Ulasan Apple AirPods Max – Terhad Kepada Peminat Tahap MAX!
AirPods adalah nama bagi produk audio Apple yang tersendiri, iaitu yang bukan Beats. Ia agak terkenal, malah adalah aksesori audio yang memulakan trend nirwayar sebenar – TWS. AirPods setakat ini sudah ada tiga generasi, iaitu dua yang asas dan satu yang Pro – kesemuanya adalah TWS dan yang Pro ada sokongan pembatalan hingar aktif (ANC). Dengan AirPods, Apple mula fokus ke audio, malah sejak iPhone 7 lagi mereka membuang port bicu audio 3.5mm – mereka banggakan teknologi Lightning dan kemampuan audio.
Tahun lepas, Apple mula memasuki dunia set fon kepala nirwayar pula selepas bertahun aksesori audio kategori ini difokuskan kepada jenama Beats. Apple memperkenalkan AirPods Max, mungkin mengelirukan kerana nama pods dalam set fon kepala. Tetapi nama Max itu mungkin membantu?
Seperti jenama pesaing Sony, Sennheiser, Jabra dan lain-lain yang mempunyai set fon kepala mercu dengan sokongan pembatalan hingar aktif atau ANC – Apple juga menawarkan sokongan ini pada AirPods Max. Tetapi, set fon kepala Apple ini lain. Ia unik, ada fokus tersendiri dan sangat premium. Saya telah menggunakan AirPods Max sebagai aksesori audio harian saya dan ini adalah artikel ulasan saya. Teruskan baca untuk ketahui, adakah ini set fon kepala untuk anda atau tidak?
Spesikasi Dan Rekaan
AirPods Max | |
---|---|
Jenis | Set Fon Kepala Nirwayar |
Cip Audio | Apple H1 |
Teknologi | Pemacu-dinamik Apple Pembatalan Hingar Aktif Mod Transparency, Penyama Adaptif Audio Spatial dengan penjejakan kepala dinamik |
Bateri | 20 Jam secara berterusan ANC/Mod Transparency aktif – Audio 20 Jam secara berterusan audio Spatial aktif – Video 20 Jam secara berterusan panggilan telefon |
Sensor | Optikal, Posisi, Pengesan Kerangka Pemecut, Giroskop di sebelah kiri |
Mikrofon | 8 mikrofon ANC 3 mikrofon menangkap audio (2 dari ANC, 1 tambahan) |
Sokongan pembantu maya | Ya, Siri |
Kawalan | Digital Crown, Butang kawalan hingar |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Pengecasan | Smart Case AirPods Max disimpan dalam mod ultra-kuasa-rendah 5 Minit cas, 1.5 Jam penggunaan Pengecasan Lightning |
Harga Jualan | RM2,399 |
Apple seperti biasa tidak berkongsi dengan jelas apa spesfikasi cip dan butiran yang jelas mengenai dalaman produk mereka. Untuk AirPods Max, pemacu audio yang digunakan adalah yang tersendiri jenis dinamik. Seperti AirPods Pro, AirPods Max turut dijana dengan cip Apple H1 untuk sokongan ANC pembatalan hingar aktif, mod Transparency, dan juga audio Spatial yang boleh memberikan pengalaman pendengaran menyeluruh mengikut penjejakan kepala. Sensor optikal, posisi, pengesan kerangka dan pemecut turut disertakan di dalam kedua-dua bahagian fon telinga. Kemudian khusus di sebelah kiri, sensor giroskop disertakan.
Untuk mikrofon, terdapat sembilan secara keseluruhan terbina dalam set fon kepala Apple ini. Lapan mikrofon khusus untuk pembatalan hingar aktif kemudian tiga mikrofon digunakan untuk menangkap audio atau merakam. Dua daripada tiga mikrofon ini dipinjam dari mikrofon ANC dan satu adalah tambahan.
Dengan penggunaan nama AirPods dan cip Apple H1, AirPods Max kedengaran seperti AirPods yang besar sahaja. Ya, benar. Tetapi dengan fon telinga yang menutup keseluruhan telinga dan mikrofon yang lebih banyak, AirPods Max akan menawarkan pengalaman pendengaran yang lebih baik. Jika anda rasakan pembatalan hingar aktif dalam AirPods Pro sudah memuaskan, sedap, enak, dan sokongan audio Spatial pula memberi penglaman 360 darjah seakan di dalam panggung wayang – AirPods Max ini berkali ganda lebih hebat.
Audio Spatial Sungguh Imersif!
Untuk sokongan audio Spatial, sayang sekali ia terhad kepada pengguna peranti Apple sahaja. Apa itu audio Spatial? Ia adalah jawapan Apple kepada Sony 360 Reality Audio atau kepada mana-mana sistem audio 360 darjah. Melalui audio Spatial dalam AirPods Max ini, pengalaman pendengaran bukan sahaja menyeluruh tetapi imersif.
Apple menggabungkan perisian dan perkakasan. Kehebatan perisian Apple dan sensor dalam AirPods Max dipadankan untuk memberikan fungsi istimewa ini. Apabila kepala pengguna bergerak, kiri ke kanan atau peranti bergerak – audio itu seakan mengikut pergerakan pengguna. Menurut Apple, ia seakan pengguna berada dalam dewan atau panggung wayang.
Dalam penggunaan harian, tidak banyak video yang menyokong audio Spatial ini. Netflix hanya segelintir, dan banyak fokus kepada video. Walau bagaimanapun, saya amat gemar dengan fungsi ini. Pengalaman pendengaran adalah berbeza dan sangat unik. Ia lancar, benar-benar berfungsi dan seakan berada dalam realiti lain.
Pembatalan Hingar Aktif Yang Hampeh!
Ya, hampeh. Sistem ANC atau pembatalan hingar aktif dalam AirPods Max ini adalah biasa-biasa sahaja. Ia lebih fokus kepada membatalkan hingar frekuensi rendah sahaja. Frekuensi tinggi akan masih jelas kedengaran. Tetapi apa yang menarik dengan sistem ANC Apple adalah, ia “bersih”. Ia rasa tenang, dan sangat menyenangkan.
Kenapa? Ini kerana sistem ANC Apple tidak mempunyai masalah kesan tekanan. Kebanyakan set fon kepala ANC akan ada masalah ini. Tekanan yang diberikan memberikan kesan kedap menjadikan penggunaan jangka masa panjang tidak selesa, penat dan mudah berpeluh. Disebabkan itu, mendengar muzik, menonton video, mendengar Clubhouse atau panggilan video – ia sangat seronok dan selesa.
Cuma yang tidak menyeronokkan, ia tidak cukup hebat jika dibandingkan dengan Sony WH-1000XM3 atau XM4. Malah TWS 1More mempunyai sistem ANC yang jauh lebih baik. Untuk mereka yang sekadar ingin bersantai, berehat, cari tempat yang tidak begitu bising – bunyi angin, bunyi perbualan orang dari jarak jauh sukar untuk didengari. ANC pada AirPods Max sesuai untuk mereka yang baru ingin berjinak dengan aksesori audion pembatalan hingar aktif.
Binaan Premium, Gila Ada Kelas!
AirPods Max adalah antara produk Apple yang gila ada kelas. Ia sangat premium, kelihatan mewah, kemasan yang bagus, rasa berlainan dan rekaan juga unik. AirPods Max direka dengan rekaan berbeza dengan kebanyakan set fon kepala yang berada di pasaran. Disebabkan itu, rekaan Apple ini cacat.
Dibina dari keluli tahan karat dan digabungkan dengan bahan poliuretana lembut. Turut terbina adalah bahagian alas kepala yang disulam dengan bahan fabrik lembut dan sangat selesa. Tangkai di kedua-dua belah boleh dilaras dengan mekanisme meluncur. Agak menyusahkan kerana tiada aras yang tetap dan perlu kerap laras. Salah satu kecacatan. Kemudian pada bahagian fon telinga bahan fabrik sulaman yang sama pada alas kepala digunakan.
Tetapi bahagian ini, ia adalah modul bermagnet yang mudah ditanggal untuk mudah digantikan. Biasanya penggunaan masa panjan set fin kepala, bahan fabrik atau yang lembut di bahagian ini cepat rosak. Dengan modul bermagnet, ia bukan sahaja mudah untuk digantikan tetapi mudah untuk dikustomasi. Bahan ini juga memudahkan kulit bernafas dan mengelakkan masalah berpeluh.
Dengan sistem ANC yang tidak kedap dan bahan yang tidak menyebabkan pengguna mudah berpeluh. Ini adalah satu perkara yang WOW. Sati lagi yang jarang dilihat adalah ketiadaan logo Apple. Butang kawalan hanya ada dua iaitu Digital Crown yang sama pada Apple Watch tetapi saiz besar dan butang kawalan hingar disertakan. Port pengecasan pula adalah jenis Lightning dan berada di bawah ditemani dengan lampu LED untuk indikasi pengecsan. Butang adalah responsif dan mudah dikawal. Tetapi kurang selesa.
Kecacatan kedua pada kedudukan butang. Di mana pengalaman penggunaan adalah lebih selesa jika kedudukan butang adalah lebih rendah. Apple turut sediakan kerangka pintar terbina iaitu Smart Case untuk menyimpan AirPods Max. Ini adalah kecacatan ketiga, rekaan premium set fon kepala ini tidak boleh dilipat untuk simpanan atau kemudahan di bawa ke mana-mana.
Kerangka yang diberikan agak unik. Tetapi adalah perkara yang dungu.
Keselesaan Terbaik, Tetapi Berat
AirPods Max mempunyai binaan terbaik. Terbaik antara semua set fon kepala yang pernah saya cuba. Ia juga selesa, lebih selesa dari pesaing. Ia tidak berpeluh, ia premium, kemasan hebat, tetapi sayang sekali ia sangat berat. Jika set fon kepala pesaing tidak selesa kerana berpeluh, AirPods Max tidak selesa untuk penggunaan melebihi dua jam. Selepas dua jam, saya sudah penat seakan ada objek di kepala yang mengganggu dan adalah menjengkelkan.
Saya faham pilihan bahan binaan ini, tetapi alangkah indahnya jika Apple hadir dengan AirPods Max versi SE, di mana ia diperbuat dari plastik dengan fungsi dan ciri yang sama dengan harga lebih murah dari AirPods Pro – itu terbaik. Mungkin kerana saya bukan peminat set fon kepala dan lebih kepada pengguna TWS.
Kualiti Audio Tidak Sehebat TWS Bawah RM1K
Gabungan audio Spatial dan pembatalan hingar, AirPods Max agak baik untuk pengguna bersahaja atau santai layan podcast atau muzik. Saya katakan begini kerana, AirPods Max tidak sesuai untuk peminat yang serius dengan muzik. Jika anda adalah penggemar muzik, di mana anda menghargai setiap instrumen, vokal, suntingan – AirPods Max membawakan kualiti audio yang biasa sahaja. Ia bukan yang terbaik. Ini membuatkan saya sedikit kecewa, kerana harga melebihi RM2000 tetapi kualiti audio TWS ANC bawah RM1000 seperti Sony XM3, Jabra Elite 75t, 1More adalah lebih baik.
Bass pada AirPods Max adalah seakan tiada langsung. Ia sangat lemah, di mana sub-bass seakan tidak wujud langsung. Ini menjadikan muzik yang ada bass tidak begitu memuaskan dan memberikan pengalaman pendengaran yang biasa sahaja. Jika muzik yang anda gemar dengari banyak dram, dentuman – jangan gunakan AirPods Max.
Sebagai peminat lagu pop, muzik-muzik terkini Talylor Swift akan membuatkan anda rasa sedikit puas hati. Cari lagu-lagu yang tenang, untuk berisitirehat atau melodi untuk meditasi – ini adalah aksesori audio yang menarik.
Untuk vokal, ia cukup jelas dan orang kata bersih. Ia tiada kesan aneh, dan vokal boleh dengar dengan baik di mana setiap lirik pada kebanyakan lagu boleh dengar dan faham dengan pantas dan sangat jelas. Tetapi disebabkan bass yang lemah, sesetengah vokal rasa hambar dan tidak menyeronokkan. Lebih-lebih lagi suara vokal penyanyi lelaki. Penyanyi wanita mempunyai suara yang merdu dan enak.
Vokal atau mids menjadikan ia seakan tiada definisi dan tidak begitu natural. Nada tinggi pada vokal juga sedikit tertinggal di belakang kerana tidak cukup untuk capai pada tahap yang orang kata audio syurga.
Untuk nada tinggi, ia adalah fokus utama AirPods Max. Antara mids dan bass, Highs adalah kekuatan set fon kepada ini. Ia menjadikan kebanyakan muzik lebih gemerlap, dan rasa hidup. Setiap nada tinggi tidak pecah, alunanan melodi yang seronok, rasa seakan berbaloi dengan pembelian aksesori audio ini. Cuma, dengan aras suara tinggi – bunyi nada tinggi mungkin akan sedikit pecah.
Untuk pementasan audio, ia membenarkan pengguna mudah mengasingkan setiap instrumen. Pengasingan instrumen adalah jelas dan lebih ke hadapan. Walaupun begitu, ia cukup luas untuk memberikan satu pengalaman pendengaran yang baik.
Secara keseluruhan, jika anda sudah pernah menggunakan AirPods Pro – pengalaman yang lebih kurang sama akan anda terima dari AirPods Max. Ia adalah kualiti audio yang sesuai untuk semua orang dan untuk penggunaan bersahaja. Apple ada soung signature tersendiri khusus untuk peminat Apple. Tetapi dari kualiti saya akan kata Sony WH-1000XM3 dan XM4 masih memegang takhta kualiti terbaik.
Bateri OK, Tapi Tak Boleh Dimatikan
Dakwaan Apple dengan AirPods Max ini adalah 20 jam penggunana untuk audio, video dan panggilan telefon. Kemudian boleh bertahan selama 1.5 jam dengan 5 minit pengecasan. Sistem pengecasan pula adalah lightning dan tidak cukup pantas. Paling saya menyampah – AirPods Max adalah set fon kepala yang sentiasa hidup dan tidak akan terpadam atau tidak boleh dimatikan.
Jadi untuk set fon kepala yang sentiasa hidup, dakwaan bateri boleh bertahan 20 jam adalah masuk akal. Dalam ujian saya sendiri, penggunaan seminggu dengan satu hati sekitar 1-3 jam penggunaan – satu minggu cukup dengan satu pengecasan atau sekitar dua kali pengecasan. Saya banyak menikmati muzik di Apple Music, Spotify, strim Disney+, YouTube dan Netflix.
Ketahanan bateri adalah memuaskan. Bukan yang terbaik tetapi ia bukan satu masalah besar. Perkara mengecewakan adalah Smart Case.
Smart Case AirPods Max adalah dungu. Ia sekadar perhiasan, dan emmpunyai magnet untuk memgkatifkan mod kuasa rendah. Saya faham kenapa AirPods Max tidak boleh dimatikan, ia sama dengan TWS yang disimpan dalam pod pengecasan dengan bawah yang ada magnet. Dengan sistem ini, tambatan pantas mudah dilakukan.
Tetapi sekurang-kurangnya kalau Smart Case Apple ini ada pek bateri atau bateri tambahan seperti TWS adalah baik. Ia bukan melindungi set fon kepala ini pun, ia sekadar buat cantik. AirPods Max tidak boleh dilipat, jadi ini pengorbanan yang terpaksa diterima. Pengecasan dengan kabel lightning sudah dijangka. Hebat jika Apple berikan USB-C, tetapi apa boleh buat? Apple tetap Apple.
Dari Apple Untuk Apple – Ekosistem TERBAIK
Fungsi tambatan pantas, audio Spatial dan Siri terhad kepada pengguna produk Apple sahaja. Apple tetap Apple dan AirPods Max adalah aksesori audio Apple yang dicipta Apple untuk peminat Apple. Ini bermakna, produk ini cukup pintar dan mempunyai ekosistem Apple yang menarik.
Jika anda pengguna peranti Android dan ingin gunakan AirPods Max, itu adalah kerugian yang sangat besar dan adalah keputusan yang tidak bijak. Di peranti Android, AirPods Max hanya akan berfungsi sebagai set fon kepala ANC biasa sahaja.
Dengan kehebatan cip Apple H1 dan ekostistem barangan Apple, perkara pertama yang AirPods Max boleh lakukan adalah tambatan pantas. Kelaur sahaja AirPods max dari Smart Case tetingkap akan muncul dalam peranti Apple untuk memulakan tambatan. Tutorial ringkas akan diberikan dan semua kawalan dan tetapan terus terbina dari dalam peranti. Tidak perlu aplikasi tambahan dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, selepas tambat pada iPhone – buka sahaja video pada iPad yang tidak pernah tambat AirPods Max – set fon kepada ini terus tertambat. Begitu juga pada MacBook. Kemudian jika anda sedang menonton video di iPad, panggilan telefon diterima – video di iPad akan dijeda secara automatik dan AirPods Max kembali ditambat pada iPhone.
Kawalan dengan Siri untuk aras suara, dan sebagainya juga lancar.
Kesimpulan
Terhad Kepada Peminat Tahap MAX! Itu adalah kesimpulan ringkas AirPods Max ini. Jika anda dari dahulu lagi memang pengguna Apple dan peminat Apple atau sudah biasa dengan ekosistem Apple, AirPods Max adalah set fon kepala terbaik. Anda sedar mengenai kekurangannya, tetapi jika ekosistem itu penting – tiada pilihan lain selain AirPods Max.
Tetapi jika kualiti audio itu penting untuk anda, mulakan dengan TWS ANC berkualiti dan barulah beralih ke set fon kepala. Set fon kepala yang baik juga seperti TWS, ada banyak yang berkualiti pada harga yang mampu milik. Anda perlu ingat sebelum zaman TWS, set fon kepada telah membanjiri pasaran aksesori audio.
AirPods Max mempunyai kualiti audio yang baik, hebat dan lebih kepada bersahaja. Ia untuk penggunayang sudah biasa dengan audio AirPods tetapi ingin dalam bentuk set fon kepala. ANC juga set fon kepala ini lebih kepada ada sahaja, apa yang penting ia berfungsi dan bukan gimik. Apple AirPods Max juga mempunyai rekaan yahg segar dan sangat berbeza dengan set fon kepala di pasaran. Tahun lepas semasa pelancaran, AirPods Max adalah satu-satunya aksesori audio yang buatkan perkaraan Gila dan Wow keluar dari mulut saya.
Dengan rekaan modular pada fon telinga, ekosistem yang baik RM2,399 adalah harga yang ok untuk produk audio Apple dan peminat Apple. Jika anda adalah peminat barangan audio atau audiophile, AirPods Max bukan untuk anda dan hanya sekadar set fon kepala yang mahal. Menutup artikel ulasan ini, AirPods Max adalah aksesori audio terbaik untuk peminat Apple dan adalah aksesori audio terlebih mahal jika dibandingkan dengan pesaing.
Pro
- Kualiti audio yang dikenali peminat Apple
- Selesa di kepala dengan fabrik sulaman unik
- Rekaan premium, unik dan ada kelas
- Sistem ekosistem yang menarik dan memuaskan
Kontra
- Tidak boleh dimatikan
- Fungsi menarik terhad kepada pengguna Apple
- ANC hanya mematikan hingar di frekuensi rendah
- Tidak boleh dilipat untuk kemudahan disimpan
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment