Hi! Welcome Back and Stay Tune! Keputusan buka ekonomi cetus pelbagai pandangan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Keputusan buka ekonomi cetus pelbagai pandangan


 

Kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan antara 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula di negeri Fasa 1.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan untuk membuka semula 11 aktiviti ekonomi di negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini menimbulkan pelbagai pandangan antara sektor perniagaan dan pakar kesihatan.

Daripada sudut perniagaan, pemain industri yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan mereka bersetuju dengan pembukaan semula tetapi ia tidak dipersetujui oleh pakar kesihatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan analisis risiko dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam perdagangan masing-masing.

Semua 11 aktiviti itu ialah pusat cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye percaya ia bukanlah masa yang sesuai untuk membuka semula sektor ekonomi apabila hanya separuh populasi sahaja yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.

“Manakala 16% telah mendaftar tetapi belum divaksin, 13% orang dewasa telah mendaftar dan 20% lagi berusia di bawah 18 tahun.

“Apabila kita memberi kelonggaran terlalu awal, mereka yang belum divaksin akan terkesan dan mengalami kadar kematian yang tinggi selain dijangkiti dengan lebih serius. Kita perlu menunggu sekurang-kurangnya mereka yang telah mendaftar itu menerima vaksin sebelum membuka sektor ekonomi,” katanya.

“Jika kita mempercepatkan kadar vaksinasi, kita boleh mencapai sasaran dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan membuka semula ekonomi harus dilakukan berdasarkan penilaian risiko.

“Sebahagian sektor yang membabitkan bilangan pekerja atau pelanggan yang minimum atau berada dalam persekitaran terbuka harus dibenarkan dibuka semula dengan prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya,” katanya.

Penasihat Kumpulan Kelangsungan Perniagaan Ameer Ali Mydin berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan pemain industri dan membenarkan lebih banyak sektor dibuka semula di negeri di bawah Fasa 1.

“Ini semestinya dapat merangsang semula ekonomi negara kerana industri di negeri di bawah Fasa 1 adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan juga harus membenarkan rangkaian pembekal beroperasi.

“Sebagai contoh, jika anda membenarkan kedai pakaian dibuka semula, anda juga perlu memberi kebenaran kilang tekstil dibuka semula. Jika tidak, bagaimana kedai ini ingin mendapatkan bahan mereka?”

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menggesa kerajaan meneliti SOP sedia ada supaya lebih konsisten dan mencerminkan realiti sebenar operasi.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Samenta William Ng mencadangkan empat SOP diubah semula.

“Pertama, kita mengulangi gesaan supaya tidak lagi ada perbezaan antara perniagaan keperluan dan bukan keperluan dan keputusan membuka semula ekonomi hanya berdasarkan kapasiti, keupayaan untuk melaksana dan menguatkuasa penjarakan sosial dan garis panduan operasi yang selamat serta status vaksinasi pekerja, pelanggan dan pelawat.

“Kedua, kita menggesa kerajaan membaiki semula SOP dan garis panduan pembukaan semula yang mencerminkan parameter operasi dan bukannya pendekatan secara berperingkat yang diumumkan. Kami cadang supaya membenarkan semua sektor termasuk pembuatan, pembinaan dan runcit untuk dibuka semula dengan 80% kapasiti apabila 80% pekerjanya yang lengkap dua dos.

“Ketiganya, memandangkan terdapat pelbagai SOP, kita menggesa kerajaan segera mengarahkan semua agensi penguatkuasa untuk melaksanakan pendekatan secara rundingan dalam penguatkuasaan SOP. Perniagaan tidak boleh terus didenda kerana berlaku kelewatan dan kesilapan kecil yang tidak mendatangkan bahawa kepada pekerja, pelanggan atau pelawat.

“Keempat, kita sekali lagi mendesak kerajaan supaya mempunyai satu agensi atau pusat kontak untuk mengkoordinasikan pengeluaran permit dan surat kelulusan beroperasi dan bukannya meminta kita untuk pergi ke kementerian terbabit.” - FMT



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.