Hi! Welcome Back and Stay Tune! Kabong masih miskin kemudahan sukan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Kabong masih miskin kemudahan sukan

KABONG: Daerah Kabong ‘kaya’ dengan individu yang berbakat dalam bidang sukan tetapi masih ‘miskin’ dengan prasarana dan kemudahan untuk bersukan.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 40 Kabong, Mohd Chee Kadir sewaktu merasmikan sambutan Hari Sukan Negara di sini hari ini.

Lantaran itu kata Chee, perkara tersebut akan menjadi antara agenda penting dalam misinya membawa pembangunan di kawasan yang baharu sahaja diwakilinya sebaik terpilih sebagai wakil rakyat.

Kawasan Kabong jelas Chee memerlukan sekurang-kurangnya sebuah mini stadium untuk penganjuran acara sukan dan juga dewan permainan awam yang lebih baik.

Kemudahan tersebut setakat ini belum wujud di kawasan itu dan kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberi peruntukan bagi tujuan berkenaan.

Menurut Chee, sukan memainkan peranan amat besar dalam masyarakat dan negara. Selain menjadi wadah untuk kesihatan ia juga boleh menjadi lubuk emas dan kerjaya bagi yang benar-benar berjaya dalam bidang sukan yang diceburi.

Sehubungan dengan itu, Chee menyeru seluruh ahli masyarakat setempat agar bergiat aktif dalam sukan agar matlamat kerajaan melahirkan rakyat sihat serta berjaya dalam bidang sukan mampu menjadi kenyataan dan bukan sekadar omongan kosong semata.

“Banyak ahli sukan telah membuktikan kepada kita bahawa penglibatan mereka yang pada mula-mulanya sebagai hobi telah menjadi kerjaya tetap dan memberi pendapatan lumayan.

“Cuba kita lihat Datuk Lee Chong Wei, Pandelela Rinong, Datuk Nicole Ann David, Azizulhasni Awang dan beberapa atlet lain, mereka kini mencipta nama di peringkat dunia dan menikmati rezeki daripada kehebatan mereka dalam acara sukan yang diceburi.

“Jadikan mereka ini sebagai contoh dan idola kita untuk mencapai impian dalam sukan. Jika kita ada kesungguhan segalanya tidak mustahil,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Haji Alkap serta tetamu jemputan khas yang lain.

Dianggarkan lebih daripada 3000 penduduk setempat menyertai program tersebut yang diisi dengan acara senamrobik, sukaneka, acara berjalan 10,000 langkah, merentas desa dan juga persembahan pentas rakyat.



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.