Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pandang Pertama Google Stadia – Adakah Ini Masa Depan Permainan Video? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pandang Pertama Google Stadia – Adakah Ini Masa Depan Permainan Video?

Acara Google I/O baru sahaja berakhir pada Khamis lalu. Kami bernasib baik kerana dapat menghadiri acara terbesar yang dianjurkan oleh Google setahun sekali ini. Terdapat pelbagai produk baharu seperti Pixel 3a, 3a XL dan Nest Home Max dilancarkan minggu lalu. Anda boleh membaca mengenai pandang pertama kami untuk Pixel 3a dan Pixel 3a XL. Tetapi sebagai seorang peminat tegar permainan video sejak lebih 30 tahun, Google Stadia adalah produk yang paling mendapat perhatian kami.

 Apakah Stadia?

Bagi mereka yang mungkin kurang arif, Stadia ialah platform permainan video awanan Google. Ia membolehkan permainan video dimainkan pada telefon pintar, tablet, komputer riba, desktop, ChromeCast dan televisyen pintar yang menyokongnya. Kesemuanya dilakukan hanya menerusi pautan Internet dengan kandungan distrim terus tanpa memerlukan perkakasan seperti konsol.

Stadia menjanjikan pengalaman permainan dengan resolusi sehingga 4K HDR 60FPS yang sekata pada kesemua peranti yang kami senaraikan tadi. Anda boleh memainkan permainan seperti Assassin’s Creed Odyssey di telefon pintar semasa menaiki kereta api sebelum menyambung sesi permainan yang sama pada televisyen pintar sejurus selepas kembali semula ke rumah.

Ini ialah impian peminat permainan video tegar sejak berdekad lamanya. Kerana tiadanya keperluan perkakasan, kualiti permainan video yang sekata dapat dinikmati menerusi langganan secara bulanan. Ia merealisasikan impian menikmati permainan video sepanjang masa tanpa henti tanpa perlu risau perbezaan kualiti grafik apabila berubah antara platform.

Menggunakan Stadia

Di Google I/O kami mencuba Stadia pada sebuah televisyen pintar Android TV dan sebuah komputer riba Pixelbook. Kami tidak ditunjukkan bagaimana tetapan permainan dilakukan ataupun antaramuka pelancar Stadia. Butang Stadia, Capture dan Google Assistant pada pengawal permainan yang diberikan telah dinyahaktifkan.

Apabila disoal, wakil Google berkata versi Stadia yang dimainkan masih di tahap percubaan. Maklumat lebih lanjut serta antaramuka akhir akan diperlihatkan apabila ia dilancarkan kelak. Ini adalah mengecewakan kerana mengharapkan dapat melihat lebih banyak fungsi yang dijanjikan selepas pengumumannya di GDC Mac lalu.

Kami tidak boleh mencuba fungsi melancarkan Stadia terus dari YouTube, menggunakan Assistant untuk memberikan tips permainan atau menstrim ke YouTube dengan menekan hanya satu butang.

Hanya satu permainan boleh dimainkan pada reruai demo iaitu AC Odyssey. Permainan bergerak dengan lancar tanpa masalah sela masa yang mungkin dijangka bagi sebuah perkhidmatan penstriman. Ia jauh lebih lancar berbanding yang kami rasai pada versi PlayStation 4.

Wakil Google mengatakan untuk menikmati Stadia pada resolusi 1080P 60 FPS, kelajuan Internet minima ialah 20 Mbps. Untuk resolusi 4K 60 FPS pula kelajuan Internet minima pula ialah 35 Mbps. Resolusi dinamik digunakan dan bukannya kadar bingkai dinamik.

Ini bermakna jika kelajuan Internet berkurangan, resolusi penstriman sahaja dikurangkan dan bukan kadar bingkai. Kami difahamkan ujian telah dilakukan pada kelajuan Internet serendah 7 Mbps. Lebih rendah dari kelajuan ini dan Stadia tidak akan berfungsi.

Kedudukan terakhir permainan akan dijedakan pada pelayar Stadia. Perkara yang sama berlaku jika berlaku gangguan bekalan elektrik atau sambungan terputus secara tiba-tiba. Tiada masalah pemain perlu menyambung permainan dari awal seperti yang berlaku pada konsol jika perkara yang sama berlaku.

Stadia Controller

Satu-satunya produk yang disahkan adalah rekaan akhir ialah Stadia Controller. Kami antara golongan yang skeptis dengan pengawal permainan ini apabila melihatkan di dalam gambar. Sekilas pandang ia kelihatan agak berkotak dan besar. Sekaligus menyebabkan kami berfikir ia pastinya kurang selesa untuk digunakan.

Click to view slideshow.

Tanggapan kami nyata meleset selepas memainkan AC Odyssey selama hampir 30 minit. Tubuh pengawal permainan ini agak dibulatkan tanpa sebarang bicu tajam. Kontur badan pengawal ini terasa natural dan harus kami akui lebih selesa berbanding Sony DualShock 4 (DS4) yang telah kami gunakan sejak bertahun lamanya. Permukaan alat kawalan yang pusam turut tidak memerangkap kotoran dengan tekstur kasar. Tiga warna ditawarkan iaitu putih, hitam dan biru pirus.

Kesemua butang kawalan dapat diakses mudah dengan binaan yang cukup tegap. Ia sedikit lebih berat berbanding DS4 tetapi tidak memenatkan selepas berakhirnya sesi permainan. Susunan butang pada Controler mirip yang ditemui pada DS4 dengan dua tombol analog pada ditengah-tengah, satu D-Pad pada sebelah kiri, empat butang muka pada sebelah kanan dan empat butang bahu di hadapan. Dua butang bahu berbentuk picu

Dua tombol analog mempunyai pad getah yang memberikan cengkaman yang baik untuk ibu jari. Dari segi kualiti kemasan, Controller adalah setanding dengan pengawal permainan DS4 dan Xbox One yang kami miliki.

Terdapat bicu audio 3.5mm pada bahagian belakang manakala port pengecasan USB-C pada bahagian hadapan. Dengan penggunaan port USB-C, pengguna akan lebih mudah menyambungkan Controller pada komputer riba atau pengecas telefon pintar yang kini semakin banyak menggunakan kepala USB ini.

Apa yang kami sedari ialah tiadanya kesan getaran haptik disertakan. Ini membuatkan permainan terasa sedikit canggung kerana selepas menghabiskan hampir 130 jam di dalam Odyssey pada PlayStation 4, kesan haptik ini kami gunakan untuk timing ketika menantang musuh. Getaran haptik digunakan sebagai tanda serangan dapat ditangkis atau watak sedang dibantai.

Wakil Google enggan mengesahkan sama ada getaran haptik akan disertakan di dalam Controller. Namun begitu ketika menanggalkan kabel pengecas dari pengawal permainan, kami menyedari ia bergetar. Motor haptik memang terdapat di dalam Controller tetapi mungkin Google masih sedang cuba mendapatkan lesen menggunakan teknologi yang patennya dipegang oleh Immersion Inc. Sony pernah disaman oleh Immersion sehingga getaran haptik terpaksa dinyahaktifkan pada DualShock 3. Ia kemudian disertakan semula selepas kes diselesaikan.

Kesimpulan

Stadia menjanjikan dunia permainan berkualiti AAA boleh dimainkan dimana-mana dan pada pelbagai peranti dengan hanya sambungan Internet yang baik. Ini ialah anjakan paradigma dunia permainan video yang memerlukan perkakasan khusus untuk situasi berbeza. Pasca pengumuman ramai mengatakan ini ialah pembunuh konsol. Selepas kami memainkannya sendiri kami dapat setuju dengan pendapat ini.

Tetapi pada waktu yang sama ia mendatangkan masalah baharu. Untuk menikmati Stadia sambungan Internet sepanjang masa adalah diperlukan. Jika anda seorang gamer, anda pasti tahu keperluan sambungan Internet sepanjang masa amat dibenci apabila ia diimplementasikan dalam bentuk DRM (seperti Denuvo) dan spesifikasi awal Xbox One).

Di Malaysia sudah tidak banyak ISP yang mengenakan kuota bulanan. Tetapi di masa hadapan ia pasti akan dikuatkuasakan. Jumlah data yang diperlukan untuk menggunakan Stadia pastinya tinggi. Pada waktu yang sama perkhidmatan ini akan hanya dapat diakses di beberapa negara tertentu sahaja buat apabila dilancarkan pada musim panas kelak.

Kejayaan Stadia akan bergantung sepenuhnya kepada yuran bulanan, permainan yang ditawarkan, akses kepada Internet. Adakah ia akan akhirnya menguburkan PC dan konsol? Jawapan kami ialah bukan pada generasi ini kerana pelbagai kekangan akses serta teknologi. Tetapi perkhidmatan penstriman video akan mendominasi industri ini sama seperti penstriman video dan muzik mengubah industri perfileman serta rakaman.



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2DZoCUv

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.