Singgah di Sungai Besar? Boleh cuba punten, makanan istimewa Jawa
SUNGAI BESAR, 6 Jun — Sebut sahaja "punten", pastinya ramai berasa pelik malah tertanya-tanya maksud perkataan itu, namun ia tidak asing bagi kebanyakan rakyat berketurunan Jawa di daerah Sabak Bernam.
Punten, adalah makanan berasaskan nasi impit, dicicah dengan sambal, merupakan antara pilihan sajian yang terkenal di Sungai Besar, Sabak Bernam dan ia mudah didapati di kebanyakan kedai makan di sini.
Bagi pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke Sungai Besar, jangan lepaskan peluang merasai sendiri sajian ini sebaik melihat monumen kebuk padi di persimpangan pekan sebagai mercu utama untuk sampai ke kawasan itu.
Berkeluasan 65,238.6 hektar, Sungai Besar kini menjadi perhatian apabila pilihan raya kecil (PKR) kawasan parlimen akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian penyandang kerusi itu Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Tatkala sibuk dengan persiapan menjelang PRK Sungai Besar, pengunjung atau petugas pilihan raya patut mengambil peluang merasai keenakan makanan tersebut dan beberapa lagi jenis masakan Jawa yang terkenal di situ.
Selain popular dengan pelbagai makanan etnik, Sungai Besar juga menjadi tarikan pelancongan agrikultur bagi penggemar keindahan jelapang padi dan laut malah turut dikenali sebagai gedung pakaian murah.
Mendapat jolokan "jelapang padi Selangor" dan "pengeluar ikan segar Selangor", Sungai Besar menawarkan lebih 100 inap desa yang dibangunkan penduduk di kawasan ini bagi memenuhi keperluan pelancong tempatan dan luar negara.
Jika pengunjung ingin melawat Sungai Besar, jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri tinggalan warisan sejarah yang terkenal dan masih kekal di kawasan ini iaitu Lubuk Pusing dan Masjid Jalan di Panchang Bedena.
Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam Azlinda Azman berkata rata-rata pekerjaan rakyat di kawasan itu adalah sebagai petani serta nelayan namun mereka masih mengamalkan kebudayaan masyarakat Melayu, biarpun terdiri daripada pelbagai etnik.
"Keturunan etnik Jawa, Banjar dan beberapa lagi merupakan rakyat yang mendiami kawasan ini dan mereka yang masih banyak mengekalkan ciri-ciri masyarakat Melayu di sini.
"Tradisi turun ke sawah dan bermain kuda kepang serta silat antara keunikan kawasan ini dan aktiviti tersebut masih aktif dijalankan oleh rakyat di sini malah kegiatan itulah yang menarik minat pelancong untuk terus mengunjungi Sungai Besar," katanya.
Azlinda berkata seiring dengan perubahan zaman, pelbagai pembangunan sedang dijalankan di kawasan itu bagi memenuhi keperluan pelancongan yang saban hari kian meningkat sejak 10 tahun lepas.
Parlimen Sungai Besar mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Panjang dan Sekinchan dengan jumlah daftar pemilih sebanyak 42,836, merangkumi 67.1 peratus Melayu; Cina (30.68 peratus); dan India (1.91 peratus). — Bernama
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1tbf4Op
Post a Comment