KUALA LUMPUR - Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 2019.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia selaras dengan keperluan untuk memastikan kadar gaji dapat menampung suasana kos sara hidup.

Selain itu, katanya, bagi menggalakkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia  berumur 60 ke atas, kerajaan mencadangkan supaya caruman mandatori KWSP bagi majikan dikurangkan daripada enam peratus kepada empat peratus mulai 1 Januari 2019.

"Pekerja ini pula tidak perlu mencarum. Maka pendapatan boleh guna mereka akan meningkat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019, hari ini.
Katanya, kerajaan juga tidak meminggirkan golongan pesara dengan memperuntukkan bantuan RM500 secara one-off kepada pesara yang masih menerima pencen kurang daripada RM1,000.

Cadangan-cadangan tersebut termasuk dalam strategi kelima iaitu meningkatkan peluang pekerjaan dan keboleh pasaran.
Sinar Harian