Hi! Welcome Back and Stay Tune! Bimbang anak makin tercicir, Orang Asli rayu guru dikerah ke kampung ketika PKP - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Bimbang anak makin tercicir, Orang Asli rayu guru dikerah ke kampung ketika PKP


 

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon berkata pembelajaran di sekolah pilihan jauh lebih baik untuk anak Orang Asli berbanding PdPR.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menempatkan beberapa guru di perkampungan Orang Asli bagi mengatasi masalah pelajar tiada kemudahan asas termasuk capaian internet untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon berkata, kanak-kanak terbabit dikhuatiri tercicir dalam pelajaran tanpa bantuan kementerian.

Beliau berkata, banyak perkampungan Orang Asli tidak mempunyai capaian internet yang baik untuk mengikuti PdPR, justeru memerlukan guru untuk membimbing pelajar terbabit.

Ramai ibu bapa pelajar juga tidak mampu memberi peranti digital seperti telefon pintar atau komputer riba yang diperlukan untuk mengikuti PdPR.

“Kami merayu kepada pihak kementerian supaya menghantar guru ke kampung-kampung Orang Asli sepanjang tempoh PKP supaya anak-anak kami dapat dipantau pembelajaran.

“Kami faham kalau nak hantar guru mengikut semua mata pelajaran susah, mana cukup, tapi kalau boleh sekurangnya hanya seorang atau dua guru untuk ditempatkan khusus dalam tempoh PKP untuk mengajar kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya.

Langkah itu, menurut beliau akan membantu memastikan pelajar terbabit tidak tercicir jauh dan jurang akademik mereka berbanding pelajar di bandar “tidak terlalu ketara”.

Yusri mengakui pembelajaran di sekolah pilihan jauh lebih baik untuk anak Orang Asli berbanding PdPR.

“Kalau belajar secara dalam talian, tidak semua perkampungan Orang Asli ada capaian internet yang baik, khususnya di kawasan pedalaman. Kalau ada internet pun, pelajar tidak ada telefon pintar, apatah lagi komputer riba.

“Ibu bapa mana mampu nak beli semua itu dan pendapatan mereka pun kurang kerana wabak Covid-19,” kata beliau yang tinggal di penempatan Orang Asli Sungai Mai Jerantut, Pahang.

Beliau berkata, KPM harus akur ramai penduduk di kampung Orang Asli tidak berupaya memantau dan membantu anak-anak mereka dalam soal pembelajaran.

Justeru, menurut beliau kehadiran beberapa guru di perkampungan Orang Asli akan banyak membantu pelajar berkenaan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Yusri berkata, guru juga mungkin boleh membuat sistem penggiliran untuk ke kampung Orang Asli, mungkin dua minggu sekali.

“Kami faham guru juga ada keluarga, kalau tinggal terlalu lama di kampung kami mungkin mereka rindukan keluarga.

“Soal penginapan guru, kami boleh sediakan, tidak menjadi masalah,” katanya.

Katanya, walaupun ada pelajar terbabit diberikan buku teks oleh pihak sekolah, ia kurang berkesan kerana ketiadaan sesiapa di kampung untuk memberikan mereka panduan yang diperlukan.

Yusri berharap, pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu rajin turun padang untuk meninjau permasalahan pelajar dan ibu bapa mereka ketika PKP berkuat kuasa.

“Berdasarkan maklumat saya terima di kawasan perkampungan lain, jabatan pendidikan daerah dan JAKOA tidak turun ke semua perkampungan Orang Asli untuk mendapatkan maklum balas mengenai permasalahan pendidikan Orang Asli secara menyeluruh,” katanya.

“Isu mengenai pendidikan Orang Asli bukan perkara baru, sebelum Covid-19 sudah bermasalah, datang Covid-19 lagi bermasalah, sebab itu kami bimbang berlaku jurang yang ketara dari segi pembelajaran Orang Asli dengan masyarakat bandar,” kata Yusri. - FMT



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.