Hi! Welcome Back and Stay Tune! Pandang Pertama Huawei Mate 9 Porsche Design : Gaya, & Mutu – Tetapi Pada Harganya - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Pandang Pertama Huawei Mate 9 Porsche Design : Gaya, & Mutu – Tetapi Pada Harganya

Huawei merupakan salah satu jenama dari China, membuatkan ramai yang agak skeptikal untuk mendapatkannya. Bagi mengatasi tanggapan ramai berkenaan, pihak Huawei telah berusaha hadir dengan pelbagai peranti dengan rekaan yang menarik dan berkualiti sejak daripada setahun dua yang lepas.

Disamping itu, mereka juga turut bekerjasama dengan beberapa jenama terkemuka. Pada awal tahun 2016 ini, mereka telah bekerjasama dengan pihak Leica untuk teknologi kamera belakang pada Huawei P9, dan ia diteruskan pada Huawei Mate 9. Tetapi, kali ini mereka turut membuat kejutan dengan mengumumkan kerjasama bersama pihak Porsche Design, dan hadir dengan peranti khusus dinamakan Porsche Design Huawei Mate 9 (kami akan memanggilnya sebagai Huawei Mate 9 Porsche Design).

Huawei Mate 9 Porsche Design

Huawei Mate 9 Porsche Design

Bercakap mengenai Porsche Design sendiri, mungkin ramai yang mengenalinya hasil kerjasama dengan BlackBerry sebelum ini yang sering hadir dengan pelbagai variasi peranti Blackberry menggunakan rekabentuk Porsche Design. Memandangkan BlackBerry sendiri telah berhenti mengeluarkan peranti lagi secara dalaman, dan mula melesenkan pada pihak kedua, mungkin Porsche Design memilih Huawei untuk bekerjasama.

Perkara ini juga secara tidak langsung memberikan impak positif terhadap jenama Huawei – disamping memperlihatkan kebolehan Huawei untuk hadir dengan sebuah peranti yang boleh dijual pada harga sangat tinggi.


Rekaan Dan Spesifikasi

Huawei Mate 9 Porsche Design membawakan rekaan yang lebih premium berbanding dengan Huawei Mate 9 biasa, disamping dilengkapi skrin yang sedikit melengkung pada bahagian tepi – memberikan ia rekaan seakan sebuah kereta Porsche – disamping mereka turut memberikan penekanan terhadap rekaan simetri yang dibawakan oleh peranti ini.

Disebabkan oleh rekaan simetri ini juga, pihak Huawei menggunakan kamera yang disusun secara menegak di belakang dan diposisikan pada bahagian tengah – berbeza dengan rekaan Huawei P9 sebelum ini.

Berbalik kepada bahagian skrin, ia sedikit melengkung pada bahagian tepi – sangat sedikit dan tidak seperti Galaxy S7 Edge mahupun Mi Note 2. Rekaan melengkung yang sangat sedikit pada bahagian tepi ini lebih kepada ciri-ciri astetik sahaja, dan tiada sebarang fungsi khusus yang dibawakan untuknya.

Huawei Mate 9 Porsche Design Huawei Mate 9 Porsche Design Huawei Mate 9 Porsche Design

Huawei Mate 9 Porsche Design juga menggunakan penjenamaan Porsche Design sahaja pada bahagian hadapan dan juga belakang. Logo Huawei boleh dikatakan tidak kelihatan pada peranti ini.

Dari segi saiz, Huawei Mate 9 Porsche Design ini menggunakan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan 2K (2560×1440 pixel). Saiz yang sedikit kompak berbanding Huawei Mate 9 menjadikan variasi Porsche Design ini lebih selesa dipegang di tangan saya.

Ia turut hadir dengan rekaan dan binaan yang sangat baik berasaskan logam. Menjana peranti ini adalah cip pemprosesan Kirin 960, memori sehingga 6GB RAM dan ruangan storan 256GB. Seperti Huawei Mate 9 biasa, Huawei Mate 9 Porsche Design turut hadir dengan sokongan dwi-kamera belakang, iaitu gabungan 20-megapixel (monokrom) dan juga 12-megapixel (RGB). Kamera hadapan yang digunakan adalah hanya 8-megapixel. Pada bahagian bateri pula adalah bateri berkapasiti 4000mAh yang hadir dengan sokongan pengecasan pantas serta menggunakan pengecas berasaskan USB-C.


Pengimbas Cap Jari Di Hadapan

Huawei Mate 9 Porsche Design

Berbeza dengan sejumlah peranti keluaran Huawei, pada Huawei Mate 9 Porsche Design, mereka menggunakan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan. Ia juga berbeza dengan versi biasa Mate 9 yang menggunakan pengimbas pada bahagian belakang. Bercakap mengenainya, pihak Huawei mengatakan ia memberikan pilihan kepada pengguna – kerana ada yang meminati penggunaan pada bahagian hadapan, dan ada juga pada bahagian belakang. Disebabkan oleh kekangan masa, kami gagal menguji kepantasan pengimbas cap jari pada versi Porsche Design. Tetapi, sekiranya ia sama seperti Huawei Mate 9 biasa, maka boleh dikatakan ia berfungsi dengan sangat pantas – boleh dikatakan lebih pantas berbanding penggunaan saya di Nexus 6P sebelum ini.


Dwi-Kamera Leica

Huawei Mate 9 Porsche Design

Huawei Mate 9 Porsche Design ini turut menggunakan dwi-kamera pada bahagian belakang. Berbeza dengan Huawei P9 yang menggunakan kedua-dua lensa sama, pada Huawei Mate 9 Porsche Design ini, Huawei menggunakan lensa 12-megapixel untuk merakamkan gambar berwarna, sementara lensa 20-megapixel untuk rakaman gambar hitam-putih. Menurut wakil Leica, ini membolehkan mereka merakamkan lebih banyak data pada gambar, dan menghasilkan rakaman yang lebih cantik dan jelas. Huawei juga melalui kamera belakang di Mate 9 Porsche Design ini, mereka mengatakan menyertakan kemudahan untuk merakamkan gambar yang jelas walaupun pada keadaan yang gelap.

Dan akhirnya, pada Mate 9 Porsche Design (dan versi biasa), Huawei menyertakan sokongan penstabilan imej optikal – membolehkan anda merakamkan gambar dan video dalam keadaan yang stabil dan tidak bergoyang – walaupun ketika anda sedang bergerak atau berjalan.


Tiada Kad Mikro-SD

Huawei Mate 9 Porsche Design

Huawei agak terkenal dengan penawaran ruangan kad mikro-SD berbentuk hibrid – iaitu sama ada menggunakan kad-SIM kedua ataupun mikro-SD. Namun, pada Mate 9 Porsche Design, tiada sokongan untuk kad mikro-SD. Mungkin penggunaan ruangan storan sehingga 256GB yang disertakan pada peranti ini memadai untuk penggunaan jangka masa panjang, dan anda perlu memindahkan data ke komputer atau storan lain sekiranya ia tidak mencukupi.

Walaubagaimanapun, beberapa ciri-ciri lain seperti IR Blaster untuk mengawal peralatan elektronik, dan juga NFC untuk memindahkan data turut disertakan pada peranti ini.


EMUI 5.0 Dan Android 7.0 Nougat

Huawei Mate 9 Porsche Design dijana menggunakan sistem operasi Android terkini, iaitu Android 7.0 Nougat. Sekiranya tidak salah, ini adalah peranti kedua menggunakan Android 7.0 Nougat selepas LG V20 (selain Pixel). Seperti peranti Huawei lain, Mate 9 Porsche Design turut dilengkapi antaramuka EMUI. Huawei menggunakan EMUI 5.0 yang menyertakan beberapa ciri-ciri baru, dan paling utama adalah integrasi pembelajaran mesin.

Huawei Mate 9 Porsche Design

Agak menarik untuk melihat kaedah implementasi pembelajaran mesin oleh Huawei pada EMUI, dimana ia akan mempelajari penggunaan anda dan juga kaedah sesuatu aplikasi berfungsi – dan seterusnya mengoptimasikan penggunaan dan pemprosesannya. Menurut Huawei, peranti akan kekal beroperasi dengan pantas, walaupun selepas 18 bulan (tempoh yang disarankan oleh Google untuk sokongan rasmi). Huawei turut membuat simulasi dan membandingkan Mate 9 dengan Galaxy S7 Edge – yang menunjukkan Mate 9 kekal beroperasi dengan pantas walaupun selepas 18 bulan. Seperti biasa, ini hanya dalam bentuk simulasi maya sahaja, dan kita akan dapat melihatnya sama ada benar atau sebaliknya selepas sekitar 18 bulan lagi.


Penutup

Secara keseluruhan, Huawei Mate 9 Porsche Design dilihat seperti Huawei mengatakan mereka mampu dan mempunyai kepakaran untuk hadir dengan peranti yang sangat premium dan berkualiti tinggi – berbeza dengan pengeluar China yang lain. Pada masa yang sama, hasil kerjasama dengan jenama besar – Leica dan Porsche Design turut memberikan perspektif baru kepada jenama Huawei.

Huawei Malaysia telah berkongsi mengatakan kepada kami yang mana versi Huawei Mate 9 biasa akan hadir ke pasaran tempatan sekitar penghujung November 2016 ini, sementara Huawei Mate 9 Porsche Design ini hanya akan hadir beberapa minggu (atau bulan?) selepas itu. Walaubagaimanapun, apakah Mate 9 Porsche Design ini akan menarik minat pengguna tempatan atau sebaliknya hanya terletak pada satu perkara utama – iaitu harga jualannya. Secara kasar kini, daripada tukaran mata wang, Huawei Mate 9 Porsche Design dilihat berharga sekitar RM6.5k.

Huawei Mate 9 Porsche Design






Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2fuKhZs

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.