Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan Vivo X60 Pro – Peranti Dengan Kamera Dan Prestasi Gila Hebat - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan Vivo X60 Pro – Peranti Dengan Kamera Dan Prestasi Gila Hebat


Vivo X60 Pro di Malaysia adalah sedikit aneh dan mengelirukan. Kerana di China, X60 Pro dijana dengan Exynos 1080 dan mempunyai sistem kuad-kamera. Tetapi model di Malaysia, Pro menggunakan tri-kamera dan dijana Snapdragon 870. Jadi apakah beza X60 biasa dan X60 Pro di Malaysia? Mungkin kecil, tetapi apa yang penting adalah kehebatan peranti ini. Vivo X60 adalah antara peranti Vivo yang berjaya memikat hati saya sendiri. Pengalaman menggunakan peranti ini amat berbeza, lebih-lebih lagi kemampuan fotografi yang gila Pro.

Jikalau selama ini dalam ulasan telefon pintar saya, saya katakan tiada peranti lain yang boleh lawan Google Pixel dari mod potret dan Night Sight – Vivo X60 Pro ini mungkin adalah pesaing kamera sebenar. Dengan perisian dan bantuan Zeiss, Vivo berjaya menawarkan sistem kamera hebat. Funtouch OS 11 yang dijalankan pula adalah lebih dekat dengan Android asli berbanding Oxygen OS. Cuma, adakah ini peranti Vivo yang terbaik pernah dihasilkan? Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Adakah ianya sesuai untuk semua orang? Selepas beberapa minggu menggunakan peranti ini, saya dapat katakan mungkin ya. Ayuh baca ulasan ini sehingga tamat untuk anda sendiri menilaikan sama ada patut atau tidak anda miliki peranti ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Vivo X60 Pro
Skrin 6.56″ AMOLED
FHD+, 120Hz, HDR10+
Pemproses Snapdragon 870 (7nm)
Cip 1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Cip Grafik Adreno 660
RAM 8/12GB LPDDR5 + 3GB RAM dari storan dalaman
Muatan Dalaman 128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama 48+13+13 Megapixel
f/1.79+f/2.2+f/2.46
5-Paksi Penstabilan Gimbal, Mod Malam, Kecerdasan Buatan, Mod Bulan/Bintang, Mod Potret
Kamera Swafoto 32 Megapixel f/2.45
Mod Potret, Kecerdasan Buatan
Bateri 4300mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/Telefoni Dwi SIM nano / 5G
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Pengimbas jari bawah skrin
Harga Jualan Bermula dari RM2999

Memegang peranti Vivo X60 Pro di tangan memberikan perasaan yang lebih kurang sama dengan memegang Vivo X50. Ia benar-benar nipis, malah sangat nipis sehinggakan ia terasa sedikit tajam dan menggunakan kerangka pelindung adalah lebih baik. Rekaan yang nipis ini kelihatan kemas, cantik dan premium. Vivo berjaya membawakan sebuah peranti dengan rekaan yang kelihatan seperti sebuah objek mewah. Modul kamera masih lagi dalam kategori rekaan segi empat, tetapi setiap sensor di susun seperti piramid. Logo biru Zeiss kelihatan, yang mana agak menjengkelkan. Sedangkan boleh sahaja ia diletakkan di sisi atau pada panel belakang peranti.

Panel belakang kosong sahaja, kemas dan minimalistik. Sisi kanan peranti adalah butang-butang penting seperti butang kuasa dan kawalan aras suara. Di sisi kiri tiada apa-apa, di atas hanya ada lubang mikrofon dan di bawah adalah port USB-C, kekisi pembesar suara dan satu lagi lubang mikrofon.

Rekaan peranti ini amat berbeza dengan peranti Vivo yang lain dan terasa seperti ia adalah sebuah peranti mercu utama mereka sedangkan NEX adalah yang utama. Di hadapan pula, Vivo telah menggunakan panel AMOLED baharu dengan skrin berlubang di tengah. Ia juga direka dengan baik untuk menawarkan dahi dan dagu yang nipis serta bezel yang hampir tidak kelihatan. Skrin peranti ini bersaiz 6.56-inci dan menyokong kadar segar semula 120Hz, terhad kepada FHD+, dan turut masih boleh memaparkan kandungan HDR10+.

Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 870, yang mana adalah cip baru dan lebih berkuasa dari Snapdragon 865+. Ia dibina berasaskan rekaan 7nm, menyokong 5G, GPU Adreno 650 dan secara keseluruhan masih cukup berkuasa untuk bersaing dengan model asas peranti Snapdragon 888. Memori pada peranti ini adalah 15GB RAM, aneh kerana RAM sebenar hanya 12GB dan Vivo menggunakan perisian untuk menggunakan 3GB memori yang diambil dari storan dalaman untuk menaik taraf lagi prestasi peranti ini. Storan adalah mencapai 256GB UFS 3.1, tetapi sayang sekali tiada slot kad mikroSD.

Kamera peranti ini juga adalah antara yang hebat, kerana masih mengekalkan sistem penstabilan gimbal – iaitu jenis 5-paksi untuk rakaman video yang lebih cantik. Vivo turut bekerjasama dengan Zeiss untuk kemampuan kamera yang lebih baik. Sistem yang digunakan pada versi Pro di Malaysia adalah tri-kamera 48+13+13 Megapixel dan kamera swafoto 32 Megapixel. Seperti biasa, kamera peranti Vivo dikuasakan dengan kecerdasan buatan yang lebih hebat dari sebelum ini.

Bateri pula adalah 4300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W sahaja. Peranti ini turut menjalankan sistem operasi Funtouch OS 11 yang berasaskan Android 11. Spesifikasi dilihat amat menarik, cuma adalah kerjasama dengan Zeiss ini benar-benar berfungsi atau sekadar gimik sahaja? Adakah Vivo berjaya menawarkan kamera yang gila hebat dan boleh menewaskan peranti mercu lain? Dalam penggunaan beberapa minggu awal, ini adalah antara peranti dengan kamera terhebat pernah saya gunakan.

Pengalaman Penggunaan

Skrin peranti ini adalah seperti kebanyakan skrin AMOLED yang lain. Tetapi keunikan di sini adalah, Vivo menggunakan panel AMOLED terbaru Samsung dengan skrin berlubang di tengah. Skrin ini sedikit melengkung di kedua-dua sisi, tetapi tidak begitu dalam dan masih seronok untuk menonton video, bermain permua atau membaca. Skrin peranti ini cukup cantik, warnanya menyerlah, kecerahan yang cukup terang dan tiada masalah di bawah cahaya matahari terik. Tetapi jika dibandingkan dengan Mi 11, panel skrin peranti ini masih ada kekurangannya. Ia masih tidak secantik peranti mercu premium dan lebih kepada panel OLED yang digunakan oleh peranti kelas pertengahan premium.

Sokongan kadar segar semula 120Hz yang disertakan menjadikan pengalaman penggunaan lebih baik. Menatal skrin dari mana-mana arah adalah sangar lancar. Dipadankan pula dengan sokongan kadar sentuhan 240Hz yang membuatkan tiada sela masa apabila menggunakan skrin. Kadar segar semula pada peranti ini adalah jenis adaptif biasa, di mana hanya boleh bertukar dari 60Hz ke 120Hz sahaja. Tidak seperti panel yang ada teknologi LTPO yang boleh serendah 1Hz sehingga 120Hz.

Pengoptimasian perisian turut membantu menjadikan pengalaman penggunaan peranti ini lebih memuaskan, seperti peralihan animasi yang lebih pantas dan tiada sebarang cacat cela ketika menatal atau ada masalah sistem tergendala ketika membuka atau sedang menutup aplikasi.

Bercakap mengenai aplikasi, peranti ini cukup pantas untuk mengendalikan pelbagai aplikasi yang dibuka secara serentak. Ini kerana Vivo menggunakan 12GB RAM biasa dan 3GB RAM tambahan yang diambil dari storan dalaman. Ini adalah konsep seperti digunakan pada komputer Windows. Pada awal saya fikirkan ini hanya gimik semata, tetapi prestasi peranti ini yang gila lancar membuatkan saya percaya kepada kata-kata Vivo. Sepanjang beberapa minggu menggunakan peranti ini, isu yang saya hadapi hanyalah peranti memanas ketika bermain permua dan menggunakan kamera. Tiada isu lengah masa, sistem tergendala atau menatal skrin ada sela masa.

Bercakap mengenai prestasi, bermain permua pada peranti ini juga adalah menakjubkan. Walaupun menggunakan cip pemprosesan 7nm Qualcomm Snapdragon 870, yang mana mempunyai kuasa yang lebih rendah dari Snapdragon 888 – bermain permua pada peranti ini adalah menyeronokkan. Snapdragon 870 cukup hebat untuk bersaing dengan peranti model asas Snapdragon 888. Snapdragon 870 mampu menjalankan permua seperti Genshin Impact pada tetapan tinggi tanpa sebarang masalah. Tetapi prestasi akan sedikit tersangkut dan selepas 30 minit bermain, peranti mula memanas. Tetapan di tengah-tengah mampu dijalankan selama beberapa sesi dan selepas 30 minit peranti hanya suam sahaja dan tidak begitu panas.

Tetapi pada peranti Snapdragon 888, hanya 10-15 minit peranti sudah mula memanas. Ini membuktikan yang cip ini cukup berkuasa. Snapdragon 870 direka berasaskan Snapdragon 865+. Snapdragon 888 masih ada masalah suhu, di mana Snapdragon 870 tiada. Begitu juga dengan bermain Asphalt 9, di mana selepas lebih 1 jam bermain dengan tetapan tinggi peranti hanya suam. Ia mula memanas selepas 2 jam bermain. Pada peranti Snapdragon 888 dengan permua yang sama, 30 minit Asphalt 9 sudah mula memanas.

Vivo X60 Pro terbukti adalah antara peranti berkuasa tahun ini dan tiada masalah untuk bermain permua. Jika permua tiada masalah, penggunaan harian pada peranti ini juga tiada masalah. Semuanya berjalan dengan lancar dan cukup baik untuk apa jua aktiviti atau tugasan.

Perkara yang membuatkan saya kecewa menggunakan peranti ini adalah, enjin getaran yang sangat lemah. Getaran pada peranti ini amat teruk, sangat menjengkelkan sehinggakan saya tidak ingin menaip pada peranti ini. Getaran pada peranti ini seakan getaran pada peranti kelas permulaan.

Penanda Aras

Penanda aras pada peranti ini juga sangat hebat. Pada awal saya agak terkejut kerana peranti ini apabila diuji dengan aplikasi AnTuTu, ia memperoleh skor yang lebih tinggi dari peranti Snapdragon 888. Tetapi selepas beberapa ujian, termasuk dengan menggunakan aksesori penyejuk untuk diuji pada suhu paling optimum – peranti ini memperoleh skor yang masih tinggi tetapi kita sebagai pengguna boleh lihat beza antara kehebatan Snapdragon 888 vs Snapdragon 870. Turut perlu diingatkan yang pengoptimasian pada perisian juga adalah penting.

Vivo X60 Pro pada saya ini adalah 12+3 GB RAM dengan storan 256GB dan ia menerima skor AnTuTu sebanyak 680,756. Manakala skor Geekbench pula adalah 1031/3374 untuk satu teras dan multi-teras. Membandingkan skor peranti ini dengan Mi 11, iaitu peranti Snapdragon 888 yang anda sudah boleh beli dan harga jualan yang bermula dari RM2,799 – menerima skor Mi 11 menerima skor 1127/3670 dan 706990. Oppo Find X3 Pro pula menerima skor 933/3306 dan 630,020.

Disebabkan Vivo menggunakan storan dalaman sebagai “RAM” tambahan, saya turut uji peranti dengan aplikasi Don’t Kill My App untuk melihat prestasi pengurusan memori. Dalam penggunaan beberapa jam, peranti ini tiada masalah dalam memperoleh skor 100%. Penggunaan saya sendiri yang tiada lengah masa dan tiada aplikasi yang memuat dengan masa lama mem buktikan kebolehan pengurusan memori Vivo X60 Pro.

Perisian

Walaupun Vivo telah melancarkan sistem operasi Origin OS bersama-sama dengan siri X60 mereka di China, sistem operasi baharu ini masih terhad di negara sana sahaja. Pengguna global termasuk di Malaysia akan terhad dengan Funtouch OS terbaru, iaitu Funtouch OS 11 yang dibina berasaskan Android 11. Tidak pasti jika Funtouch OS baharu ini akan diminati ramai atau akan membuatkan orang ramai rasa bosan atau tidak. Untuk diri saya, saya amat gemarinya. Sekejap! Apa? Funtouch OS seronok digunakan? Bukankah sistem operasi ini banyak tema berat, aplikasi gendut dan pelbagai perkara lagi?

Di sini anda silap. Sejak tahun lepas, saya mula sedari yang Funtouch OS secara perlahan dan secara senyap bergerak ke arah pengalaman penggunaan Android asli. Pelancar pada peranti ini adalah begitu asas dan ringkas. Dari talam notifikasi, sisi pelancar yang ada Google Discover, talam aplikasi dan banyak lagi – ia memberikan pengalaman penggunaan mirip Android asli. Banyak juga elemen Android 11 yang asal disertakan dan mudah digunakan. Funtouch OS 11 adalah lebih stock dari Oxygen OS dan Color OS.

Walaupun begitu, peminat sistem Vivo masih boleh akses Jovi Assistant jika tidak ingin menggunakan Google Discover. Kemudian, tetapan sistem pada peranti masih lagi ada elemen Funtouch OS lama. Beza ketara yang perubahan penggunaan tema. Kemampuan kustomasi pada hemat saya juga sudah berkurangan. Peminat Oxygen OS dan Pixel mungkin akan menghargai sistem ini jika baru ingin cuba peranti Vivo. Tetapi peminat yang sudah biasa dengan tema berat mungkin akan rasa bosan.

Ciri dan fungsi Vivo tersendiri juga masih banyak dikekalkan di dalam peranti ini. Jadi ia tidak akan membuatkan pengguna setia Vivo terasa aneh. Cuma untuk diri saya yang gemari Android asli, menggunakan peranti ini cukup memuaskan. Ia ringkas, mudah dan menepati citarasa.

Untuk kemaskini, mungkin pembangun Vivo sudah fokus kepada Origin OS yang berat dengan widget dan tema unik. Jadi dengan menggunakan konsep Android asli, membangunkan sistem operasi Funtouch OS dan menjaga kemaskini adalah lebih mudah dan pantas. Ini mungkin jalan penyelesaian Vivo. Tahun lepas, Vivo adalah antara jenama pertama yang hadir dengan peranti Android 11. Adakah itu hanya gimik atau Vivo akan kekal menjaga kemaskini dengan baik? Ini masih menjadi misteri. Vivo tidak begitu terkenal dalam pengedaran kemaskini yang pantas.

Kamera

Kamera Vivo X60 Pro Malaysia adalah sama dengan Vivo X60 biasa di China, iaitu tetapan tri-kamera sahaja. Sensor yahg digunakan adalah 48 Megapixel utama dengan 4-paksi OIS + motor gegelung tertutup. Dipadankan pula dengan sensor 13 Megapixel sudut ultra lebar yang mempunyai sudut pandangan 108 darjah dan mampu membaiki masalah herotan. Kemudian satu lagi 13 Megapixel sensor khusus untuk potret dengan kemampuan mimik lensa 50mm. Bukaan lensa adalah f/1.79, f/2.2 dan f/2.46.

Seperti biasa, kamera Vivo akan dikuasakan dengan pelbagai mod kecerdasan buatan. Tetapi kali ini ia lebih dekat dengan realistik dan mempunyai hasil yang lebih kemas. Antara mod yang menarik adalah mod malam serba baharu yang boleh rakam video dan ambil gambar dengan cukup terang melalui Night View, imej manusia yang lebih terpelihara butiran, mod pro, pelbagai mod potret, pelbagai penuras menarik dan juga mod sinematik untuk video.

Kamera swafoto adalah 32 Megapixel dengan bukaan lensa f/2.45. Ia asas sahaja, tetapi masih boleh menyokong mod malam dan mod potret menarik. Lebih seronok, kamera swafoto peranti ini mempunyai mod alat solek yang hampir realistik. Pelbagai gincu, bedak, dan banyak lagi boleh dipilih dari warna, berkilat atau pusam dan banyak lagi boleh digunakan.

Kualiti Gambar

Adakah dengan banyak bergantung kepada kecerdasan buatan atau perisian membuatkan kamera peranti ini hebat? Ya, boleh. Google telah buktikannya melalui Google Pixel, kini giliran Vivo membuktikan yang mereka juga boleh. Dengan bantuan Zeiss, Vivo X60 Pro mampu mengambil gambar yang sangat cantik, menarik dan menawan. Saya ambil swafoto dengan peranti ini dan sentiasa kelihatan kacak, itu tahap keyakinan yang saya ada pada peranti ini.

Kita mulakan dengan kamera swafoto. Lihat mod biasa dan mod potret. Kedua-duanya cukup cantik dan butiran dipelihara dengan baik sekali. Bukan itu sahaja, hasil potretnya kemas dengan kesan bokeh yang baik dan cantik. Untuk menjadi lebih kreatif terdapat banyak penuras dan tetapan untuk pelbagai gaya bokeh berbeza. Kamera swafoto pada peranti ini pudar seperti model lain dan mampu memelihara nilai HDR dengan baik. Warna juga cukup baik dan tidak begitu tepu.

Mod lain yang menarik adalah mod alat solek yang boleh membuatkan sesiapa sahaja memakai alat solek. Ia terbina dalam mod kecantikan, dan hasil yang diberikan adalah cukup realistik dan meyakinkan.

Beralih ke kamera utama, yang mana ada banyak mod. Mod 48MP atau menggunakan kamera utama adalah cantik. Begitu juga dengan mod sudut ultra lebar yang kemas, warna yang tajam, dan sedap hati melihatnya. Kemudian dengan sensor tambahan khusus untuk potret, banyak butiran yang dipelihara dan boleh jadikan hasil imej potret lebih kemas. Jika kamera swafoto satu lensa boleh, apatah lagi kamera belakang yang ada tiga.

Setiap hasil imej semuanya cantik dan memuaskan. Tidak lupa juga masa pasca proses yang cukup pantas. Mod potret kamera belakang ada banyak pilihan dari mod Zeiss, mod retro dan pelbagai lagi. Kesan bokeh juga boleh diubah dengan baik dan lancar. Bokeh juga boleh dilaras sebelum dan selepas gambar diambil. Kemudian kesan bokeh bulatan yang terhasil dari cahaya yang terdedah turut boleh diubah menjadi pelbagai bentuk lain.

Menggunakan kamera pada peranti ini tidak akan membuatkan sesiapa menyesal. Ia sangat baik dan cantik. Setiap imej akan mempunyai hasil yang berbeza mengikut mod, penuras atau kesan visual tambahan lain.

Video pula, masih ada kekurangan seperti sistem fokus yang tidak begitu konsisten. Tetapi, kualiti videonya adalah baik, bagus dan cukup stabil. Warna juga terang dan buatkan setiap rakaman terasa tenang untuk melihat hasilnya. Ya, sedikit panas ketika menggunakan kamera – tetapi hasil yang ada adalah berbaloi.

Audio

Jika saya katakan enjin getaran yang teruk membuatkan saya kecewa menggunakan peranti ini, pembesar suara adalah satu lagi yang membuatkan saya rasa sedih menggunakan Vivo X60 Pro. Peranti ini masih menggunakan pembesar suara mono. Tidak faham apa yang Vivo cuba fikirkan, pembesar suara bukanlah elemen yang patut dikorbankan untuk memberikan pengalaman penggunaan baik.

Pembesar suara mono pada peranti ini cukup kuat. Ia tidak bosan atau pecah, sebaliknya mampu menghasilkan bunyi yang baik. Cuma disebabkan ia adalah mono, saya terpaksa bertukar-tukar arah memegang ketika bermain permua dan menonton video – hanya untuk buatkan diri saya rasa selesa. Audio yang tidak seimbang membuatkan peranti ini seakan tidak cukup sifat. Bayangkan Poco X3 NFX yang murah, atau yang terkini Redmi Note 10 yang bermula dengan RM699 boleh pengeluar tawarkan pembesar suara stereo – tetapi X60 Pro Vivo tidak boleh?

Dengan tiadanya port bicu audio 3.5mm, pengguna akan terhad dengan aksesori audio USB-C atau aksesori audio nirwayar seperti TWS. Beberapa kali menggunakan peranti ini saya tambatkan dengan Jabra untuk pengalaman pendengaran yang lebih baik.

Telefoni & GPS

5G adalah rangkaian yang baik dan pantas. Tetapi Malaysia sehingga hari ini masih tidak menawarkan penggunaan 5G untuk awam, jadi ramai yang sangkakan modem 5G pada sesebuah peranti adalah justifikasi untuk jual harga mahal. Pada hemat saya tidak. Modem 5G masih ada fungsi untuk negara kita yang masih menggunakan 4G. Di kawasan di mana iPhone 12 Mini saya hanya menerima 4G dengan 1 bar untuk pelan Maxis dan Yes, Vivo X60 Pro dengan dua pelan yang sama boleh mencapai 4G+ atau VoLTE dengan bar penuh atau paling teruk kurang satu bar sahaja.

Ini menjadikan penggunaan data adalah lebih mudah dan pantas. Ia juga jauh lebih stabil. Untuk panggilan telefon, peranti ini ada sedikit masalah hingar, tetapi tidak teruk. Cuma jika melakukan panggilan telefon dalam jangka masa panjang, hingar ini akan sedikit menjengkelkan. Walaupun suara jelas, hingar ini menjadi satu gangguan.

GPS juga tiada masalah pada peranti ini. Ia cukup pantas mengunci lokasi, dan tiada masalah dalam mencari arahan selok-belok. Peranti juga tidak memanas dalam penggunaan Google Map yang singkat.

Bateri

Peranti yang nipis sebegini sudah tentu mempunyai bateri yang kecil. Tetapi tidaklah begitu kecil, kerana Vivo X60 Pro memuatkan bateri 4300mAh dengan kuasa pengecasan pantas 33W. Vivo tiada sokongan sistem pengecasan lain kecuali berwayar untuk peranti ini. Kemudian 33W juga tidak pantas masa, ini adalah sistem yang biasa dilihat hadir pada peranti bawah RM1000. Peranti premium seperti Vivo ini pada hemat saya sistem 50W atau 65W sepatutnya ditawarkan. Atau paling kurang 45W? Bateri kecil sepatutnya mempunyai sistem pengecasan yang jauh lebih pantas.

Vivo X60 Pro walaupun mempunyai bateri kecil berbanding pesaing yang menjual peranti pada harga yang lebih kurang sama, ia boleh mencapai SOT sekitar lebih 5-6 jam untuk penggunaan ekstrem. Ini adalah untuk penggunaan kamera yang lama, bermain permua sekitar 2 jam, menonton video dan aktif di media sosial. Tetapi jika hanya bermain permua tanpa henti, menstrim video dengan data serta aktif di media sosial, peranti ini boleh mencapai sekitar 4-5 jam SOT. Amat sukar untuk saya peroleh bateri yang mencapai 6 jam dalam penggunaan seperti ini. Oh ya, Vivo X60 Pro 120Hz sentiasa SOT sekitar 5-6 jam, Mi 11 sentiasa 120Hz boleh mencapai 7 jam dengan penggunaan yang lebih kurang sama.

Saya pernah dapat SOT 6-7 jam untuk peranti Vivo ini. Tetapi itu adalah penggunaan yang sangat jimat seperti main video Netflix yang sudah dimuat turun, mendengar muzik yang telah dimuat turun dari Spotify, mengambil 1-2 gambar dan sentiasa menggunakan WiFi. Tetapi, tidak pasti kenapa jika bateri mula bertahan mencapai 6-7 jam peranti memanas dengan pantas.

Untuk diri saya, secara peribadi saya boleh terima bateri seperti ini. Tetapi realitinya, Vivo patut sertakan bateri yang lebih besar dan tahan lama. Lihat Mi 11 yang ada bateri 4600mAh, tetapi boleh bertahan sehingga lebih 6 jam SOT. Pengecas 33W boleh mengecas peranti ini sekitar 1 jam lebih, tetapi kurang dua jam. Apabila sudah biasa dengan sistem pengecasan lebih pantas, 1 jam pun terasa lama.

Pesaing

Vivo X60 Pro Mi 11 Poco F3
Skrin 6.56″ AMOLED, 1080 x 2400, FHD+, 120Hz, HDR10+ 6.81″ AMOLED, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz 6.67″ E4 AMOLED, 1080 x 2400, HDR10, 120Hz
Cip Pemprosesan Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 888 (5nm)
1 X 2.84 GHz Kryo 680
3 X 2.42 GHz Kryo 680
4 X 1.8 GHz Kryo 680
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
GPU Adreno 650 Adreno 660 Adreno 650
RAM 8/12 GB LPDRR5 + 3GB 8GB LPDRR5 6/8 GB
Storan 128/256 GB UFS 3.1 128/256/ GB UFS 3.1 128/256 GB UFS 3.1
Kamera Belakang Kamera Utama
48+13+13 Megapixel
f/1.79+f/2.2+f/2.46, 5-Paksi Gimbal
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4+f/2.4), OIS
Kamera Utama
48+8+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4+50mm makro), OIS
Kamera Swafoto Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.45
Kamera Hadapan
20-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel
IP Tiada Tiada Tiada
Port Bicu Audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm
Pembesar Suara Mono Audio Stereo Dolby Atmos Audio Stereo Harman/Kardon
Bateri 4300mAh (Berwayar 33W) 5000mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W) 4520mAh (Berwayar 33W)
Harga Harga bermula RM Harga bermula RM2799 Harga bermula RM1299

Kesimpulan

Harga jualan peranti Vivo X60 Pro ini adalah . Ya, ia adalah harga yang mahal jika dibandingkan dengan Mi 11 atau model asas Asus ROG Phone 5. Cuma, apa yang anda perlu tahu Mi 11 adalah untuk penggunaan yang baik dari segi keseluruhan. ROG untuk gaming, Oppo untuk ke arah penggunaan lebih premium dan ada kelas dan Vivo X60 Pro lebih kepada fotografi. Jika fotografi yang anda inginkan, Vivo X60 Pro ini antara kamera yang saya sendiri katakan mampu bersaing dengan Pixel. Ia baik. Sangat baik. Videografi juga cukup hebat. Ia membolehkan pengguna biasa menjadi profesional dengan sekelip mata.

X60 Pro turut menggunakan skrin AMOLED yang cantik dan terkini, ia mempunyai rekaan yang nipis dan premium, menyokong kadar segar semula 120Hz, dan menjalankan sistem operasi yang mirip dengan Android asli. Banyak perkara yang Vivo tawarkan pada peranti ini boleh menarik perhatian orang ramai. Saya yang sebelum ini kurang gemar dengan Funtouch OS dan kamera peranti Vivo, tetapi X60 Pro membuatkan saya jatuh cinta dengan Vivo.

Kekurangan yang saya temui pada peranti ini adalah pembesar suara stereo, enjin getaran lemah dan bolehlah saya masukkan sekali bateri yang biasa sahaja. Jika tiga itu anda boleh korbankan, ini adalah peranti untuk anda. Jangan sangaka Snapdragon 870 tidak cukup berkuasa dan hanya harapkan Snapdragon 888. Buat keputusan berdasarkan apa yang anda ingin gunakan. Vivo X60 Pro menyemak semua senarai untuk seseorang yang inginkan peranti yang boleh bermain permua dengan baik, kamera hebat, skrin cantik dan premium.

Mungkin dengan harga jualan ini anda akan rasa mahal. Tetapi harga ini pasti adalah untuk kamera, kerana jarang sama sekali untuk syarikat dari China – lebih-lebih lagi Vivo mempunyai peranti dengan kamera yang hebat seperti ini.


Pro

  • Kamera gila hebat dengan mod potret yang gila cantik.
  • Video yang gila stabil dan boleh memberi kesan sinematik menarik dan kreatif.
  • Pengalaman seakan Android asli yang mudah digunakan dan tidak terasa berat.
  • Prestasi lancar yang tiada masalah memanas teruk.
  • Rekaan premium, nipis dan bergaya.
  • Skrin peranti yang cantik, terang, lancar dan cukup pantas.

Kontra

  • Enjin getaran yang sangat lemah.
  • Pembesar suara mono yang tidak memuaskan.
  • Bateri yang tidak begitu tahan lama.


✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.