Hukum Suami Isteri Tidur Berasingan
Saya berumur 26 tahun dan baru mendirikan rumah tangga enam bulan lalu. Saya selalu rasa terkilan dengan layanan suami yang kurang memberi perhatian kepada saya.
Buat pengetahuan Dang Setia, perangai suami saya pelik. Dia lebih suka tidur waktu tengah hari berbanding malam. Tiap-tiap malam malam saya tidur keseorangan tanpa teman, sedangkan suami lebih gemar menonton DVD.
Hubungan kami juga tak berapa mesra seperti pasangan suami isteri lain. Suami saya lebih banyak mendiamkan diri. Apabila saya ajak dia bergurau, dia hanya mendiamkan diri tanpa sebarang maklum balas.
Hati saya sunyi Dang Setia. Apa guna ada suami kalau tidur seorang diri. Pernah saya merajuk dan tunjuk muka masam pada suami, tapi dia hanya mendiamkan diri.
Apa harus saya lakukan? Saya betul-betul cinta dan sayang pada suami. Saya tahu dia juga cintakan saya, tapi dia jarang menujukkannya pada saya.
ISTERI SEDIH
JAWAPAN
Masalah begini sebenarnya serius, sebab itu dalam bidang kaunseling ada satu cabang khusus berkaitan masalah rumah tangga. Terus-terang Dang Setia bukan pakar dalam hal ini, cuma ada sedikit sebanyak maklumat yang rasanya bermanfaat untuk dikongsi bersama puan.
Pertama sekali, usia perkahwinan puan masih terlalu baru. Ini bermakna puan dan suami masih dalam proses penyesuaian dan saling lebih mengenali wajah sebenar peribadi masing-masing.
Jadi, ada kemungkinan ada satu atau dua perkara mengenai puan yang tidak digemari suami. Namun, masalahnya dia tidak meluahkan perkara itu. Inilah kesilapannya dan saudari perlu merungkai permasalahan ini.
Caranya ialah dengan mengajak suami berbincang dan berterus terang mengenai ketidakpuasan hati masing-masing. Perlu disedari komunikasi dua hala dan berkesan adalah tunjang kebahagiaan hidup berumah tangga. Jika wujud masalah dalam komunikasi, kebahagiaan rumah tangga bukan saja terjejas, bahkan boleh runtuh.
Jelas di sini, suami puan pendiam dan taktik merajuk yang puan gunakan tidak berkesan. Jadi, puan perlu menggunakan taktik lain untuk merangsangnya bercakap dan timbul keghairahan untuk beraksi aktif di tempat tidur.
Dua tahun lalu seorang suami menulis di ruangan ini mengenai masalah isterinya yang dingin seks dan tulisannya mendapat maklum balas daripada seorang isteri bernama Ayu yang pernah mengalami masalah dingin seks.
Namun kata Ayu dia akhirnya berjaya mengatasi masalah itu selepas melakukan beberapa cara. Biarpun apa yang diketengahkan Ayu bertujuan merangsang keinginan seksualnya sendiri, bagi Dang Setia maklumat diberi turut berguna untuk seorang isteri merangsang seksual suami.
Kata Ayu, dia belajar untuk merangsang diri sendiri dengan membaca bahan yang boleh membantu. Dia juga beli makanan tambahan supaya berstamina baik luar dan dalam serta belajar teknik yang pelik dalam hubungan kelamin daripada majalah, buku serta Internet.
Kata Ayu, hasilnya menakjubkan. Suaminya tak pernah minta tapi Ayu tahu bila dia mahu. Suaminya juga seronok bila Ayu melakukan benda pelik dalam hubungan kelamin, selagi tidak melampaui batas agama.
Jadi, Dang Setia mencadangkan puan turut melakukan apa yang disarankan Ayu, terutama dalam bab merangsang suami. Ringkas kata, disebabkan suami puan pasif, puan tidak boleh menunggu dia memulakannya, sebaliknya puan perlu mengambil tanggungjawab itu dengan bertindak seagresif mungkin untuk merangsangnya.
Paling penting, ingin Dang Setia tekankan, setiap suami dan isteri perlu faham bahawa melayan serta memenuhi kehendak pasangan masing-masing adalah ibadat. Melakukannya mendapat pahala dan mengabaikannya boleh mengundang dosa.
Jika segala usaha puan masih menemui jalan buntu, jangan teragak-agak merujuk masalah puan kepada kaunselor perkahwinan bagi mendapatkan nasihat serta bimbingan bagi mengelak rumah tangga puan terus dingin untuk jangka masa panjang.
Read more: http://ift.tt/2eXL58u
Sumber : Oh My Media TV http://ift.tt/2fhHnFp
Post a Comment