Ahli PPBM: Khairuddin lebih layak berbanding Rashid
PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan lebih layak menjadi naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berbanding Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, kata ahli seumur hidup parti baharu itu.
Datuk Seri Zaeinal Abidin Omar menyuarakan bantahan dan kekecewaan terhadap pelantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), susulan pengumuman barisan kepimpinan PPBM hari ini.
Katanya, kebanyakan muka baharu yang dilantik itu, selama ini hanya membisu ketika pemimpin lain berjuang bermati-matian menentang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka yang baharu dilantik pegang jawatan tertinggi ini, saya tidak nampak keikhlasan dan pendirian melawan Najib, kita tak nak lalang yang tidak ada pendirian jadi pemimpin.
“Kita nak pemimpin yang betul-betul ikhlas, kita tidak tahu sejauh mana pendirian mereka sebab mereka tidak pernah tunjuk keberanian mereka menentang Najib, mereka hanya menumpang dan ambil kesempatan di atas kejayaan penubuhan PPBM,” katanya kepada FMT hari ini.
Pada 27 Oktober lalu, Khairuddin mengumumkan beliau keluar daripada PPBM, berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, beliau berbuat demikian untuk menumpukan perhatian bagi menangani kes mahkamah yang sedang dan akan berlangsung “secara berterusan” selepas ini.
Hari ini, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipilih untuk mengisi kekosongan timbalan presiden PPBM, sementara Rashid pula dilantik sebagai naib presiden.
Selain Rashid, 2 lagi naib presiden ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng yang dipecat, Datuk Hamidah Osman serta peguam, Datuk Abdul Rashid Asari.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Datuk Kadir Jasin; abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin; Tariq Ismail yang merupakan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman serta bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen pula dilantik sebagai ahli MPT PPBM.
Zaeinal berkata, PPBM sepatutnya melantik Khairuddin memegang jawatan tinggi berbanding mereka yang tidak pernah membantu dalam pembentukan parti itu.
“Kahiruddin salah seorang individu selayaknya dilantik jawatan tertinggi, saya berjuang dari mula bersama Khairuddin menentang Najib.
“Kita lalui pelbagai cabaran, pelbagai ugutan, ancaman dan sebagainya, malah sanggup berkorban nyawa, keselamatan, periuk nasi pun kita korbankan.
“Adakah mereka itu berani buat macam itu? Mereka berani buat laporan polis, tidur dalam lokap seperti Khairuddin? Mereka semua bisu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan barisan pemimpin PPBM yang tidak pernah berjuang untuk penubuhan parti supaya tidak membelakangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan kerana kekuatan parti terletak pada aura bekas perdana menteri itu.
Sumber : Free Malaysia Today http://ift.tt/2f0Ql9d
Post a Comment