Mayat pasangan suami isteri sakit kronik, positif Covid-19 ditemui di ruang tamu
PETALING JAYA: Seorang anak terkejut menemui mayat ibu bapa angkatnya di ruang tamu kediaman mereka di Taman Kota Masai, Johor, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata wanita berusia 61 tahun itu disahkan positif Covid-19 manakala suaminya yang berusia 68 tahun pula dipercayai mengalami beberapa penyakit kronik.
Katanya, kaunter aduan Balai Polis Scientex di sini, menerima maklumat kematian pasangan berkenaan pada jam 1 tengah hari.
Katanya, pasangan itu tidak mempunyai anak kandung dan mayat mereka ditemui oleh anak angkat yang berusia 19 tahun selepas pergi ke rumah berkenaan untuk melawat ibu bapa angkatnya kerana panggilan telefon tidak berjawab.
Menurutnya, kedua-dua mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua pasangan itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam.
“Si suami dipercayai mempunyai penyakit kronik termasuk sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis, kematiannya berpunca daripada sejarah penyakit yang dihidapinya itu.
“Isterinya pula menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, turut disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan selepas kematiannya.
“Siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah menyebabkan kematian pasangan itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Esah, 40-an ketika ditemui hari ini memaklumkan dia diberitahu oleh anak angkat pasangan itu bahawa suami isteri terbabit sudah meninggal dunia.
“Anak angkat jiran saya menangis teresak-esak menyatakan kedua-dua ibu bapa angkatnya sudah tiada.
“Kali terakhir saya bertemu pasangan itu pada minggu lalu dan beberapa hari lalu ada terserempak dengan anak angkatnya itu dan menyapanya serta bertanya khabar ibu bapa angkatnya.
“Mereka pernah beritahu ada sakit kencing manis dan darah tinggi dan hanya jiran perempuan yang sering keluar rumah untuk membeli barang dapur, manakala suaminya hanya di rumah.
“Wanita berkenaan dikenali sebagai Mak Besah memang dikenali ramai kerana pandai berubat dan suaminya dikenali sebagai Pak Bakar.
“Namun sejak minggu lalu memang tidak kelihatan mereka keluar dan saya menjangkakan pasangan itu tidak mahu keluar rumah kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment