KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar diberi tempoh dua hari untuk menjelaskan kenyataan beliau mengenai ‘DAP pernah meminta agar memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian’.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ini adalah kali pertama beliau mendengar mengenai cadangan tersebut.

Katanya, kenyataan Hanif juga membuatkan beliau tertanya-tanya sama ada Hanif sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan beliau dan DAP.
“Saya minta supaya Hanif memetik bab dan rangkap, tarikh dan masa, di mana saya membuat cadangan mengarut seumpama itu. Jika maklumat itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi, maka ia harus dinyahkan daripada status itu.

“Saya memberi Hanif tempoh selama dua hari untuk memberi respons terhadap cabaran ini atau rakyat Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa beliau sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP dengan penipuan sebegitu.
“Saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas tamat tempoh dua hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun Hanif buat pendedahan DAP, Pas]
Semalam, Hanif dalam satu forum berkata, tarikh 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam yang tidak boleh dilupakan kerana tarikh itulah kemuncaknya kisah perkauman di Malaysia.
Katanya, ketika itu Parti Perikatan membentuk BN kerana negara hampir hancur, manakala DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menyangkal kenyataan Hanif bahawa bekas Ketua Polis Negara itu bertanggungjawab terhadap penahan beliau pada 18 Mei 1969.
“Pertama sekali, beliau masih belum menjadi Ketua Polis Negara semasa saya pertama kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 18 Mei 1969. Khidmat Hanif sebagai Ketua Polis Negara bermula pada 1974 hingga 1994, selepas saya dibebaskan daripada tahanan ISA pada 1 Oktober 1970.

“Hanif mendakwa beliau adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap penahan tersebut. Adakah beliau juga orang yang bertanggungjawab membebaskan saya sebagai tahanan ISA pada 1 Oktober 1970? Amat menarik jika dapat mendengar satu lagi kisah temberang daripada Hanif,” katanya.