Sasha Saidin selesa hidup sederhana
KEHIDUPAN glamor yang pernah melingkari hidup Sasha Saidin, 41, terutama ketika menjadi salah seorang anggota kumpulan Elite lebih 20 tahun lalu, memberi seribu satu makna buat dirinya.
Mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk melupakan segala momen indah bersama Elite, Sasha atau nama lengkapnya, Sasha Mohd Saidin kini lebih selesa hidup secara sederhana.
Terangnya kepada Media Hiburan, pada satu tahap, seseorang itu pasti sudah boleh berfikir untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna buat diri sendiri dan keluarga tercinta, seiring kematangan diri.
“Kalaulah saya boleh gambarkan kehidupan sekarang dengan satu perkataan, jawapannya content. Saya gembira dengan apa yang saya buat sekarang. Selagi ada projek seni here and there, itu dah memadai bagi saya.
“Saya seorang ibu tunggal dan pastinya, masa banyak diisi bersama anak dan ibu saya. Jujurnya, saya lebih selesa jalani hidup sederhana sejak dulu lagi. Nak kejar glamor itu tak ada.
“Jarang saya beria nak expose apa yang saya buat sehari-hari. Tapi alhamdulillah, masih ada peminat yang ikuti perkembangan seni saya,” katanya penyanyi, pelakon dan model ini ketika ditemui di majlis perasmian serentak program Malaysiaku Negaraku dan #blackoutbumisakit di Comedy Planet, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sasha Saidin
Ulang tahun ke-21 Elite
Kakak kepada aktor Zain Saidin ini, mengakui pengalaman bersama Elite yang disifatkan sebagai kumpulan muzik wanita paling sensasi era kegemilangannya itu, banyak mengajar erti setia kawan, apatah lagi pada 6 Mei ini, Elite meraikan ulang tahun pembabitan yang ke-21 tahun.
“Sudah tentu kami ada merancang nak bagi sesuatu yang istimewa kepada peminat. Lagu-lagu kami masih jadi siulan dan itu dah cukup menggembirakan.
“Tapi itulah, bila kenangkan kekangan terutama komitmen anggota dan penaja, ia sedikit sebanyak membantutkan misi persembahan reunion eksklusif ini.
“Sebab kalau boleh, kita nak buat persembahan dalam skala besar. Tak seronoklah kalau buat ala kadar saja.
“Tapi saya sedia faham, untuk laksanakannya itu bukanlah suatu hal yang mudah,” ujar Sasha.
Bagaimanapun, Sasha memberi bayangan sekiranya mereka tidak menyambut ulang tahun Elite dengan persembahan pentas sekali pun, pastinya akan muncul di dalam program khas bersempena Aidilfitri.
Perancangan filem, muzik
Bercakap mengenai sisi kerjaya seninya sendiri, Sasha teruja untuk kembali ke set penggambaran filem bajet besar dalam tempoh terdekat.
Filem yang khabarnya menampilkan Faizal Hussien dan Wilma Muhammad itu, berkisarkan sejarah di Perak.
“Apa pun, saya tak boleh nak terangkan mengenai filem itu dengan terperinci sebab ia masih peringkat awal perbincangan. Cuma projek ini turut melibatkan Kerajaan Negeri Perak dan Finas,” katanya yang kali terakhir muncul menerusi filem Mat Moto Otai.
Pada masa sama, Sasha baru selesai menjalani penggambaran sebuah filem pendek kempen jenama bersama beberapa selebriti lain seperti Uqasha Senrose, Thanuja dan Amber Chia.
Filem yang akan ditayangkan untuk sebuah saluran web itu, khusus sempena hari raya pada tahun ini.
Bintang berdarah kacukan ini juga, meluahkan hasrat memasarkan kembali album solonya, Kerana Cinta yang pernah dipasarkan pada 2007.
“Idea nak pasarkan album itu memang ada. Cuma saya kena fikir dan buat dengan cara yang betul. Insya-ALLAH jika berjalan lancar, siapa tahu nanti album itu berada di pasaran khas buat peminat,” luah Sasha.
The post Sasha Saidin selesa hidup sederhana appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan untuk meneruskan bacaan di laman asal sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2oXRabi
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment