Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan Logitech G435 Lightspeed – 3.6 Roentgen - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan Logitech G435 Lightspeed – 3.6 Roentgen


Di pasaran Malaysia terdapat pelbagai jenis fon kepala nirwayar mula dipasarkan kerana pengguna yang semakin selesa dengan penggunaannya serta sistem nirwayar kini lebih baik berbanding lima tahun yang lalu. Satu isu yang saya lihat apabila menggunakan fon kepala nirwayar ialah harga yang mahal, kurang selesa kerana berat dan masa pendam membuatkan ia langsung tidak boleh digunakan untuk sesi permainan video.

Logitech G435 Lightspeed mula dipasarkan pada penghujung September lalu dan makmal Amanz diberikan satu unit untuk diulas. Selepas menggunakannya selama lebih kurang 2 minggu, apa yang boleh saya katakan ialah ini ialah fon kepala 3.6 Roentgen.

Spesifikasi

Logitech G435
Jenis Fon kepala nirwayar
Pemandu 40 mm
Mikrofon 2 mikrofon
Bateri Sehingga 18 jam
Port pengecas USB-C
Pengecasan nirwayar Tiada
CODEC Dolby Atmos, Tempest 3D AudioTech, Windows Sonic Spatial Sound
Sistem operasi disokong Android, iOS, MacOS, Windows 10, PlayStation 4.
PlayStation 5,
Sokongan pembantu maya Tiada
Pad sesentuh Tiada
Kemampuan kalis air Tiada
Storan Dalaman Tiada
Audio Offline Tiada
Pengimbas nadi Tiada
Harga Jualan  RM 299

Rekaan G435 saya rasakan adalah amat menarik kerana ia ditawarkan dalam pelbagai pilihan waran iaitu putih/lilac, biru/rasberi dan hitam/kuning. Kombinasi warna yang saya rasakan mesra konsol seperti PlayStation 5. Biasanya fon kepala untuk gaming diberikan warna klise hitam dengan sedikit kemasan neon bagi membuatkannya kelihatan agresif. Logitech berani untuk menawarkan fon kepala untuk gaming dalam warna ceria. Harus saya katakan saya kurang menggemari warna yang putih/lilac pada unit yang diulas pada awalnya tetapi selepas seminggu kelainan ini kami hargai. Sampai bila ingin perkakasan audio yang sepesen?

Warna ceria dipadankan dengan rekaan yang minimalis berbanding standard fon kepala gaming biasa. Bahagian pendakap telinga diperbuat daripada plastik nipis yang ditutup dengan kanvas. Tiada bahan span pelapik atau mekanisme suspensi yang mengurangkan tekanan pada bahagian atas kepala. Ini bukanlah isu besar kerana G435 adalah fon kepala gaming paling ringan pernah digunakan. Tak ada pelapik tak ada masalah.

Yang menjadi isu ialah saya sudah menggunakan fon kepala sejak lebih 30 tahun dan pengalaman lalu mengajar saya bahawa binaan plastik G435 tidak akan bertahan lama. Selepas lebih kurang setahun pendakap plastik yang nipis ini biasanya akan patah kerana kombinasi digunakan berkali-kali dan terdedah kepada cahaya UV. Mekanisme sambungan pendakap ke cawan telinga juga menggunakan bahan plastik nipis yang sama. Plastik memang ringan tetapi tidak tahan lama. Oleh sebab itulah fon kepala yang lebih premium menggunakan plastik lebih tebal dan mempunyai bahagian logam untuk menguatkan struktur untuk mengelakkan pendakap hancur rapuh.

Dua cawan telinga meneruskan tema minimalis dengan bahagian tubuh diperbuat daripada plastik. Jika binaan premium penting buat anda, G435 bukan fon kepala yang akan menggembirakan anda. Span telinga diperbuat daripada memory foam yang selesa. Walaupun memakai fon kepala untuk tempoh yang lama telinga tidak berpeluh. Kepala juga tidak terasa sakit seperti dikepit. Rekaan mungkin tidak premium tetapi pengalaman memakai adalah amat selesa sekali. Lebih selesa berbanding fon telinga premium Sony WH1000XM3 yang saya gunakan sejak setahun lalu.

Pada cawan telinga kiri terdapat butang kuasa, laras audio dan membisukan mikrofon. Rekaan klasik tanpa pad sesentuh yang menjadi ciri perlu fon kepala nirwayar moden. Mikrofon juga terbina pada cawan telinga kanan dalam bentuk lubang yang besar. Akhir sekali pada cawan yang sama terdapat port pengecasan USB-C. Ketiadaan sistem kawalan audio yang sedang didengari adalah mengecewakan tetapi saya harus realistik kerana G435 ialah fon kepala gaming dari kategori mampu milik. Kemewahan yang telah biasa saya nikmati tidak boleh diberikan pada harga jualan ini.

Penggunaan

Proses menambat bluetooth adalah mudah pada pada kesemua peranti pintar dan komputer yang saya uji . Tekan butang kuasa dan bisu secara serentak dan tunggu lampu biru berkelip-kelip seperti dada Ultraman. Bunyi beep dapat didengari apabila tambatan berjaya dilakukan. Saya lebih sukakan jika sistem tambatan dengan arahan suara Sony digunakan oleh Logitech. Pada fon kepala Sony pendengar menerima notifikasi seperti “power on”, “bluetooth connected”, “bluetooth disconnected”, “low battery” dan “power off” yang jauh lebih jelas dalam memberitahu apa yang sedang berlaku. Bunyi beep pada G435 terlalu generik sehingga sukar untuk memberitahu apa yang sedang berlaku.

Tiada sokongan Fast Connect pada peranti Android ataupun sentuhan NFC untuk melakukan tambatan pantas. Kesemuanya perlu dilakukan secara manual seperti fon kepala dua generasi ke belakang. Proses tambatan kepada konsol lebih mudah menerusi dongel Lightspeed yang disertakan. Dongal ini berkepala USB-A jadi jika anda menggunakan MacBook, anda memang memerlukan sebuah penyesuai.

Sokongan sambungan berwayar juga tidak diberikan walaupun kabel USB-C disambung ke telefon pintar atau komputer. Sekiranya G435 kehabisan bateri, pengguna perlu mengecasnya dahulu sebelum boleh digunakan. Ini sedikit mengecewakan bagi saya yang malas mengecas fon kepala dan bergantung kepada sambungan kabel 3.5mm/USB untuk terus menggunakan aksesori audio selepas kehabisan bateri.

Kualiti Audio dan Mikrofon

Kualiti audio adalah sekadar sederhana juga. Tiada bagus dan juga tidak sampah. Benar-benar seimbang seperti pisau Thanos. Bunyi adalah jelas dan nyaring walaupun dalam situasi permainan COD Mobile yang bingit dengan letupan bom, derun misil dan senapang yang ditembak bertalu-talu. Audio cukup jelas sehingga mudah mengagak dari mana bunyi datang dan berapa jauh ia dari watak yang sedang dikawal. Amat mudah mendengar musuh bergerak dari mana menggunakan G435 jika dibandingkan dengan TWS biasa atau speaker telefon.

Hanya bass mungkin tidak begitu menyerlah. Bunyi tidak cukup menggegarkan koklea sehingga tahi telinga tertanggal. Letupan bom kedengaran seperti meriam buluh karbaid masuk angin. Sekali lagi sederhana sahaja jika saya bandingkan dengan fon kepala XM3 yang saya miliki. Cawan dan span telinga G345 juga tidak membantu kerana tidak cukup kedap sehingga meniriskan audio dari luar masuk ke telinga. Saya masih boleh mendengar audio dari luar ketika mendengar muzik. Mengganggu immersion tetapi secara tak sengaja memberikan Ambient Mode secara tidak sengaja

Tetapi kekurangan pada prestasi audio terubat dengan prestasi mod gaming yang baik. Walaupun menggunakan mod bluetooth, tiada sela masa yang dapat saya sedari sepanjang sesi permua. Sejurus selepas picu raifal M4-Carbine ditekan dalam permua, bunyi tembakan menerjah masuk ke dalam telinga. Tiada sela masa ini adalah amat bagus kerana kesemua TWS dan fon kepala bluetooth yang saya ulas sebelum ini ada sela masa yang teruk sehingga menyebabkan sesi permainan rosak teruk.

Namun begitu G435 mempunyai satu masalah yang ketara iaitu mikrofon yang lemah. Tiada boom mic jadi audio percakapan tidak begitu terang. Kerap kali audio sedikit tersekat-sekat dengan bunyi suara sedikit robotik. Jika ingin digunakan untuk penstriman, G435 tidak boleh saya sarankan kerana ianya tidak melepasi standard piawaian yang boleh diterima. Mainlah dengan mikrofon dibisukan sahaja.

G435 memang sebuah fon kepala untuk gaming kerana ia tidak begitu memuaskan sebagai fon kepala untuk mendengar muzik. Satu penafian yang perlu saya nyatakan di ruangan ini ialah di Amanz kami jarang sekali dapat mengulas set fon kepala gaming. Oleh itu saya tidak mempunyai pengalaman yang besar untuk membandingkan G435 dengan fon kepala jenama lain. Dari sudut pandangan seorang pengguna fon kepala untuk muzik premium, saya boleh katakan audio sekadar sederhana untuk muzik tetapi memuaskan untuk sesi permainan video.

Bateri

G435 diiklankan untuk bertahan sehingga 18 jam dengan sekali caj. Dari penggunaan sederhana, saya mampu menggunakan fon kepala ini sehingga sekitar lima hari. Setiap kali digunakan untuk sesi permua pada tablet dan juga mendengar podsiar kegemaran di Spotify. Hayat 18 jam ini sekadar sederhana sahaja apabila dibandingkan dengan fon kepala seperti WH1000XM4 atau Razer Opus X yang boleh beroperasi melangkaui 20 jam sekali caj. Tempoh mengecas semula pula adalah sekitar dua jam menerusi port USB-C.

Kesimpulan

Adakah Logitech G435 Lightspeed fon kepala muzik yang baik? Jawapannya tidak kerana audio yang sekadar sederhana sahaja. Bass tidak cukup mantap dan audio dari luar boleh memasuki ruang cawan telinga dengan mudah. Kurangnya ciri untuk mengawal muzik terus dari fon kepala juga mengecewakan pada hemat saya.

Adakah ia fon kepala gaming yang baik? Ya kerana tiada sela masa walaupun menggunakan tambatan bluetooth dan audio dari pelbagai arah dapat didengar dalam baik ketika sesi permainan video. Kekurangan hanyalah mikrofon yang kurang jelas untuk melakukan penstriman atau berkomunikasi dengan rakan sepasukan.

Pada harga RM299 ia jatuh ke dalam kategori murah bagi sebuah fon kepala. Murah ialah relatif di sini kerana saya sudah terbiasa dengan fon kepala yang harganya mencecah ribuan ringgit. Jika anda mencari fon kepala asas untuk sesi gaming bluetooth yang baik, saya tiada masalah menyarankan G435 kepada anda asalkan anda menyedari kekurangan-kekurangan yang saya nyatakan di atas.

Logitech G435 adalah seperti yang dikatakan oleh Anatoly Dyatlov di dalam siri Chernobyl – “3.6 Roentgen tidaklah bagus tetapi tidaklah juga teruk”

Pro

  • Ringan dan selesa untuk sesi permainan video yang panjang.
  • Menyokong pelbagai peranti menerusi bluetooth dan Lightspeed.
  • Tiada sela masa walaupun beroperasi secara nirwayar.
  • Pelbagai pilihan warna ceria dan menarik.
  • Harga yang mampu milik untuk fon kepala gaming.

Kontra

  • Binaannya terasa murah dan plastik yang digunakan biasanya tidak bertahan lama.
  • Cawan telinga tidak kedap bunyi. Audio luar mudah masuk.
  • Mikrofon tidak begitu baik.
  • Tidak boleh digunakan secara berwayar walaupun dengan sambungan USB-C.


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.