Ulasan OnePlus Nord Buds 2 – Serupa Tapi Tak Sama
Tahun lalu OnePlus Nord Buds dilancarkan di Malaysia. Kami sukakannya walaupun ia nampak murah dan tidak mempunyai banyak ciri mercu. Bagi yang tidak mampu atau mahu berbelanja lebih, TWS seperti Nord Buds menawarkan apa yang diperlukan dengan baik. Dengan pelancaran Nord Buds 2 apakah yang baik, apa yang buruk, apa yang ditambah dan apa pula yang dibuang? Ini ialah ulasan untuk OnePlus Nord Buds 2.
SPESIFIKASI Dan REKAAN
OnePlus Nord Buds | |
---|---|
Jenis | Fon putik dalam telinga |
Pemandu | 12.4 mm Titanium Drivers |
Mikrofon | 4 mikrofon |
Bateri | ANC 5 jam/ 30 jam dengan pod Tiada ANC 7 jam / 36 jam dengan pod |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada |
CODEC | AAC, SBC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Tiada |
Pad Kawalan | Ya |
Kemampuan kalis air | IP55 |
Harga Jualan | RM 329 |
Fon telinga adalah dari jenis putik dengan pemandu audio sebesar 12.4mm yang mempunyai diafragma diperbuat daripada titanium. Saiz pemandu yang lebih besar jika dibandingkan dengan AiPods Gen 3 dan Galaxy Buds2 yang dijual pada harga lebih premium. Setiap putik audio juga dilengkapi dua mikrofon untuk melakukan perbualan serta menyokong sistem pembatalan hingar. Tiada perubahan langsung dilakukan berbanding Nord Buds asal.
Kami kurang gemar dengan rekanan putik audio Nord Buds kerana ia akan berkotak pada bahagian tangkai yang menjadikannya sedikit kurang selesa untuk dikeluarkan dari pod pengecas. Pada bahagian tangkap terdapat pad sesentuh berbentuk bulat. Pad sesentuh ini menyokong kawalan standard tekan untuk menjeda/memainkan muzik, melangkau ke depan dan melangkau ke belakang.
Pad mudah dikesan menggunakan jari apabila putik audio diletakkan dalam telinga. Isu hanyalah pad ini tidak konsisten. Kadang kala sentuhan dikesan dengan baik dan kadang kala satu sentuhan dikesan sebagai dua. Kerana isu ini kami matikan sahaja pad sesentuh bagi mengelakkan sentuhan secara tidak sengaja,
Putik audio adalah dari jenis rekaan standard dengan bahagian silikon yang dimasukkan ke dalam lubang telinga. Kami cukup selesa dengan saiz silikon yang diberikan tetapi OnePlus memberikan dua lagi pasang putik silikon – satu lebih besar dan satu lagi lebih kecil. Bunyi dari luad masih boleh didengari jika sistem pembatalan hingar tidak diaktifkan.
Nord Buds adalah dari kelas asas maka tidak ada ciri tambahan sensor yang menjeda muzik sebaik sahaja ia ditanggalkan dari telinga dan menyambungnya semula apabila mengesan telinga. Ia juga terasa amat plastik jika ingin dibandingkan dengan kemasan pada AirPods, Sony Linkbuds dan Buds Pro.
Kami rasakan kemasan plastik yang licin pada Nord Buds adalah sama dengan yang digunakan pada Galaxy Buds2. Seperti Buds2, Nord Buds mempunyai isu terlalu licin sehingga sedikit sukar untuk ditarik keluar dari pod pengecas. Ini adalah kerana magnet yang digunakan pada pod pengecas adalah agak kuat. Ia boleh memegang Nord Buds dalam pod simpanan walaupun diterbalikkan. Insiden putik audio terjatuh dengan mudah dari pod simpanan sukar berlaku pada Nord Buds. Kalau terjatuh sekalipun tidak perlu risau kerana putik audio Nord Buds melepasi piawaian IP55.
Pod pengecas juga diperbuat daripada bahan plastik berkilat dengan bahagian penutup yang juga bermagnet bagi mengelakkan ia terbuka dengan mudah apabila disimpan di dalam beg. Seperti kami katakan di atas tadi, rekaan putik telinga Nord Buds 2 sama dengan Nord Buds tetapi lain pula ceritanya pada pod pengecas.
Keseluruhan tubuh dibulatkan yang membuatkannya lebih selesa diletakkan dalam poket seluar. Ia masih lagi diperbuat daripada plastik tetapi mempunyai kemasan yang tidak berkilat menyukarkan kotoran dari melekat.
Terdapat lampu LED di hadapan untuk tahap bateri dan status tambatan. Di belakang terdapat port pengecasan USB-C dan butang tambatan manual. Pengecas adalah secara berwayar sahaja dengan kabel diberikan dengan pembelian.
PERISIAN
Nord Buds 2 akhirnya menyokong Google Fast Air yang tiada pada model tahun lalu. Ini memudahkan proses menambatnya kepada peranti baharu. Kerana ia produk OnePlus, integrasi yang lebih baik adalah pada telefon pintar keluar mereka.
Bagi yang tidak mempunyai peranti OnePlus, muat turun aplikasi HeyMelody untuk mengawal pelbagai ciri pada Nord Buds dengan lebih terperinci. Aplikasi diperlukan untuk membaik taraf firmware, mengubah pelbagai tetapan pad sesentuh, mengaktifkan Game Mode dan mengakses equaliser untuk mengubah tona bunyi Nord Buds. Tetapan untuk mengaktifkan mod pertukaran tambatan pantas antara dua peranti juga hanya boleh diaktifkan menerusi HeyMelody.
Satu komen kami pada tahun lalu ialah mod pembatalan hingar pada Buds asal tidak boleh diubah dengan ia sentiasa aktif. Pada Nord Buds akhirnya ada kawalan untuk mematikan atau mengaktifkan mod tembus. Lebih baik berikan kawalan kepada pengguna yang mungkin tidak mahu dunia sekeliling dibisukan sepanjang masa ketika memakai fon telinga ini.
KUALITI AUDIO
Kualiti audio adalah memuaskan untuk sepasang TWS berharga RM329. Nord Buds 2 menyasarkan golonngan yang mencari TWS dengan kemampuan bass yang kuat dan menggegarkan koklea. Jika anda inginkan keseimbangan, ini bukan TWS untuk anda kerana tumpuan diberikan sepenuhnya kepada bass. Akibatnya bunyi pertengahan, vokal dan instrumen ditenggelami bass.
Dari segi perubahan bunyi, masih terdapat persamaan dengan Nord Buds asal cuma bass kini lebih ketara. Hanya satu pemandu audio digunakan pada Nord Buds 2 maka tidak mengejutkan apabila mendengar muzik yang mempunyai banyak instrumen ada bahagian alat muzik yang tidak begitu jelas. Alatan frekuensi tinggi misalnya sering tersorok.
Pementasan juga sedikit ke belakang dan tidak luas. Ini ialah isu yang ada pada majoriti TWS di pasaran sekarang kerana pemandu audio kecil dipadankan dengan putik telinga yang perlu disumbat ke dalam telinga. Jika ingin audio lebih baik, masukkan Nord Buds 2 lebih ke dalam lubang telinga. Akibatnya telinga menjadi kurang selepas selepas penggunaan yang agak lama.
Terdapat mod gaming yang kami rasakan tidak memberikan sebarang perubahan yang besar kerana masih ada sela masa yang ketara lebih-lebih lagi permainan seperti PUBG Mobile dan COD Mobile. Bunyi tembakan lewat beberapa milisaat selepas picu pistol dalam permainan ditarik.
Kualiti bunyi tidak sebaik AirPods Pro dan Galaxy Buds2 Pro tetapi lebih baik berbanding Apple AirPods. Dalam situasi ini kalah kepada AirPods Pro dan Galaxy Buds2 Pro adalah dijangka kerana harga jualan dua TWS ini adalah jauh lebih mahal. Tetapi kejayaan mengalahkan AirPods adalah pencapaian yang boleh dibanggakan.
Mikrofon
Kualiti mikrofon juga baik. Ketika menghadiri beberapa sesi telesidang, suara kami dapat didengari dengan jelas dan tidak kedengaran seperti pecah-pecah. Panggilan telefon juga dapat dilakukan dengan jelas. Tidak ada sebarang isu dilaporkan oleh mereka yang menerima panggilan daripada kami.
Bateri
Bateri putik telinga boleh bertahan sehingga 5 jam dengan ANC dan 7 jam tanpa ANC. Secara peruta kami mendapat sekitar 5-6 jam dengan ANC dimatikan. Kami matikan ANC kerana ia tidak begitu memuaskan serta lebih mementingkan hayat penggunaan. Dengan bantuan pod pengecas, hayat penggunaan boleh mencapai 36 jam. Tidak sempat pula kami mengulas sehingga lebih seminggu. Selepas lima hari kami hanya perlu mengecasnya sekali sahaja. Masa diambil untuk mengecas semula adalah sekitar 2 jam.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x OnePlus Nord Buds 2
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 2x Pasang putik silikon.
- 1x Pelekat.
- 1x Manual.
Kesimpulan
OnePlus Nord Buds 2 adalah RM30 lebih mahal berbanding model tahun lalu. Penambahbaikan hanya dapat dilihat pada pod pengecas, bateri yang lebih tahan lama dan kualiti bass yang lebih memuaskan. Selebihnya masih lagi sama dengan Nord Buds asal. Masihkah berbaloi untuk dibeli?
Kami katakan ya kerana kemampuan mematikan mod pembatalan hingar dan akhirnya ada mod tembus. Sokongan Fast Pair juga akhirnya tiba. Cukup menyenangkan bagi mereka yang mempunyai lebih daripada satu peranti Android. OnePlus Nord Buds 2 bukanlah TWS yang terbaik di pasaran sekarang tetapi pada harga RM329 ia menawarkan banyak ciri berguna yang dapat dilihat pada TWS yang lebih mahal.
Pro
- Pengalaman audio memuaskan
- Rekaan pod simpanan yang padat.
- Ketahanan bateri yang baik.
- Sokongan aplikasi pada pelbagai sistem operasi.
- Kalis air IP55.
Kontra
- Tidak selesa dipakai untuk tempoh yang lama.
- Pad sesentuh tidak konsisten.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment