Hi! Welcome Back and Stay Tune! Perjanjian politik baharu bermula di Melaka? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Perjanjian politik baharu bermula di Melaka?


 

Hari ini penamaan calon PRN Melaka. Berdasarkan pengumuman Sabtu lalu oleh parti-parti politik yang mengambil bahagian, siapa lawan siapa dan dimana sudah kita ketahui.

Cuma hari ini kita akan tahu ada tidak orang yang berhasrat jadi calon akan kecewa akibat pencalonan terbatal atas sebab-sebab tertentu.

Harap-harap tidak ada yang cuai sehingga membawa kepada pembatalan pencalonan. Hari ini juga kita akan tahu jumlah calon “bebas” yang akan masuk gelanggang.

Realitinya, berdasarkan apa yang sudah diumumkan parti parti politik, PRN Melaka akan menyaksikan Barisan Nasional lawan Perikatan Nasional lawan Pakatan Harapan untuk merebut 28 kerusi DUN Melaka yang dipertandingkan. Sengit? Atau meriah? Lebih “meriah” apabila jumlah calon bebas diambil kira.

Tumpuan tentulah pertandingan membabitkan tiga gabungan politik terbesar. Lebih menarik pertarungan BN berdepan PN. Menarik kerana mereka sekejap sekutu sekejap seteru. Dulu kawan kini lawan.

Perinciannya Umno mewakili BN lawan Bersatu mewakili PN di 15 kerusi. Amat menarik kerana Bersatu asalnya Umno dan banyak kerusi yang dipertarungkan pernah dimenangi Umno tidak lama dahulu.

Tidak kurang (mungkin lebih) hebat Umno lawan PAS yang sekarang mewakili PN setelah tempoh hari memutuskan untuk menyimpan bulan purnamanya dan menggunakan lambang PN di PRN ini. Sekali gus berpisah dengan Umno, ‘pasangan’ mereka dalam Muafakat Nasional yang ditubuhkan bersama pada 2019.

Namun, walaupun PAS menolak Umno dan memilih Bersatu, Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa PAS telah “berusaha” memujuk Umno agar hanya pertandingan satu lawan satu berlaku. Yakni PN lawan PH. Maksudkan Umno bersama PN.

Ada yang melihat itu sebagai PAS ‘seakan-akan’ menyalahkan Umno berhubung perpisahan dua parti Melayu Islam berkenaan.

Tuan Ibrahim dilapor berkata beliau “sedikit kecewa” Umno memilih untuk melakukan cara berbeza. Dalam lain perkataan, Umno memilih untuk bergerak sendirian.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menggesa ahli dan penyokong PAS menyokong PN jika pertemburan PN-BN berlaku. Tentulah beliau buat gesaan sedemikian. Takkan nak suruh penyokongnya berbuat sebaliknya. Apabila PAS memilih untuk guna lambang PN menceritakan segala-galanya.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata isu di Melaka ialah “one-off”. Maknanya sesuatu yang “terpencil” dan khusus untuk Mekala sahaja dan bukan petunjuk apa yang akan berlaku pada PRU15.

Lawan di Melaka berkawan di Putrajaya. Memualkan pelbagai pihak. Seorang bekas wartawan kenalan lama saya terdorong membuat hantaran di media sosial “PN dan BN wajar putuskan di peringkat nasional dan negeri. Berpolitik mestilah dengan maruah. Umpama dah cerai tapi terus berzina”. Saya setuju meskipun keras bunyinya.

Hakikatnya di Melaka, Umno umum bertanding semua 20 kerusi DUN majoriti Melayu. Kata Mohd Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre, jika tidak mahu melawan Umno, PAS sudah tiada kerusi yang sesuai untuk ditandingi.

Kalau ambil keputusan untuk lawan, agak sukar PAS menyaingi Umno di kerusi-kerusi tersebut sekalipun bertanding guna lambang PN, kata Yusri.

Jika ingin menyelamatkan kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional, menurut beliau sudah tentu pilihan terbaik PAS adalah tidak bertanding. Teruskan bertanding melawan Umno atas nama PN mengambil dua risiko besar iaitu (i) kalah dan (ii) rosak masa depan MN, kata Yusri lagi. Tidak perlu saya ulangi apa pilihan PAS di Melaka.

Penganalis politik Sivamurugan Pandian menyifatkan pertandingan tiga penjuru BN-PN-PH bukan mudah buat PN mahupun BN kerana “mereka berkongsi blok penyokong yang sama. Pengundi PAS akan ada kata penentu di sesetengah kawasan tetapi hakikatnya ia sesuatu yang sukar untuk PN dan BN”.

Bagi Siva, tugasan paling susah untuk PAS ialah menyakinkan golongan yang tidak setuju PAS guna lambang PN di PRN Melaka. Tetapi dalam PAS kebanyakan keputusan datang dari Hadi. Akhirnya mereka akan akur. Walaupun tidak menyebutnya, rasanya apa yang dimaksudkan Siva ialah elemen wala’ dalam kalangan orang PAS.

Apa pun, berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi BN, PN, dan PH ada kemungkinan tidak ada satu gabungan yang boleh meraih jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Atau mutlak. Ramai yang percaya ini akan berlaku.

Ertinya gabungan-gabungan itu terpaksa berunding dan berbincang selepas keputusan pilihan raya diperoleh dan membentangkan berapa kerusi yang telah mereka menangi. Kira, campur, congak, kumpul jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“BN mungkin perlu ‘nego’ dengan PH untuk tubuhkan kerajaan negeri. Saya tidak akan terperanjat jika ini berlaku,” kata Siva sambil menambah “PRN ini bagai ‘acid test’ mengenai apa bentuk kolaborasi atau kerjasama yang boleh terjadi pada PRU15″.

Adakah ia bagus untuk negara? Mungkin ya mungkin tidak. Tetapi bak kata Siva itu ialah “the new deal” atau “perjanjian” baharu politik Malaysia. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.