Buktikanlah prihatin, rakyat perlu dibantu harungi PKP 3.0, kata Najib
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata, kerajaan perlu membuktikan ia benar-benar prihatin dengan memberikan bantuan kepada rakyat dalam mengharungi perintah kawalan pergerakan (PKP) kali ketiga dikuatkuasakan.
“Covid-19 tinggi bukan salah rakyat. Kenapa saya tekan dan sebab apa rakyat patut dibantu?” soal Najib.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ada lima sebab kerajaan perlu membantu rakyat kerana punca peningkatan angka jangkitan Covid-19 adalah disebabkan dasar kerajaan yang lemah.
Kata Najib, sebab pertama adalah kerajaan sendiri mengakui kes Covid-19 melonjak semula susulan kesilapan memberi kelonggaran terlalu awal serta merebaknya varian baharu.
“Kesilapan memberi kelonggaran terlalu awal termasuk pembukaan semula sekolah ketika kes baharu Covid masih tinggi bukan salah rakyat. Itu dasar kerajaan,” katanya di Facebook.
Katanya, kemasukan varian baharu juga bukan salah rakyat kerana rakyat biasa tak melancong ke luar negara, sebaliknya dasar kerajaan menurunkan tempoh kuarantin bagi pengembara asing pada Disember dari 14 hari ke 7 hari telah menyebabkan peningkatan.
Najib berkata, sebab kedua pula adalah kegagalan kerajaan menurunkan kes baharu ke dua angka menjelang Hari Raya selain mungkir janji untuk tidak lagi melaksanakan PKP menyeluruh.
Sebaliknya PKP 3.0 diumumkan ketika Hari Raya, hanya dua bulan selepas PKP 2.0 tamat.
“Oleh kerana termakan janji dicapati kerajaan, ramai sudah membazir perbelanjaan persediaan Raya apabila PKP 3.0 diumum dan lawatan raya tidak lagi dibenarkan.
“SEBAB #3: Kerajaan sudah diberi kuasa penuh Darurat dengan kuasa berbelanja sesuka hati selama lebih empat bulan tapi gagal segagalnya apabila keadaan Covid menjadi berkali ganda lebih teruk berbanding masa Darurat bermula.
“Adakah salah rakyat apabila kes Covid mencecah 500,000 hari ini?” soalnya.
Beliau memberikan sebagai sebab keempat, tindakan kerajaan membuat pinjaman baharu, mengorek tabung simpanan dan menjual aset RM115 bilion pada tempoh Darurat, yang terpaksa dibayar semula oleh rakyat pada masa depan.
Najib berkata, sebagai sebab terakhir, rakyat sememangnya memerlukan bantuan kerana ada yang perlu menutup perniagaan selama dua bulan, malah ditambah dua bulan lagi, dan ada juga yang langsung tidak dapat dibuka sejak tahun lepas.
“Sewa, ansuran pinjaman dan bil api/air tetap jalan tiap-tiap bulan. Simpanan dan rizab pun semakin habis setelah menghadapi PKP 1.0 dan PKP 2.0. Jadi, kamu nak mereka hadapi PKP 3.0 dengan apa?
“Ingat! Kerajaan hari ini sendiri yang mengaku Prihatin. Jadi, buktikanlah bahawa kamu benar-benar prihatin sebab nama Makcik Kiah pun tidak disebut lagi hampir setahun,” katanya. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment