Ulasan 1More ComfoBuds – Seronok Tetapi Tidak Puas
1More adalah syarikat yang menghasilkan pelbagai produk audio. Mereka ada set fon telinga berwayar, nirwayar, jenis neckband, TWS, pelbagai pembesar suara dan turut menawarkan pelbagai pilihan set fon kepala. 1More turut cuba menawarkan produk audio profesional pada harga lebih mampu milik dan turut terlibat dengan penghasilan produk audio Xiaomi.
Setiap produk audio 1More kebanyakannya unik dan menarik. Rekaan kebanyakannya asli, pilihan warna yang menarik, fungsi unik dan banyak lagi. 1More turut mempunyai pelbagai variasi TWS, ANC dalam kategori premium, ada yang mampu milik, ada juga jenis hibrid antara jenis dalam telinga dan jenis seakan earpod. Walaupun kita sudah masuk ke tahun 2021, produk 1More yang akan kami ulaskan ini adalah produk tahun 2020. Kami telah menggunakannya untuk beberapa minggu dan ini adalah ulasan kami.
Spesifikasi Dan Rekaan
1More ComfoBuds | |
---|---|
Jenis | TWS, fon telinga separa dalam telinga |
Mikrofon | 4 mikrofon ENC (Pembatalan Hingar Persekitaran) |
Bateri | 35mAh / 410mAh 4 jam berterusan 18 jam dengan pod pengecasan |
Pengecasan | USB-C |
Cip Audio | Tersendiri, Bluetooth 5.0 |
CODEC | SBC, AAC |
Sokongan Aplikasi | Tiada |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Kawalan | Pad Sesentuh |
Kemampuan kalis air | IPX5 |
Harga Jualan | RM 189 |
1More ComfoBuds adalah TWS jenis semi dalam telinga. Ia menggunakan konsep rekaan seakan EarPod dengan separa silikon untuk keselesaan tambahan. TWS ini adalah untuk mereka yang tidak gemarkan fon telinga jenis dalam telinga atau untuk mereka yang ingin terus mendengar muzik sambil ingin rehatkan telinga dari produk audio yang jenis dalam telinga. Rekaannya kecil, kelihatan berbeza dari kebanyakan TWS yang lain.
Ia plastik, amat ringan dan kecil. Dari saiz fon telinga sehingga saiz pod pengecasan ia amat kecil. 1More ComfoBuds adalah TWS mampu milik yang dijual pada harga bawah RM200. Ia mempunyai fungsi pembatalan hingar persekitaran atau Environmental Noise Cancellation (ENC). Fungsi ini menggunakan empat mikrofon dan boleh memastikan panggilan suara dan pengalaman pendengaran muzik lebih senyap. Tetapi perlu diingatkan, ini bukan ANC – jadi gangguan bunyi bising dari sekeliling pengguna boleh dengar dengan jelas.
TWS ini menggunakan cip tersendiri yang menyokong Bluetooth 5.0. Pemacu audio pula adalah 13.4mm yang mendakwa memfokuskan bass yang baik. Pengecasan adalah dari USB-C dan dua warna ditawarkan iaitu hitam atau putih.
Kualiti Audio
Seperti yang dikatakan tadi, TWS ini adalah jenis semi dalam telinga jadi ia tidak sumbat terus ke dalam telinga. Masalah mudah tertanggal akan mudah berlaku. Ia juga agak longgar dalam penggunaan kami, untuk yang sudah biasa menggunakan jenis dalam telinga – pada awal penggunaan ia akan terasa tidak selesa. Jika jenis yang tidak kisah mana-mana format TWS, ini akan sesuai untuk anda.
Mendengar muzik pada TWS ini tidak memberikan sebarang pengalaman pendengaran yang membuatkan kami teruja. Ia terasa biasa dan amat sesuai jika dijadikan TWS untuk penggunana kasual. Muzik dengan nada tinggi tidak begitu tinggi, tidak teruk – cuma akan rasa “oh, bolehlah”. Vokal pada setiap penyanyi juga baik-baik sahaja dengan kualiti yang jelas. Tetapi tidak cukup memuaskan untuk pendengaran muzik, jika mendengar ceramah atau podcast ia rasa enak.
Walaupun 1More ComfoBuds ini menggunakan pemacu audio 13.4mm yang dikatakan fokus kepada bass, bassnya tidakj begitu dalam dan tidak mempunyai dentuman yang baik. Ini mungkin kerana ia bukan jenis dalam telinga dan silikon diberikan juga tidak membantu untuk memberi kesan kedap. Bass hanya enak jika kedua-dua fon telinga ini ditekan ke dalam telinga.
Secara keseluruhan, tiada yang istimewa pada TWS ini. Pada hemat kami, ada lagi banyak jenama dari China yang menjual TWS pada bawah RM100 dengan kualiti yang lebih enak. 1More ComfoBuds adalah TWS untuk penggunaan kasual dan bukannya untuk kepuasan.
Ketahanan Bateri
Bateri TWS ini amat lemah. Setiap fon telinga memuatkan bateri 35mAh dan 410mAh pada pod pengecasan. Pengecasan adalah melalui USB-C yang mana mengambil masa lebih dua jam untuk dicas sehingga penuh. 1More mendakwa ketahanan bateri adalah 4 jam secara berterusan dan 18 jam dengan pod pengecasan.
Ini adalah bateri yang biasa untuk set TWS yang kecil. Menurut 1More lagi, jika satu lagu durasi adalah 4 minit – sebanyak 270 lagu boleh didengari. Jika satu video seperti siri TV atau filem adalah 90 minit – sebanyak 12 video boleh ditonton. Penggunaan kami adalah lebih kurang sama, tidak tepat – tetapi sekitar 3 jam 30 minit dan 3 hari penggunaan jika satu hari 30 minit sehingga 1 jam digunakan tiada masalah.
Kawalan Dan Fungsi
Disebabkan ini adalah TWS yang asas, ringkas dan kecil – kawalan dan fungsi menarik adalah sangat terhad. Ia menggunakan kawalan sentuhan, yang mana nasib baik kawalannya baik dan cukup sensitif. Tetapi agak kecewa dengan tetapan yang diberikan, kerana kawalan tidak boleh diubah dan pengguna akan tersangkut dengan tetapan sedia ada.
Kawalan yang boleh dilakukan adalah sentuh dia kali di fon telinga kiri atau kanan untuk jeda atau mainkan media. Kemudian, sentuh tiga kali untuk seru pembantu digital.
Fungsi lain pada TWS ini adalah, ia mempunyai sensor terbina agar jika fon telinga dikeluarkan muzik boleh dijeda. Sedikit lambat, tetapi ia berfungsi. Tiada sokongan aplikasi, jadi tidak pasti jika TWS ini boleh dikemaskini untuk menambah fungsi atau ciri.
Kesimpulan
1More ComfoBuds adalah TWS asas dengan rekaan unik. Ia kecil, kompak, tampak premium dan walaupun ia tidak begitu mahal – ia kelihatan mahal. TWS ini bukan untuk pendengar muzik tegar, kerana mendengar muzik tidak memberikan pengalaman yang memuaskan. Banyak butiran muzik tidak dapat dinikmati. Tetapi, sekadar untuk penggunaan yang biasa seperti tonton video, dengar podcast, untuk telesidang atau panggilan telefon – ini adalah TWS yang baik.
Jenis semi dalam telinga atau separa ini tidak mempunyai pengasingan bunyi yang baik. Jika sudah penat atau tidak selesa dengan TWS jenis dalam telinga dan ingin cuba yang berbeza ini adalah antara pilihan menarik.
Pesaing kepada TWS ini adalah Tronsmart Onyx Ace atau SoundPEATS TrueAir2, yang mana adalah jenis seakan earpod. Oppo Enco Free juga mirip dengan 1More ComfoBuds, jenis separa dalam telinga dengan silikon kecil. Jika anda ingin jenis seperti ini, tetapi masih mahu mendengar muzik, anda silap. Pengalaman pendengaran muzik harus menggunakan produk audio yang boleh tutup telinga atau terus ke dalam telinga – jika tidak butiran muzik tidak dapat dicari.
Harga RM189 sedikit mahal, tetapi untuk rekaan sebegini, fon telinga sebegini – ia bukan yang terbaik tetapi masih menarik untuk dicuba.
Pro
- Rekaan menarik dan kecil
- Mempunyai mids yang baik untuk mendengar vokal seperti percakapan dalam podcast.
- Sesuai untuk penggunaan kasual.
Kontra
- Bateri yang agak lemah.
- Mendengar muzik tidak begitu memuaskan dan terasa kosong atau tidak memberikan perasaan yang teruja.
- Harga sedikit mahal.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment