Jemaah Menteri Ismail Sabri dan politik damai di Parlimen
Anggota Jemaah Menteri Ismail Sabri akan diumumkan hari ini – Jumaat 27 Ogos, seketika lagi. Selesai pengumumannya, maka berakhirlah juga segala spekulasi, pertanyaan, dan teka-teki. Ini kerajaan BN ke? Kerajaan PN 2.0 ke? Macam-macam lagi. Semuanya bakal terjawab.
Tentunya ada yang kecewa kerana tidak dipilih oleh Perdana Menteri. Mereka yang menjangka akan dilantik sebagai menteri. Penyokong masing-masing yang mahu mereka duduk dalam Jemaah Menteri. Khususnya antara 114 Ahli Parlimen yang telah menyokong Ismail “to have the numbers” untuk diperkenan Yang di-Pertuan Agong diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9.
Sebelum pengumuman ini, kita sudah dengar akan permintaan dalam kalangan mereka agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi orang dari Sarawak atau Sabah. Masanya sudah tiba untuk TPM datang dari Borneo, kata mereka.
Kita ada juga baca laporan mengenai tuntutan jawatan TPM diisi dari kalangan pemimpin Bersatu yang dulunya mengemudi kerajaan PN. Nama pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan juga disebut. Tidak perlu lah saya ulangi disini kerana semua sudah maklum siapa yang dimaksudkan.
Kedengaran juga permintaan Umno supaya Ismail memilih orang Umno untuk menduduki jawatan TPM atau sekurang-kurangnya menteri kewangan. Apatah lagi Ismail naib presiden Umno. Langkah Umnolah yang memaksa Muhyiddin Yassin letak jawatan dan Umnolah yang menonjolkan Ismail sebagai pengganti.
Ada juga mahu Ismail untuk biarkan jawatan TPM kosong. Macam-macam cerita kita dengar secara rasmi menerusi media dan secara tidak rasmi menerusi desas desus, dan ya, media sosial.
Tentunya semuanya itu “memeningkan kepala” Ismail. Apakah yang akan dilakukan golongan tidak berpuas hati?
Namun dalam pada itu, Ismail tiga hari lalu menjemput pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim serta Lim Guan Eng daripada DAP dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, ke suatu pertemuan di Putrajaya yang dilihat ramai satu sejarah.
Kita tahu menerusi kenyataan yang dikeluarkan di akhir pertemuan itu, Ismail memberitahu beliau dan ketiga-tiga pemimpin utama parti pembangkang bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara.
Ringkasnya Ismail, Anwar, Lim, dan Mat Sabu bersetuju peri-pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi, dan tatakelola kerajaan yang baik.
Ismail dapat banyak “political points” kerana mengadakan pertemuan itu, terutamanya ketika iklim politik yang sentiasa panas dan “kejayaannya” mencapai persetujuan bersama pembangkang.
Sebagai orang politik – “political points atau mileage” sememangnya penting.
Pelbagai pihak menyambut baik hasil pertemuan berkenaan. Pertemuan PM-PH mampu ubah landskap politik negara, kata Anthony Loke, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP.
Bagi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pertemuan PM-pembangkang satu dimensi baharu politik manakala Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim, menyifatkan pertemuan itu sesuatu yang positif ke arah politik matang.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, melihat ini satu permulaan era baru yang positif sambil menegaskan “prejudis terhadap pembangkang mesti berakhir, begitu juga persepsi negatif terhadap kerajaan harus berubah”.
Cuma Pemuda Bersatu, meskipun menyambut baik perkembangan berkenaan, mengingatkan “jika sinergi kerajaan-pembangkang songsang, kecelaruan akan tercetus”. Tidak perlu “ditilik” apa di belakang kenyataan itu yang dibuat Ketua Penerangan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Oh ya…Antara yang dipersetujui Ismail dengan pemimpin Pakatan Harapan ialah memperkasakan fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus cabang eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
Bercakap mengenai Parlimen, Ismail perlu diuji melalui usul undi percaya di Parlimen. Ini pernah dititahkan Yang di-Pertuan Agong. Maksudnya, beliau mesti membuktikan keabsahan sebagai Perdana Menteri. Parlimen akan bersidang semula 7 September ini setelah digantung akibat darurat.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, mahu usul undi percaya itu dilaksanakan secepat mungkin untuk “membolehkan Ismail dapat mentadbir negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak”.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pula kata tidak perlu uji keabsahan Perdana Menteri kerana “akan beri kesan terhadap imej politik negara di mata dunia sekiranya terdapat keputusan luar jangkaan seperti Perdana Menteri tidak menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat”.
Siapakah yang boleh mencipta “keputusan luar jangkaan” yang akan memalukan Malaysia yang dikatakan oleh Mahathir?
Pembangkang sudah beri jaminan tidak akan “mempersulitkan” undi percaya terhadap Perdana menteri jika beliau mengambil langkah demi kepentingan rakyat. “Kita beritahu kalau suasana begini, kalau program yang dibuat pro-rakyat, kita tak akan persulitkan undi percaya”. Itu kata Anwar.
Oleh itu siapa?
Tertarik saya kepada satu hantaran Facebook oleh Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim, tempoh hari. Begini bunyinya: “Komitmen PH untuk tidak mempersulitkan usul undi percaya di Dewan Rakyat nanti memberi lebih banyak ruang untuk PM memilih anggota Jemaah Menteri beliau yang terbaik tanpa banyak tekanan.
“Ini kerana jika ada antara Ahli Parlimen yang menyokong beliau sebelum ini menarik sokongan jika tidak puas hati dengan pemilihan Jemaah Menteri, pembangkang masih boleh membantu untuk luluskan usul tersebut dan mengekalkan kedudukan PM.”
Kata Yusri, ini politik damai untuk meredakan sekejap kehangatan politik bagi beri ruang semaksimum mungkin menangani pandemik Covid-19 dan kelesuan ekonomi.
“Persefahaman ini mengesahkan dalam politik kontemporari tidak perlu ‘No Anwar No DAP’ segala bagai – juga tidak bermaksud perlu ‘Yes Anwar Yes DAP’ segala bagai juga. Yang rakyat dan negara perlukan adalah politik damai dan politik matang.”
Itu kata Yusri. Kata saya – Ameen. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment