Apa ada pada nama?
“Aku menulis bukan kerana nama” – kata Ramli Sarip dan A Romzi menerusi lagu hit mereka pada 1986.
Pandangan saya, ia membawa erti apabila kita berbuat baik, kita lakukan bukan untuk mendapat puji orang. Bukan untuk dapat “nama”. Takrif “nama” dalam konteks ini ialah kepujian.Tetapi bila menamakan “sesuatu” yang baharu, nama sememangnya amat penting. Nama dalam erti sebenar. Menamakan anak yang baharu lahir misalnya. Tentulah nama baik dan bagus dipilih dengan harapan si anak akan membesar menjadi orang baik dan bagus – sebaik dan sebagus namanya. Walaupun yang mencorak si anak menjadi baik atau tidak bila dewasa kelak bukanlah nama semata-mata.
Sekarang ini, kita sedang menyaksikan polemik (untuk menggunakan perkataan lembut) mengenai nama, atau lebih tepat istilah, kerajaan yang memerintah.
Bermula apabila bekas Perdana Menteri ketika meyambut menyambut baik pelantikan Ismail Sabri Yaakob menjadi penggantinya, menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional masih wujud.
“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau (Ismail) dan insya-Allah akan terus membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,” kata Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan, melenting. Dengan pelantikan Ismail sebagai Perdana Menteri, kata beliau “maka jenama Perikatan Nasional sebagai kerajaan persekutuan berakhir. Sebelum ini pun BN bukan ahli komponen PN”.
Menurut Rahman, kerajaan dahulu ialah gabungan BN, PN, Parti Bersatu Sabah, dan Gabungan Parti Sarawak, bukannya kerajaan Perikatan Nasional. “Entah siapalah memandai-mandai melabelkan kerajaan dulu kerajaan Perikatan Nasional,” kata beliau.
Jelas Rahman merujuk kepada kenyataan Muhyiddin yang tentunya sedih kerana baharu sahaja melepas jawatan Perdana Menteri, beliau sudah perlakukan sedemikan – dalam erti kata lain “disergah”. Walaupun apa yang dikatakan Rahman mungkin ada benarnya .
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, melihat kerajaan yang bakal dibentuk Ismail kekal sebagai pentabiran Perikatan Nasional. Menurut beliau, ini berdasarkan “realiti matematik” komposisi Ahli Parlimen.
“Kami ada 77 (Ahli Parlimen) dan kawan sebelah (BN) ada 41. Kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” kata Faizal.
Begini pula kata setiausaha agung Umno Ahmad Maslan: “Kerajaan baru ini pada saya bukan Kerajaan PN tapi adalah “Kerajaan Malaysia yang dianggotai parti BN, PN, GPS, dan PBS. Ini kerajaan campuran. PN hanya dianggotai Bersatu. PAS, Gerakan, Star; dan tidak BN, GPS, dan PBS.”
Begitulah kisahnya. Ramai orang Umno kata kerajaan baharu bukan kerajaan PN – kerajaan PN sudah tidak wujud. Orang Bersatu sebaliknya kata kerajaan baharu masih kerajaan PN. Orang PAS kata…maaf PAS belum kata apa-apa.
Nampaknya bagi orang politik, nama teramat penting. Dalam konteks ini, nama bukan sekadar hanya sebuah nama. Ia adalah segala-galanya.
Bagi saya, kerajaan pimpinan Muhyiddin dahulu tidak wajar dilabelkan kerajaan PN. Yang tepat ia adalah kerajaan diterajui PN.
Namun ketika semua pihak menyifatkan kerajaan beliau kerajaan Perikatan National, Umno tidak pula membantah. Malah ikut serta menggunakan istilah itu. Mungkin waktu itu Umno “tak kuasa nak layan” atau sedar ia “menumpang” dan orang-orangnya berada dalam kerajaan atas ihsan Muhyiddin.
Tetapi itu dahulu. Kata orang, dulu lain sekarang lain. Sekarang Umno dilihat sebagai parti yang mengemudi kerajaan baharu. Naib presidennya ialah Perdana Menteri. Lantas Umno tidak mahu pentadbiran Ismail dikenali sebagai kerajaan Perikatan Nasional kerana itu akan mencetus pendapat Umno bukan nakhoda.
Ini cukup penting buat Umno. Bersatu pula mahu pentadbiran Ismail terus dikenali sebagai kerajaan PN kerana mereka selaku ketua PN akan dilhat sebagai “masih penting” dan mempunyai suara. Mereka mahu kerajaan baharu kesinambungan kerajaan dahulu. PN 2.0. Maksudnya ramai orang mereka dalam Jemaah Menteri.
Begitu persepsinya dan kita tahu dalam politik persepsi sangat penting.
Semua sekarang bergantung kepada Jemaah Menteri yang akan diumum Ismail minggu ini. Komposisi jemaah akan menunjukkan sama ada ia kerajaan PN 2.0 atau kerajaan Umno-BN. Siapa yang punyai kuasa dan suara.
Yang agak jelas, Jemaah Menteri Ismail tidak akan menampilkan Ahli Parlimen pembangkang. Maksudnya tidak ada kerajaan perpaduan seperti ramai yang harap atau jangkakan. Jangkaan itu berdasarkan intepretasi masing masing akan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa “yang menang jangan menang semua yang kalah tidak kalah semua”.
Bagi Ismail, memadai mempelawa pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangai Covid -19. Meskipun ia langkah baik, ia bukan bererti kerajaan perpaduan.
Ia bukan sesuatu yang baharu. Muhyiddin pernah buat pelawaan seperti itu. Contohnya mengambil wakil pembangkang duduk dalam jawatankuasa khas untuk menasihati Yang diPertuan Agong mengenai darurat. Tetapi mereka dibelakangkan sehingga tidak tahu-menahu langsung langkah kerajaan membatalkan Ordinan Darurat.
Zaman Muhyididn juga menyaksikan menteri kewangannya Tengku Zafrul Aziz bertemu Dr Mahathir Mohamad mengenai Pelan Pemulihan Negara. Apa kesudahannya? Waullauhualam.
Begitu juga kerjasama Khairy Jamaluddin selaku menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 dengan wakil DAP Ong Kian Ming.
Maksudnya, pelawaan Ismail kepada pembangkang bukan perkara baharu. Cuma kali ini diharapkan ia lebih berkesaan. Walaupun tidak ada kerajaaan perpaduan, ada keikhlasan dalam pelawaaan itu dan kehadiran pembangkang bukan sekadar penyeri muka. Itu yang diharapkan.
Pelawaan Ismail juga boleh memerangkap pembangkang. Jika pelawaan ditolak pembangkang akan dituduh ramai tidak mahu membantu usaha memulihkan negara dan hanya suka bermain politik. Bijak.
Ismail membuat pelawaan itu ketika menyampaikan ucapan rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri ke-9. Semasa menonton ucapannya secara langsung di televisyen, teringat saya “press briefing” beliau ketika jadi menteri kanan (keselamatan) mengenai SOP (yang berubah-ubah) dan situasi Covid-19. Hampir sama persembahannya.
Namun saya harap ucapan itu bukan tanda bermulanya satu lagi siri perutusan khas di mana tidak ada peluang media, khususnya media bukan rasmi, untuk mengaju pertanyaan kepada pemimpin No 1 negara. Perutusan khas kita tahu bukan sidang media.
Berbalik kepada soalan kerajaan PN 2.0 atau kerajaan Umno. Rakyat juga mahu tahu kerana itu akan memberi bayangan akan hala tuju atau cara pentadiran baharu. Yang diidamkan ialah kerajaan buat semua rakyat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment