‘Bisik Pada Langit’ Kerana Pelakonnya
LAZIMNYA, permasalahan besar yang sering berlaku dalam penerbitan filem tempatan adalah kelemahan cerita dan lakon layar dalam menyakinkan audiens untuk menjadikan ia sebagai sebuah santapan terbaik.
Namun, ada ketikanya, kelemahan itu digantikan dengan persembahan lakonan para pemain watak yang menghidupkan watak masing-masing lalu membuatkan audiens terlupa bahawa jalan ceritanya bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
Akan tetapi, dalam satu senario berbeza yang penulis sifatkan sebagai kes terpencil melalui konteks pembikinan filem tempatan apabila kombinasi antara cerita, lakon layar dan persembahan pelakon telah memberikan sebuah bingkisan membanggakan.
Senario ini amat bertepatan untuk penulis gambarkan kecemerlangan filem Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia yang memulakan tayangannya pada 21 September lalu.
Benar! Penulis meletakkan Bisik Pada Langit sebagai salah sebuah karya terbaik untuk tahun 2017 selepas Adiwira Ku yang baru sahaja diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29).
Apa yang penulis katakan ini bukanlah satu omongan kosong tetapi satu realiti yang tidak boleh dinafikan kerana menonton Bisik Pada Langit telah memberikan satu kepuasan maksimum buat penulis.
Kalau dilihat secara mata kasar, subjek Bisik Pada Langit bukan sesuatu yang baharu kerana tema sedemikian barangkali sudah berulang kali diterjemahkan dalam drama tempatan khususnya.
Tetapi, Bisik Pada Langit menjadi mahal kerana ceritanya yang merupakan idea asal bekas wartawan hiburan, Saniboey Mohd. Ismail telah memberikan satu perspektif baharu untuk membicarakan soal keluarga dan kasih sayang dalam landasan Islam yang barangkali kita sendiri tidak pernah memikirkannya.
Sudah pasti, sebagai seorang Islam, kita wajib percaya kepada ketentuan Allah dan Qada dan Qadarnya namun, Bisik Pada Langit membawa penonton untuk melihat bagaimanakah kedudukan kita sebagai hambaNya apabila ditimpa musibah terutama membabitkan insan yang dianggap harta paling bernilai dalam hidup kita.
Tema seperti mana yang diketengahkan dalam Bisik Pada Langit memang sudah jarang ditonton dalam filem tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lalu, apabila ia hadir, penulis melihatnya sedikit sebanyak merobah senario filem tempatan yang semakin lama semakin mundur dalam soal penceritaan.
Daripada idea menghasilkan sebuah cerita yang sebenarnya ringkas dan mudah difahami serta begitu dekat dengan masyarakat Melayu, idea itu kemudiannya bertukar menjadi sebuah lakon layar yang cukup indah sentuhan Sofia J. Rhyland dan Maizura Ederis.
Bisik Pada Langit tidak memerlukan sebarang efek visual yang gah untuk mencantikkan visualnya tetapi cerita dan persembahan pelakonnya adalah nadi untuk terus menghidupkan ia sehingga ke garis penamat.
Seperti mana Cinta (2006) dan Dollah Superstar (2015) yang berada dalam liganya tersendiri, Kabir meneruskan legasinya sebagai pengarah bijak untuk memberikan impak kepada audiens menerusi hasil kerjanya kali ini.
Filem yang pada asalnya dihasilkan untuk drama televisyen ini diperindahkan dengan teknik sinematografinya yang penulis sifatkan cukup cantik dan telah membangkitkan mood serta memberikan rasa pelbagai lalu melengkapkan Bisik Pada Langit sebagai sebuah naskhah terbaik.
Walaupun watak Fadilah Mansor tidak besar, tetapi kemunculannya melengkapkan dan menyokong watak-watak lain.
Justeru, sekalung tahniah wajar diberikan kepada pengarah fotografinya, Norhanisham Muhamad atau Labu yang berjaya memberikan sentuhannya untuk membuatkan audiens tidak berkelip mata menontonnya.
Menyentuh tentang lakonan pula, penulis tidak malu untuk mengatakan bahawa inilah persembahan barisan pelakon bertaraf Gred A yang telah memberikan lakonan yang cukup hebat.
Bukan pujian kosong yang diberikan secara melangit, tetapi untuk anda yang belum menontonnya, percayalah, anda akan berasa puas dengan setiap pelakon yang telah menghidupkan watak masing-masing dengan cemerlang.
Penulis harus memberikan markah penuh buat Jalil Hamid sebagai Rosli yang membawakan watak seorang bapa dengan penuh berkesan. Lakonannya boleh membuatkan audiens ketawa, tersenyum dan seterusnya mengalirkan air mata tanpa perlu dipaksa.
Cuma, penulis rasa sedikit ralat kerana nama Jalil gagal membolosi senarai calon akhir Pelakon Lelaki Terbaik FFM29 kerana beliau memang benar-benar layak.
Watak yang dibawakannya itu masih lagi berlegar dalam masyarakat Melayu konvensional (mengambil latar belakang kehidupan keluarga ini) berhubung tanggungjawab seorang bapa terutama terhadap anak perempuan serta hubungannya dengan anak-anak lain.
Lakonan Beto Kusyairy sebagai Zaidi dan Naim Daniel (Iqram) sebagai adik-beradik tidak perlu dipertikaikan lagi kerana masing-masing berada dalam liga tersendiri. Memang layak untuk kedua-duanya dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM 29.
Baik Jalil, Beto, Naim, Ummi Nazeera mahupun Fadilah Mansor, gabungan tenaga yang dicurahkan menerusi watak mereka telah meninggalkan satu impak yang sudah lama tidak dinikmati.
Mereka membuktikan bahawa untuk menjadi seorang pelakon, bakat masih lagi menjadi tunjang utama biarpun tidak memiliki nilai komersial dan berjuta pengikut di laman sosial.
Walaupun Bisik Pada Langit ada juga cacat celanya dalam soal efek visualnya selain soal kesinambungan untuk beberapa babak yang jelas kelihatan, ia tidak menjejaskan filem ini untuk diletakkan sebagai sebuah karya terbaik.
Di kala penonton hari ini terus disogokkan dengan cerita cinta fantasi yang tidak menjana minda, Bisik Pada Langit memberikan pilihan untuk penonton menikmati satu realiti kehidupan yang pasti akan membuatkan kita berfikir sejenak tentang tugas kita sebagai seorang hamba.
The post ‘Bisik Pada Langit’ Kerana Pelakonnya appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2xI3BL2
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment