Dua maut kereta terbabas langgar tiang elektrik
PETALING JAYA: Dua individu yang dipercayai mempunyai pertalian keluarga maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Lumut petang semalam.
Kedua-dua mangsa ‒ seorang lelaki berusia 51 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun ‒ dipercayai dalam perjalanan menaiki Proton Iswara dari arah Sitiawan ke Ayer Tawar, menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar Nasaruddin Abu Bakar.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik dan pokok di tepi jalan di Jalan Kampung Colombia, Ayer Tawar.
Kedua-dua mangsa yang maut di tempat kejadian kemudian dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian sebelum kenderaan berkenaan terbakar dan bomba dihubungi.
“Sebaik pasukan bomba tiba di tempat kejadian, didapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan kenderaan juga sudah terbakar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata Nasaruddin, menurut laporan Kosmo.
Kereta mangsa didapati terbakar 90%, katanya, dan bomba mengambil masa 20 minit untuk memadam kebakaran.
Kejadian ini turut disahkan Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi yang berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan. - FMT
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment