Rekaan Realme 11 Pro+ Diperlihatkan Dengan Kemasan Kulit Dan Kamera 200MP
Siri Realme 11 bakal dilancarkan di China pada 10 Mei akan datang dan sebilangan maklumat mengenainya telah mula didedahkan. Misalnya seperti rekaan dan beberapa butiran untuk Realme 11 Pro+ yang diperlihatkan secara rasmi menerusi poster dan video promosi pendek.
Rekaan panel belakang peranti diserlahkan dengan kemasan kulit dan fabrik serba mewah dalam rona lembut serta cerah seakan warna kuning. Sesuai dengan namanya Sunrise Beige, ia diinspirasikan daripada detik indah di bandar apabila matahari terbit yang menerangi seni bina klasik lalu mencipta warna keemasan.
Ia turut menggunakan teknik jahitan 3D bertujuan mewujudkan pengalaman penggunaan yang unik dan premium. Ini dipadankan lagi dengan jalur menegak cukup bergaya yang turut menghiasi bahagian tersebut. Realme telah bekerjasama dengan pereka cetakan dan tekstil Matteo Menotto dalam menjayakan kesemua ini.
Modul kamera berbentuk bulat yang agak besar dan tebal turut melengkapi panel belakangnya. Ia memuatkan sistem tri-kamera dengan sensor utama sebesar 200MP dan OIS terbina. Turut boleh dilihat modul kamera ini dihiasi dengan jalur emas yang mengelilinginya.
Panel hadapan pula sejenis AMOLED 120Hz melengkung pada kedua-dua sisi, sementara bingkai pada bahagian bawah pula dilihat rata. Ia juga menempatkan butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan, sementara itu talam SIM, port USB-C dan pembesar suara pula di bahagian bawah.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment