Vaksinasi pekerja kilang segera, titah Sultan Selangor
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pemberian vaksin kepada pekerja kilang harus disegerakan memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di negeri itu selain sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 serta mencapai imuniti kelompok.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda turut menggesa pihak yang bertanggungjawab bagi pengagihan vaksin ke seluruh negara supaya menambah jumlah pemberian vaksin di Selangor dengan segera.
Langkah itu juga bertujuan agar nisbah peratusannya selari dengan jumlah populasi dan kadar jangkitan wabak di Selangor.
Kenyataan itu turut menyebut Sultan Selangor hari ini berkenan menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu iaitu Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Menurut kenyataan itu, pada pertemuan ringkas tersebut baginda menzahirkan kebimbangan mengenai penularan wabak berbahaya Covid-19 khususnya dalam kalangan umat Islam di Selangor ketika ini.
Justeru, menjelang perayaan Aidiladha minggu depan, baginda berkenan menasihati seluruh umat Islam agar menyambutnya secara sederhana di rumah masing-masing dan tidak pulang ke kampung atau keluar dari daerah.
Kenyataan itu juga menyebut susulan kes ‘sporadik’ Covid-19 kini yang semakin tinggi dalam komuniti, baginda tidak mahu jangkitan Covid-19 terus merebak seperti pada sambutan Aidilfitri lepas.
Baginda juga meminta rakyat agar berkorban kerana keadaan wabak Covid-19 masih meruncing dengan jumlah jangkitan baharu di Selangor yang melebihi 4,000 kes sehari dan jumlah kematian keseluruhan yang kini mencecah 2,063 orang. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment