Muda lancar laman sesawang untuk orang ramai adu menteri, VIP langgar SOP
PETALING JAYA: Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) melancarkan laman sesawang untuk memudahkan orang ramai membuat aduan terhadap individu yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan, tetapi tidak dikenakan tindakan.
Setiausaha agung pro-tem Muda, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, pihaknya melihat seolah-olah wujud “sistem dua darjat” dalam pelaksanaan SOP kerana media kerap melaporkan tindakan kompaun dikenakan terhadap rakyat marhaen, tetapi bukannya orang kenamaan dan menteri.
“Kita rasakan ada sistem dua darjat dalam pelaksanaan SOP di Malaysia. Kita nampak individu dari “kelompok kayangan”, VIP dan menteri banyak kali langgar SOP, tetapi tidak ada tindakan yang kita nampak diambil.
“Sebaliknya orang awam pula, disebabkan tidak daftar MySejahtera atau tidak memakai pelitup muka, terus dikompaun RM10,000.
“Disebabkan itu, kita rasa kita kena buat sesuatu. Kalau tidak bersuara dan tidak buat apa-apa, selama-lamanya tidak ada tindakan yang akan diambil terhadap mereka,” katanya kepada FMT mengulas pelancaran laman web www.lapormenteri.com.
Hampir 50 orang membuat aduan sejak laman sesawang itu dilancarkan Selasa lalu, tetapi beliau tidak menafikan masih ada individu yang takut data peribadi mereka didedahkan.
“Kami tidak akan dedahkan sesiapa yang membuat laporan, itu pasti. Mereka juga ada pilihan untuk menggunakan nama samaran atau sebaliknya.
“Kita juga tidak akan minta nombor kad pengenalan mereka.
“Apa yang kita minta hanyalah bukti dalam bentuk gambar atau rakaman video individu kenamaan yang melanggar SOP dan tempat kesalahan itu dilakukan.
“Ini yang kita perlukan. Paling utama bukanlah data individu pelapor, tetapi individu yang dilaporkan. Ia akan digunakan untuk kita bawa ke peringkat seterusnya.”
Amir berkata, individu kenamaan yang dilaporkan itu akan ditempatkan di “wall of shame” laman sesawang itu dan tindakan lanjut akan diambil seperti membuat laporan polis dan terus memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tindakan diambil terhadap mereka yang melanggar SOP.
“Kita sudah buat laporan polis terhadap beberapa individu, seperti Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa; Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan lain-lain yang turut dikatakan melanggar SOP, tetapi tiada tindakan diambil.
“Kita akan pastikan isu ini akan disampaikan kepada pihak berkuasa dan desak mereka yang melanggar SOP dikenakan tindakan.
“Kemudian kita juga akan hantar memorandum kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pastikan mereka yang didakwa melanggar SOP itu dibawa ke muka pengadilan.”
Ditanya apakah mereka tidak takut dengan tekanan atau ugutan susulan penubuhan laman sesawang itu, Amir berkata, beliau menyedari risiko yang akan dihadapinya, namun percaya keadilan perlu ditegakkan.
“Kita tahu ada risiko, itu sudah tentu. Kalau tidak ambil inisiatif ini, maka tidak ada tindakan yang akan diambil.” - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment