KWSP Tandatangan Prinsip PBB Untuk Pelaburan Bertanggungjawab (UN-PRI)
KUALA LUMPUR, 8 April 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-PRI), bagi menggariskan komitmen KWSP terhadap pelaburan bertanggungjawab dan amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping memelihara kepentingan jangka panjang ahli.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, “Memandangkan dana KWSP menghampiri satu trillion ringgit, kami maklum bahawa penyelarasan aktiviti pelaburan kami dengan kepentingan masyarakat umum mencerminkan objektif kami sebagai dana persaraan yang didorong oleh pembangunan nilai jangka panjang dan mampan untuk pihak berkepentingan kami.
“Kami yakin bahawa pengamalan ESG boleh mempengaruhi prestasi portfolio pelaburan dari pelbagai sudut syarikat, sektor, dan rantau. Dengan menandatangani UN-PRI, kami dengan rasminya menggariskan komitmen kami terhadap enam Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab, dan kami berhasrat untuk menggabungkan faktor-faktor ESG secara bermakna dalam proses langkah usaha wajar dan semasa membuat keputusan pelaburan, berikutan potensinya untuk meningkatkan pulangan selain mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko kami sedia ada.”
KWSP secara tradisinya merupakan pelabur berkesedaran sosial yang mengecualikan syarikat-syarikat yang dilihat sebagai tidak beretika seperti alkohol, tembakau, perjudian, persenjataan dan tenaga nuklear. Pengumuman hari ini akan menyaksikan KWSP mengukuhkan komitmennya terhadap prinsip ESG dan pelaburan mampan, sekaligus menyediakan asas kepada amalan mesra alam dan berkesedaran sosial yang lebih kukuh, sebagai tambahan kepada tadbir urus korporat yang mantap di kalangan syarikat-syarikat pelaburannya.
Tunku Alizakri berkata ini boleh meningkatkan keupayaan KWSP untuk mengimbangkan pulangan kewangan dengan kesan yang boleh diukur ke atas masyarakat dan alam sekitar demi manfaat generasi akan datang. “Walaupun pertimbangan kewangan kekal penting, kami juga perlu mengambil kira kesan aktiviti kami secara menyeluruh ke atas masyarakat, selain menekankan amalan baik dan betul, di samping mengurangkan yang negatif.”
UN-PRI diiktiraf sebagai pendokong utama pelaburan bertanggungjawab di dunia dengan lebih 2,000 penandatangan yang mewakili dana di bawah pengurusan melebihi US$70 trilion (RM288 trilion). Inisiatif ini bertujuan untuk memahami implikasi pelaburan faktor-faktor ESG serta memberi sokongan kepada rangkaian pelabur antarabangsa dalam menggabungkan faktor-faktor ini ke atas keputusan pelaburan dan pemilikan mereka.
Penandatangan diwajibkan untuk melaksanakan enam Prinsip-Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab, termasuk menggabungkan pertimbangan ESG ke atas analisa pelaburan dan proses membuat keputusan, serta mewajibkan pelaporan ESG daripada syarikat-syarikat pelaburannya.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.
✍ Sumber Pautan : ☕ KWSP: Terkini di KWSP
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2X1DWHn
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment