semasa terkini,
- kemudahan sekeliling yang ada kat hartanah yang nak dibeli,
- pembangunan atau projek lain kat sekitar hartanah itu, dan lain-lain yang berkaitan.
#6: Kurang tumpukan perhatian semasa melawat tapak hartanah
Keadaan sesubuah hartanah akan jadi penentu nilai hartanah itu. Lebih-lebih lagi untuk hartanah kategori sub-sales.
Dah jadi kes biasa. Ramai pembeli yang periksa ala kadar saja sebelum membeli hartanah. Lepas itu, diri sendiri yang tanggung rugi.
Lepas dah dapat kunci rumah, baru mereka perasan yang ada kerosakan yang perlu dibetulkan. Dah kena keluar bajet ekstra pula. Harap korang tak jadi seperti ini ya.
#7: Tak ada analisa terperinci
Elakkan daripada fokus kat satu listing saja.
Lagi bagus kalau korang buat analisa lebih daripada 1 hartanah. Paling kurang, korang boleh kaji 3 hartanah kat satu kawasan yang sama.
Kemudian, kita boleh kumpulkan 3 maklumat ini, dan buat keputusan pembelian yang terbaik daripada sini.
#8: Yang berharga murah, belum tentu lagi bagus
Ramai pelabur baru ada anggapan yang mereka boleh kaut untung cepat, dengan membeli hartanah yang murah.
Elakkan daripada bertindak seperti ini.
Periksa dulu latar belakang hartanah itu. Dan Tok maksudkan setiap perkara, seperti lokasi dan kejiranan. Perkara ini akan mempengaruhi faktor masa dan nilai jualan nanti.
Nota tambahan: Mana tahu, ada hantu yang menghuni rumah tu. Itu sebab pemilik hartanah tu nak jual murah. Yang paling teruk, pernah ada kes jumpa mayat dalam rumah yang dijual dengan murah (kes kat luar negara).
#9: Sentiasa semak dan update perancangan portfolio pelaburan hartanah anda
Pasaran hartanah sentiasa berubah, dan ia dipengaruhi oleh perubahan ekonomi semasa.
Untuk maksimumkan jumlah keuntungan dalam pelaburan ini, pastikan korang periksa portfolio pelaburan sekerap mungkin.
Pada masa yang sama, korang boleh merangka strategi pelaburan yang baru, supaya ia sesuai untuk korang gunakan mengikut keadaan semasa hartanah negara.
#10: Tak usah jadi Superman
Kita cuma manusia biasa saja. Tak mungkin semua benda kita boleh buat sendiri.
Kalau nak berjaya dalam pelaburan hartanah, berkawan dengan semua orang. Baik agen hartanah, peguam, pegawai bank, valuer, kontraktor, atau sesiapa saja yang terlibat dalam industri hartanah.
Mereka boleh bantu kita untuk dapatkan hartanah dengan nilai yang baik, serta memaksimumkan keuntungan pelaburan kita.
—
Bila dah bersedia dengan ilmu, baru ambil tindakan membeli. Kalau rasa belum cukup bersedia, buat bersabar dan menuntut ilmu dulu.
Bagus lagi korang beli rumah lambat dan dapat untung, daripada beli rumah cepat dan akhirnya kena tanggung rugi.
Dan rugi kat sini bukan takat seringgit dua, tapi beribu-ribu. Malah ada yang pernah rugi sampai beratus ribu. Tok tak nak korang jadi salah seorang mangsa kerugian ini.
The post “Aduh, menyesal ikut cakap kawan aku beli rumah ni!” – Adam appeared first on GilaHartanah.com - Portal pelaburan hartanah no 1* di Malaysia.
✍ Sumber Pautan : ☕ GilaHartanah.com – Portal pelaburan hartanah no 1* di Malaysia
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2tyC909
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment