Hi! Welcome Back and Stay Tune! Guru Sains ajar anak nelayan bahasa Mandarin - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Guru Sains ajar anak nelayan bahasa Mandarin


 

Abdul Muiz Hussin mengajar kanak-kanak di sebuah kampung di Gelang Patah, Johor Bahru.

PETALING JAYA: Abdul Muiz Hussin tidak pernah menyangka dirinya yang mempunyai latar belakang sebagai guru Sains, akan mengajar bahasa Mandarin apabila ditempatkan di sebuah sekolah di perkampungan nelayan di Johor Bahru.

“Pada mulanya, ia hanya sebuah perkampungan nelayan lama, namun pada 2015, terdapat ramai pekerja binaan dari China mula masuk selepas projek Forest City mula dilaksana,” katanya.

Muiz, yang mempelajari bahasa Mandarin ketika mengikuti latihan perguruan beberapa tahun lalu, mendapati nelayan di Gelang Patah itu sukar berkomunikasi dengan warga asing terbabit ketika datang membeli ikan dan sayur di pasar basah.

Masalah bahasa memberi kesan besar terhadap golongan nelayan ini hingga mengganggu perniagaan mereka setiap hari.

Cikgu Muiz mengajar kanak-kanak berkomunikasi dalam bahasa Mandarin mudah.

“Melihat perkara ini, saya mula membuat penyelidikan, mencari bahan serta mendapatkan individu lain yang boleh membantu saya.

“Saya kemudiannya membuat silibus untuk tiga bulan termasuk komunikasi bahasa Mandarin mudah untuk diajar kepada kanak-kanak dan penduduk kampung,” kata Muiz yang lebih dikenali sebagai Cikgu Muiz.

Selepas tiga bulan pertama itu, Muiz mengembangkan lagi silibus itu dengan permainan, sesi pelajaran dan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Dia juga melakukan aktiviti luar termasuk lawatan ke kolam ikan dan pasar untuk membolehkan ‘pelajarnya’ mempraktikkan bahasa Mandarin yang dipelajari.

Bagaimanapun, program itu terhenti seketika disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Sebahagian kanak-kanak bersama ibu bapa mereka yang menjual hasil tangkapan laut di pasar basah.

Muiz berpindah ke Batu Pahat sejak tahun ini dan tidak dapat merentas daerah di Johor Bahru yang mengambil masa selama dua jam.

“Pada mulanya saya merancang untuk mengadakan kelas sekurang-kurangnya selama tiga tahun. Namun, pandemik merebak hanya selepas setahun ia diadakan dan kini kelas terganggu sepenuhnya,” katanya.

Namun, dia tetap merancang untuk menghabiskan program itu secepat mungkin.

“Saya ingin melihat anak-anak dan penduduk kampung ini berjaya,” katanya.

Dia bangga melihat penerimaan program itu oleh penduduk tempatan. Kelas dua kali seminggu itu menjadi acara komuniti apabila ibu bapa sering membawa makanan dan minuman ketika menunggu anak-anak tamat sesi pembelajaran.

Kadangkala, mereka tumpang mendengar apa yang diajar oleh Muiz dalam setiap sesi pembelajaran itu.

Usaha itu juga melayakkan Muiz dicalonkan sebagai penerima Anugerah Taylor’s College RISE (Impak Cemerlang dalam Pendidikan Pelajar).

“Saya ingin melihat anak-anak ini dapat mencapai cita-cita yang lebih besar. Saya mahu mereka membesar bukan sekadar untuk menjadi seorang nelayan.

“Sebaik projek di kampung ini selesai, saya bercadang memperluaskannya ke beberapa kampung lain,” katanya. - FMT



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.