Sertai aktiviti kecergasan setiap hari, gesa Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada anggota
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor hari ini menggesa para pegawai dan anggotanya terlibat dalam aktiviti kecergasan setiap hari, bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Katanya, sebagai anggota keselamatan dan penguatkuasa undang-undang penting untuk setiap pegawai dan anggotanya sentiasa sihat dan cergas.
“Bukan sahaja sihat dari aspek fizikal, malah minda.
“Kerana dengan berfikir secara waras dan rasional kita dapat membuat keputusan bijak dan menyelesaikan banyak masalah,” katanya selepas menyertai Hari Sukan Negara peringkat Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak di sini pagi tadi.
Katanya, dalam konteks hari ini, dengan wujudnya pelbagai penyakit, penting untuk setiap anggota terlibat dalam aktiviti kecergasan bagi mengelakkan mereka berhadapan masalah kesihatan.
Selain itu tambahnya, mana-mana pegawai dan anggota yang berhadapan dengan masalah obesiti perlu memikirkan cara untuk mengembalikan bentuk badan yang asal.
“Masih wujud segelintir pegawai dan anggota yang berada dalam kategori ini, dan mereka perlu berusaha memperbaiki diri,” jelasnya.
Mazlan yang berpuas hati dengan kecergasan anggota bawahannya tidak menolak akan melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan para anggotanya mengekalkan bentuk tubuh badan yang ideal.
“Seluruh kepimpinan Polis Diraja Malaysia sedar akan perkara ini kerana bentuk badan yang ‘out of shape’ boleh menjejaskan imej pasukan,” katanya lagi.
Mazlan mengetuai lebih 300 pegawai dan anggota IPK Sarawak untuk terlibat dalam pelbagai jenis sukan termasuk senamrobik, bola jaring dan bola sepak. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment