Ulasan: Samsung Galaxy A50 – Telefon Kelas Pertengahan Yang Padat Dengan Fungsi
Samsung Galaxy A50 | |
---|---|
Skrin | 6.4” Super AMOLED, FHD+ |
Chipset | Samsung Exynos 9610 |
CPU | 4 x Cortex-A73 2.3 GHz 4 x Cortex-A53 1.7 GHz |
GPU | Mali-G72 MP3 |
Memori | 6GB RAM |
Storan | 128GB + mikroSD |
Kamera Utama | 25MP + 8MP + 5MP |
Kamera Hadapan | 25MP f/2.0 |
Sambungan | WiFi 802.11 a/b/g/n/ac Bluetooth 5.0 A-GPS, GLONASS USB-C |
Sistem | Samsung One UI 1.1 Android 9.0 Pie |
Bateri | 4000 mAh pengecasan 15W |
Dimensi | 158.5 x 74.7 x 7.7 mm |
Berat & Ketebalan | 166g, 7.7mm |
Tempoh Penggunaan |
1 minggu |
Menghasilkan telefon pintar mampu-milik adalah antara usaha yang sangat diberi perhatian oleh pengeluar masa saat ini. Ia dilihat berpotensi untuk menerima penggunaan yang lebih ramai, lebih-lebih lagi untuk pasaran Asia. Sebelum ini, Xiaomi dan Honor antara jenama popular dalam segmen ini – dengan sejumlah penawaran peranti berkuasa pada harga mampu-milik. Ia kemudiannya diteruskan lagi oleh kebangkitan sub-jenama baru seperti Realme (daripada OPPO) dan Redmi (daripada Xiaomi) untuk memeriahkan lagi segmen peranti ini.
Samsung sedia menawarkan segmen peranti mampu-milik mereka di bawah siri Galaxy J. Namun siri ini tidak begitu menekankan spesifikasi yang baik apabila dibandingkan dengan peranti yang dijual pada harga sekitarnya. Siri ini sering mempunyai cip pemprosesan dan RAM yang rendah, selain menawarkan keupayaan kamera asas. Hanya siri Galaxy A sahaja yang dilihat berbaloi kerana menampilkan spesifikasi yang baik untuk pengguna.
Pada tahun ini, Samsung telah mengubah strategi mereka dalam pasaran telefon mampu milik ini untuk penyelarasan semula. Mereka tidak lagi membawa penjenamaan berbeza seperti Galaxy J atau Galaxy Ax, dengan menyatukannya di bawah satu siri sahaja. Bermula tahun ini, Samsung hanya mengggunakan siri Galaxy Axx untuk perkelasan telefon kelas permulaan dan pertengahan.
Samsung Galaxy A50 adalah salah satu model baru di dalam segmen peranti mampu-milik ini. Ia antara model yang diminati oleh pengguna kerana ia menawarkan spesifikasi yang menarik pada harga di bawah RM1300. Ia menampilkan cip yang pantas, keupayaan tri-kamera, dan skrin yang terang, sekaligus menimbulkan rasa minat pengguna untuk mendekati peranti ini.
Rekaan
Pertama sekali, Samsung Galaxy A50 telah didatangkan dengan skrin 6.4-inci Super AMOLED Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Exynos 9610, memori 6GB RAM, dan storan dalaman 128GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 4000 mAh. Tidak seperti Galaxy A7, peranti ini tidak membawakan sokongan NFC dan keupayaan kamera telefoto.
Sewaktu kali pertama saya memegang peranti ini, saya dapati rekaannya yang masih ringan dan nipis, walaupun peranti ini hadir dengan kapasiti bateri besar. Rekaanya kelihatan menarik, seolah-olah ia hadir dengan binaan kaca yang premium. Namun anda jangan tetipu dari segi rupanya, kerana ia sebenarnya tampil dalam binaan plastik. Samsung telah memanggil binaan belakang ini sebagai “glasstic” kerana ia diperbuat daripada plastik dan merupai binaan berasaskan kaca.
Dari segi sambungan, Galaxy A50 telah hadir dengan sambungan terkini berasaskan USB-C, bersama-sama dengan sambungan bicu audio di bahagian bawah. Di bahagian bawah ini turut menempatkan saluran pembesar suara mono, yang mana kualiti audionya kurang memuaskan. Ia terasa kosong dan kurang memberi kepuasan ketika anda menggunakan loundspeaker. Pada bahagian sisi kiri, ia turut mendatangkan slot dwi-sim, yang membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim berasingan.
Bergerak ke bahagian hadapan, ia menampilkan paparan Super AMOLED sebesar 6.4-inci, dengan janaan resolusi Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Ia menyajikan paparan penuh berasaskan Infinity-U, dengan perletakkan takuk kecil untuk perletakkan kamera hadapan. Untuk kualiti paparannya, ia kelihatan sangat terang berbanding skrin IPS LCD biasa, dengan memberi warna yang lebih menyerlah. Darjah pandangannya juga dilihat sangat baik, yang mana ia mudah dilihat dari sudut berlainan.
Peranti ini turut menyertakan fungsi pengimbas cap jari di bahagian bawah skrin, namun prestasinya sangat kurang memuaskan. Imbasan jari dilihat terlalu perlahan dan kadangkala gagal mengimbas cap jari ini dengan baik. Ia membuatkan saya berputus asa untuk menggunakannya dan terus memasuki kod kata laluan untuk mengakses peranti. Fungsi imbasan wajahnya juga mengalami isu yang serupa, kerana ia mempunyai masa tindak balas yang sangat perlahan.
Dari segi variasi, Samsung Galaxy A50 telah ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 6GB RAM bersama storan 128GB di Malaysia. Walaupun storan yang telah disediakan sangat besar, ia masih menawarkan slot kad mikroSD dengan sokongan penambahan storan sehingga 512GB. Dari segi pilihan warna, ia telah ditawarkan dengan tiga pilihan warna, menerusi warna putih, hitam, dan biru.
Sistem
Samsung Galaxy A50 telah dijana dengan Samsung One UI 1.1 iaitu antaramuka terkini yang dibina berasaskan sistem operasi Android 9.0 Pie. Antaramuka ini dilihat telah membawa perubahan yang drastik, dengan tampilan yang lebih kemas berbanding sebelumnya. Ia dilihat lebih mengikuti elemen daripada Android 9.0 Pie, terutama dari segi paparan notification drawer dan paparan pertukaran aplikasi.
Apa yang menarik, ia kini memfokuskan kepada penggunaan sebelah tangan, dengan menurunkan sejumlah elemen ke bahagian bawah. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menikmati fungsi One-Handed Mode sekiranya anda mahu menggunakan mod sebelah tangan yang lebih baik. Selain itu, anda masih diberi kebolehan untuk pertukaran tema, yang mana boleh diubah dan dimuat-turun oleh pengguna. Paparan utamanya juga masih menyajikan talam aplikasi, untuk memudahkan pengguna meletakkan sejumlah aplikasi di dalam satu paparan yang berasingan.
Beberapa fungsi menarik telah hadir pada Samsung One UI ini seperti Game Launcher iaitu pusat sehenti untuk mengawal notifikasi dan prestasi ketika memainkan permainan. Fungsi Dual Messenger pula dapat membuat aplikasi permesejan pendua, yang mana sangat berguna untuk menguruskan akaun peribadi dan akaun untuk kegunaan kerja. Dengan penggunaan Super AMOLED, peranti ini juga dapat menikmati fungsi “Always On Display” untuk memudahkan anda melihat jam dan notifikasi ringkas pada skrin kunci.
Prestasi
Samsung Galaxy A50 hadir dengan cip kelas pertengahan daripada mereka sendiri, iaitu cip Exynos 9610 bersama padanan memori 6GB RAM. Namun anda jangan terpedaya dengan penjenamaan siri Exynos 9xxx ini kerana ia sebenarnya merupakan cip dari keluarga Exynos 7 Series. Bermakna, prestasinya bukan berada di kelas cip flagship, tetapi berada di kumpulan cip kelas pertengahan.
Rekaan cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Cortex-A73 2.3 GHz + 4 x Cortex-A53 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-G72 MP3. Cip ini merupakan cip terkini daripada Samsung dan Galaxy A50 adalah peranti pertama yang menggunakan cip ini. Melalui ujian aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya mendapatkan markah 141,646, sekaligus meletakkan cip ini berada di antara cip HiSilicon Kirin 710 (131,928) dan Snapdragon 660 (143,589).
Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini dapat menggalas sejumlah tugasan harian dengan baik, terutama ketika menggunakan aplikasi pemesejan, media sosial, dan pelayar web. Cuma ia masih terdapat isu prestasi seperti stutter terutama ketika menukar atau membuka paparan pertukaran aplikasi. Perkara ini berlaku mungkin berikutan daripada pengoptimasian yang lemah daripada Samsung One UI. Peranti sekelasnya seperti OPPO F11 Pro atau Redmi Note 7 tidak menunjukkan sebarang isu ini walaupun dikuasakan dengan cip kelas pertengahan.
Untuk prestasi permainannya, ia dapat memainkan sejumlah permainan terkini dengan tetapan grafik yang lebih tinggi. Permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan dengan sangat baik walaupun ditetapkan pada grafik HDR + Ultra. Dari segi pengeluaran suhunya, ia terasa sedikit suam apabila memainkan permainan ini melebihi 15 minit.
Kamera
Dari segi penggambaran, Samsung Galaxy A50 menempatkan sistem tri-kamera pada bahagian belakang peranti. Ia menawarkan sensor utama 25MP f/1.7, sensor bersudut ultra lebar 8MP f/2.2, dan sensor 5MP untuk kebolehan Portrait Mode. Namun malangnya, ia tidak menyokong sebarang sistem penstabilan imej seperti OIS dan EIS dalam mengurangkan kesan gegaran. Untuk penggambaran malam pula, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.
Dari segi kualitinya, pertukaran dari sensor utama ke ultra lebar akan memberi white balance yang berbeza, sekaligus membuatkan warna pada kedua-dua sensor ini tidak sama walaupun diambil pada lokasi yang sama. Untuk kualiti sensor standard 25MP f/1.7, ia dilihat memberi keperincian imej yang terang walaupun digunakan pada situasi pencahayaan yang rendah. Namun apabila anda menggunakan fungsi penggambaran bersudut ultra-lebar, ia akan menunjukkan pengurangan kualiti berganda kerana ia tidak mempunyai autofokus dan pembukaan aperture yang lebih rendah.
Untuk keupayaan kamera hadapan pula, ia menyajikan kamera swafoto lebih tinggi berbanding pesaingannya, melalui penggunaan sensor 25MP f/2.0. Kualiti swafotonya dilihat memuaskan, dengan memberi keupayaan dynamic range yang baik. Cuma warna kulit tetap diterangkan walaupun sebarang fungsi Beautify telah dimatikan. Seperti kamera belakang, ia juga membolehkan pengguna menggunakan fungsi Live Focus, untuk penghasilan kesan bokeh di bahagian belakang wajah.
Dari segi fungsi, Samsung Galaxy A50 hanya menawarkan rakaman video setinggi 1080p@30fps dan tidak membawakan fungsi EIS untuk mengurangkan kesan gegaran. Ia juga menyajikan fungsi Scene Optimizer iaitu fungsi yang dapat mengoptimasikan warna dan kadar kontras subjek berdasarkan pengecaman pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI). Ia juga membolehkan anda bermain fungsi AR Emoji, untuk membolehkan anda meletakkan sejumlah pelekat menarik pada gambar yang ingin diambil.
Bateri
Dari segi kapasiti baterinya, ia mempunyai kapasiti bateri yang sama seperti Galaxy A30 dan Redmi Note 7 melalui kapasiti bateri 4000 mAh. Kapasiti bateri ini dilihat lebih baik berbanding siri Galaxy A7 2018 (3300 mAh) dan Galaxy A9 2018 (3800 mAh). Dengan binaan 10nm pada Exynos 9610, peranti ini dilihat mampu memberi masa penggunaan peranti yang sangat baik menerusi binaan cip yang efisien.
Dengan kapasiti 4000 mAh dan padanan cip 10nm ini, Samsung Galaxy A50 mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang cukup memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 26 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Peranti ini juga menyokong fungsi pengecasan pantas, yang mana dihubungkan melalui sambungan USB-C. Melalui pengecas 15W yang dibekalkan, Samsung Galaxy A50 dapat dicas sekitar 1 jam 58 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.
Rumusan
Samsung Galaxy A50 menyajikan sejumlah ciri-ciri yang menarik pada sebuah peranti di bawah RM1300. Antara keunikan peranti ini berbanding peranti sekelasnya, ia menawarkan paparan berasaskan Super AMOLED, sokongan pengimbas cap jari di dalam skrin, dan hadir dengan sokongan audio Dolby Atmos (untuk pendengaran melalui aksesori audio). Beberapa fungsi lain turut hadir untuk bersaing dengan peranti kelas pertengahan yang lain, seperti kehadiran sambungan USB-C, memori 6GB RAM, storan 128GB, dan mempunyai kapasiti bateri 4000 mAh.
Namun sebelum anda membeli peranti ini, anda perlu ketahui dahulu beberapa perkara. Pertama sekali, fungsi imbasan wajah dan cap jarinya sangat perlahan, sehingga anda mungkin akan berputus asa untuk menggunakannya. Bagi anda yang menggemari fungsi loudspeaker, kualiti audio yang dikeluarkan tidak begitu memuaskan – ia terasa kosong, kurang bass, dan kurang terperinci. Sokongan penggambaran ketika pencahayaan rendah juga dilihat kurang baik, kerana ia mudah memberi kesan hingar (noise) dan keperincian gambar yang lembut (soft).
Seperti peranti Samsung yang lain, keupayaan kamera hadapannya terlalu memutihkan warna kulit, walaupun fungsi pencantikkan wajah telah dimatikan. Sokongan rakaman video juga tidak dibantu dengan EIS, sekaligus membuatkan rakmann video kelihatan bergegar. Walaupun hadir dengan cip pemprosesan dan RAM yang berkuasa, antaramuka One UI masih tidak begitu dioptimasikan dengan baik, kerana ia masih terdapat isu prestasi yang kecil, seperti masa stutter ketika melakukan perkara-perkara harian.
Pro
- Hadir dengan rekaan yang menawan, nipis, dan ringan
- Mempunyai ruangan tiga slot berlainan untuk perletakkan dwi-sim dan kad mikroSD secara serentak
- Hadir dengan storan yang cukup besar iaitu 128GB
- Menawarkan kualiti skrin yang cemerlang melalui panel Super AMOLED dan resolusi Full HD+
- Memberi prestasi yang pantas untuk permainan melalui cip Eyxnos 9610
- Membawakan keupayaan tiga kamera pada bahagian belakang untuk penggambaran standard, ultra-bersudut-lebar, dan Live Focus
- Mempunyai kapasiti bateri sebesar 4000 mAh
- Hadir dengan sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm
- Menyokong fungsi pengecasan pantas 15W
- Mempunyai sokongan Dolby Atmos untuk pendengaran melalui fon telinga
- Dijana dengan Samsung One UI dengan Android 9.0 Pie yang terkini
Kontra
- Pengimbas cap jari sering gagal dalam membuat imbasan dengan baik
- Fungsi imbasan wajah terasa sangat perlahan
- Antaramuka terdapat lengah masa walaupun dijana dengan cip kelas pertengahan yang berkuasa
- Kualiti penggambaran untuk sensor ultra lebar dilihat kurang baik pada lokasi kurang cahaya
- Kamera ketiga hanya untuk digunakan bokeh dan bukan telefoto seperti Galaxy A7 (2018)
- Fungsi swafoto terlalu memutihkan warna kulit
- Pembesar suara kurang memberi bunyi yang terperinci
- Tiada sokongan NFC
Sebagai alternatif, peranti sekelasnya seperti Redmi Note 7 tidak mempunyai masalah dari kesemua kekurangan ini. Imbasan biometriknya sangat pantas, kualiti pembesar suaranya lebih memuaskan, dan mempunyai kebolehan penggambaran yang lebih baik ketika pencahayaan yang rendah. Penggambaran swafotonya juga dilihat sangat baik selepas fungsi pencantikkan wajah dimatikan, selain menampilkan sokongan EIS untuk rakaman video di hadapan dan di belakang. Isu prestasi juga jarang ditemui, atas pengoptimasian MIUI yang lebih baik dalam penjagaan memori dan sumber di belakang tabir. Redmi Note 7 juga hadir dengan USB-C, kapasiti bateri 4000 mAh, dan ditawarkan pada harga RM799. Cuma ia tidak menawarkan skrin Super AMOLED, kebolehan penggambaran bersudut lebar, dan hanya menawarkan memori 4GB RAM.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda yang kurang kisah dengan aspek imbasan biometrik, pembesar suara, dan keupayaan kamera Galaxy A50 ini, ia sebuah peranti yang sangat disyorkan – lebih-lebih lagi untuk penggemar permainan. Ia dapat memainkan permainan seperti PUBG Mobile melalui tetapan HDR + Ultra. Dengan adanya skrin Super AMOLED, anda dapat menikmati skrin yang sangat terang bersama kebolehan Always on Display. Apa yang menarik, kapasiti baterinya dapat memberi ketahanan yang lama untuk memenuhi keperluan intensif anda. Sekiranya anda mencari peranti di bawah RM1300 dengan ciri-ciri menarik di atas kertas, Samsung Galaxy A50 ini mungkin boleh dimasukkan ke dalam senarai pembelian anda.
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2VjuC0Q
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment