Qualcomm Memperkenalkan aptX Lossless – Kebolehan Menstrim Audio Kualiti Nirhilang Secara Nirwayar
Jika anda seorang audiophile, anda pastinya percaya bahawa satu-satunya cara untuk anda menikmati kualiti audio terbaik adalah melalui fon kepala atau fon telinga berwayar. Akan tetapi, dengan kemajuan teknologi terkini, Qualcomm kini memperkenalkan satu cara baru untuk anda menikmati lagu-lagu kegemaran anda menggunakan fon kepala dan telinga nirwayar.
Qualcomm hari ini memperkenalkan aptX Lossless, iaitu sebuah codec baru yang secara ringkasnya membolehkan pengguna untuk menikmati lagu-lagu kegemaran anda pada kualiti audio CD 16-bit secara nirwayar. Ia memanfaatkan teknologi Qualcomm Bluetooth High Speed Link yang membolehkan peranti-peranti Bluetooth untuk menghantar data pada kadar melangkaui 1Mbps.
Bergantung kepada lokasi pengguna, sekiranya mereka berada di tempat yang sesak dengan orang ramai menggunakan fon kepala nirwayar juga, codec ini mampu menurunkan kadar penghantaran data, dan kualiti audio ke kadar 140kbps sekiranya diperlukan. Apabila pengguna berada di lokasi yang kurang kesesakan penggunaan Bluetooth, ia akan meningkatkan kembali kualiti audio tersebut tanpa pengguna perlu melakukan apa-apa.
aptX Lossless ini adalah sebahagian daripada codec aptX Adaptive yang memanfaatkan kemampuan teknologi nirwayar Bluetooth untuk menghantar data dari peranti ke peranti secara nirwayar.
Dengan platform-platform penstriman audio seperti Tidal, Apple Music dan sebagainya mula menawarkan penstriman audio nirhilang kepada pengguna, penambahan teknologi penstriman nirwayar ini adalah sesuatu yang wajar khususnya kerana penawaran peranti audio nirwayar yang semakin menjadi peranti pilihan utama orang ramai sekarang.
aptX Lossless akan ditawarkan kepada pengguna melalui peranti-peranti sekitar penghujung tahun ini. Kami menjangkakan bahawa akan ada banyak jenama peranti yang akan mahu memanfaatkan perkara ini, khususnya apabila mereka sendiri menawarkan aksesori-aksesori audio yang berkualiti tinggi juga.
Sumber: Qualcomm
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment