Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan Huawei P9 – Ada Apa Dengan Leica? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan Huawei P9 – Ada Apa Dengan Leica?

Huawei P9 review 002Sistem kamera berkembar ialah teknologi yang meletus secara tiba-tiba tahun ini. Apple iPhone 7 Pro dan Samsung Galaxy Note 7 ialah antara peranti yang dikatakan akan menggunakan sistem kamera ini. Huawei sudah lama menghasilkan peranti dengan kamera berkembar dengan Honor 6 Plus sebelum ini.  Dengan Huawei P9 mereka bekerjasama dengan Leica bagi menghasilkan peranti dengan kemampuan kamera bertaraf dunia. Adakah percaturan mereka berjaya ataupun ini hanya gimik jualan semata-mata.

Spesifikasi

Huawei P9 EVA-L19
Skrin 5.2″ IPS Neo LCD FHD (423 ppi)
Pemproses HiSilicom Kirin 955
Pemproses 2.5 GHz Cortex A-72 Empat Teras

1.8 GHz Cortex A-53 Empat Teras

GPU Mali T-880 MP4
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama Dwi 12 Megapixel f/2.2, PDAF, Rakaman 1080P
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4 , Rakaman 1080P
Bateri 3000 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Pengimbas Cap Jari Ya
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2099

Dengan skrin 5.2″, Huawei P9 ialah antara peranti terkecil kami ulasan pada tahun ini. Kebanyakan peranti yang diperkenalkan tahun ini mempunyai saiz skrin purata sekitar 5.5″. Harus kami akui memegang P9 terasa sedikit canggung kerana saiznya yang agak kecil. Skrin yang digunakan ialah dari jenis IPS Neo LCD dengan resolusi 1080P. Huawei masih enggan menghasilkan peranti dengan skrin QHD kerana ia dikatakan hanya memendekkan hayat bateri. Kerana saiz skrin yang kecil, resolusi 1080P yang digunakan bukanlah sesuatu yang kami kategorikan sebagai negatif.

Pemproses terkini HiSilicon Kirin 955 digunakan pada P9. Pemproses lapan teras ini sedikit lebih pantas berbanding Kirin 950 yang digunakan pada Mate 8 dan Mate S. Ia dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan dalaman 32 Giagbyte. Kepada yang gemar menggunakan kad MikroSD, sokongan penambahan storan adalah sehingga 256 Gigabyte.

Perkara paling menarik ialah dari segi optik seperti yang kami katakan pada awal tadi. Sistem kamera berkembar P9 menggunakan dua sensor berbeza yang mempunyai saiz 12 Megapixel f/2.2. Sebuah sensor berwarna dan sebuah lagi ialah sensor khas hitam putih. Lensa yang digunakan adalah dihasilkan dengan kerjasama Leica. Setahu kami penggunaan sensor khas hitam putih pada peranti mudah alih tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dengan penggunaan perisian, input dari kedua-dua sensor digabungkan untuk menghasilkan gambar dengan kualiti yang lebih baik menurut Huawei.

Huawei P9 dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Ini adalah saiz bateri yang boleh dikatakan besar bagi peranti dengan skrin 5.2″. Sistem pengecasan pantas disokong melalui port USB-C pada bahagian bawa peranti. Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Kemasan pada butang kuasa adalah berbeza dengan corak tampak pada permukaannya. Ini memudahkan jari membezakannya dari butang suara apabila digunakan. Pembesar suara mono dan bicu audio 3.5 mm juga terletak pada bahagian bawah. Seperti peranti-peranti lain Huawei yang muncul tahun ini, pengimbas cap jari disertakan dan terletak pada panel belakang.

Rekaan

Keseluruhan tubuh peranti diperbuat daripada logam dan selesa dipegang. Bahagian sisi berbentuk bulat membuatkannya sedap digunakan walaupun untuk jangka masa yang lama. Skrin hadapan dilengkapi kaca 2.4D bagi memudahkan jari bergerak dari skrin ke sisi peranti. Ini ialah rekaan yang semakin popular sekarang dan boleh dianggap keperluan semasa. Sekilas pandang rekaan panel hadapan P9 adalah sama seperti Mate S dan Mate 8. Yang membezakan ketiga-tiga peranti hanyalah saiz skrin.

Huawei P9 review 001 Huawei P9 review 002 Huawei P9 review 004 Huawei P9 review 006 Huawei P9 review 003 Huawei P9 review 007 Huawei P9 review 005 Huawei P9 review 008

 

Panel belakang adalah rata dan turut diperbuat daripada logam. Kami secara ikhlas mengharapkan rekaan panel belakang P9 adalah melengkung seperti Mate S kerana ia akan membuatkannya lebih selesa dipegang. Sungguhpun diperbuat daripada logam, kemasan matte yang digunakan memastikan ia tidak menjadi terlalu licin dan memerangkap cap jari dengan mudah. Huawei menyertakan sebuah kerangka plastik lut cahaya dengan setiap pembelian. Sekiranya anda mahukan satu lapisan keselamatan apabila peranti terjatuh kami menyarankan penggunaan kerangka ini.

Secara keseluruhan rekaan Huawei P9 adalah mesra pengguna dan memastikan keselesaan ketika dipegang. Kesemua bahagian skrin boleh diakses dengan mudah dan begitu juga dengan butang fizikal. Satu komen negatif yang ingin kami berikan ialah pada waktu ini kesemua peranti keluaran Huawei mula kelihatan terlalu sama di antara satu sama lain. Ini memberikan imej yang agak bosan bagi sebuah syarikat yang mempunyai cita-cita menjadi pengeluar peranti nombor satu dunia menjelang 2020.

EMUI 4.1

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar EMUI 4.1. Seperti biasa EMUI tidak mempunyai sebarang talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun dipaparkan pada skrin peranti. Ikon aplikasi boleh dimasukkan ke dalam folder tersendiri mengikut keperluan pengguna. Pelancar rekaan Huawei ini ada membawa beberapa fungsi tambahan yang tidak disertakan pada Android Vanilla. Fungsi tambahan yang disertakan adalah seperti berikut

Knuckle Gesture

  1. Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
  2. Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
  3. Smart Recording – Merakam video paparan skrin dengan melukis huruf “O” pada skrin menggunakan buku lima. Turut boleh diaktifkan dengan menekan butang kuasa dan butang menguatkan suara serentak.
  4. Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.

One Handed UI – Mengecilkan paparan skrin supaya memudahkan akses kepada kesemua elemen antaramuka. Ini dilakukan dengan mentatal dari butang home ke multi-tasking atau home ke back dengan pantas.

Themes – Mengubah tema antaramuka. Hanya terdapat enam tema boleh dipilih. Ini adalah terhad jika dibandingkan apa yang diberikan pada fungsi tema peranti Oppo, Sony, Samsung dan Xiaomi.

Navigation Bar – Menyusun kedudukan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.

Komen negatif yang sering kami dengari mengenai peranti Huawei ialah penggunaan pelancar Emotion UI yang tidak mematuhi rekaan material design. Ketiadaan talam aplikasi kurang digemari pengguna di luar pasaran China. Huawei menyedari ini ialah antara perkara yang menghalang mereka dari menjadi kuasa besar arena penghasilan peranti. Oleh itu Emotion UI 5.0 yang sedang dibangunkan kami difahamkan akan lebih menghampiri Android Vanilla. Tetapi buat masa ini satu-satunya cara untuk mendapatkan antaramuka lebih menghampiri stock ialah dengan menggunakan pelancar Google Now.

Huawei-P9-Screens-1 Huawei-P9-Screens-3

Huawei-P9-Screens-2

Pengimbas Cap Jari

Pengimbas cap jari di panel belakang P9 mempunyai banyak persamaan dengan apa yang sebelum ini dilihat pada Mate 8 dan Mate S. Sistem imbasan cap adalah dari jenis sentiasa aktif yang mengesan kewujudan jari tanpa perlu ditekan terlebih dahulu. Ini memastikan peranti dapat dinyahkunci dengan amat pantas.

Seperti pada Mate 8, panel imbasan cap jari ini mempunyai lebih dari satu fungsi. Ia boleh digunakan untuk mentatal turun talam notifikasi dengan melakukan tatalan ke bawah pada permukaan pengimbas. Kemudian kesemua notifkasi boleh dibuang dengan melakukan aksi dwi-tap. Apabila mengambil selfe pula ia boleh diubah menjadi butang kamera. Tekan panel pengimbas dan gambar akan diambil. Pengguna juga diberi pilihan untuk menjawab telefon dengan menekan panel pengimbas. Fungsi tambahan ini pada hemat kami amat memudahkan pengguna.

Sistem tatalan ini juga boleh digunakan untuk melihat gambar ketika menggunakan aplikasi Gallery Huawei. Sokongan untuk aplikasi ketiga tidak pula disertakan dan ini kami rasa agak merugikan. Alangkah baiknya jika sistem tatalan ini turut menyokong Chrome, Instagram ataupun Twitter. Pada hemat kami kesemua peranti dengan pengimbas cap jari panel belakang harus menjadikan fungsi-fungsi yang kami senaraikan di atas sebagai piawai.

Kamera

Dua kamera berkembar 12 Megapixel dengan lensa f/2.2 terletak pada panel belakang dengan lensa dari Leica. Sistem pemfokusan PDAF digunakan dan kami difahamkan apabila gambar diambil kedua-dua kamera digunakan bagi menghasilkan gambar hibrid yang lebih terang.  Kamera hadapan pula ialah sebesar 8 Megapixel dengan lensa f/2.4. Pada tetapan paling tinggi 12 Megapixel, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada nisbah 16:9, resolusi kamera diturunkan ke 8 Megapixel. Kemampuan rakaman video maksimum pula ialah 1080P 60 FPS.

Antaramuka aplikasi kamera mudah difahami. Di dalam posisi potret, skrin pratetapan boleh diakses dengan mentatal dari kiri skrin. Antara pratetapan yang diberikan ialah HDR, Monochrome, Panorama dan Beauty. Sebanyak 11 pilihan diberikan tanpa sebarang kemampuan muat turun pratetapan tambahan seperti pada peranti Sony dan Samsung.

Tatalan dari kanan skrin pula akan memberikan akses kepada skrin tetapan. Pelbagai parameter aplikasi kamera dapat diubah melalui skrin ini. Kepada yang mahukan kawalan manual mereka hanya perlu mentatal dari bahagian bawah skrin ke atas. Apabila diaktifkan, gambar di dalam format RAW boleh diambil.

Menggunakan aplikasi kamera Huawei P9 adalah mudah. Satu perkara negatif yang ingin kami sentuh ialah ianya tidak sepantas peranti utama yang lain. Terdapat sedikit sela masa sebelum butang pengatup boleh ditekan semula.

Huawei-P9-CameraBagaimana pula dengan kemampuan kamera? Dari gambar di bawak kami rasakan anda pasti bersetuju kemampuan optik P9 adalah amat baik . Gambar yang diambil terang, tajam dan mempunyai penghasilan warna yang tepat.  Dalam pencahayaan terang tiada masalah dedahan berlebihan dan di dalam situasi  pencahayaan yang kurang baik masalah noise tidak berapa ketara.

Huawei P9 samples003

Huawei P9 samples004Huawei P9 samples005

Huawei P9 samples001 Huawei P9 samples002   Huawei P9 samples006

Penanda Aras

Hanya dua ujian penanda aras mampu kami lakukan kerana kami gagal memasang aplikasi Antutu atas sebab teknikal.  Markah yang dicatatkan dalam ujian Quadrant ialah 34414 markah manakala dalam ujian Futuremark pula ialah 16940 markah. Ini meletakkan kemampuannya di belakang peranti yang menggunakan pemproses Snapdragon 810, Exynos 7420 dan Exynos 8890.

Markah yang dicatatkan mungkin tidak berapa tinggi tetapi peranti berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan. Tiada langsung masalah pemanasan melampau, sela masa ataupun peranti berhenti berfungsi. Melancarkan dan menukar aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Bagi mereka yang mementingkan kelancaran peranti, Huawei P9 akan memberikan apa yang anda kehendaki.

Huawei-P9-Bench-3

Huawei-P9-Bench-1


Bateri

Bateri sebesar 3000 mAh yang disertakan adalah besar bagi peranti dengan skrin 5.2″. Apabila dipadankan dengan skrin kecil dan pemproses agak berkuasa, ia mampu bertahan selama 21 jam dengan skrin terpasang selama 8 jam 23 minit. Ini ialah pada penggunaan sederhana kami. Ini pada hemat kami adalah jangka hayat bateri yang baik. Selepas bateri habis digunakan anda juga tidak perlu menunggu lama untuk menggunakannya semula kerana sokongan pengecasan pantas. Tempoh pengecasan semula ialah sekitar 100 minit.

 


Pesaing

Kami membandingkan Huawei P9 dengan Samsung Galaxy S7 dan HTC 10 kerana saiz skrin yang sepadan dan saiz sensor kamera yang setara. Ketiga-tiga  peranti juga merupakan peranti utama untuk setiap pengeluar.

Peranti Pesaing
Huawei P9 Samsung Galaxy S7 HTC 10
5.2″ IPS Neo LCD FHD (423 PPI) 5.1″ SAMOLED QHD (577 PPI) 5.2″ Super LCD5 HD (401 PPI)
2.5 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 955 2.3 x 4 + 1.6 x 4 GHz Exynos 8890 2.15 x 2 + 1.6 x 2 GHz Snapdragon 820
Mali T-880 MP4 Mali T-880 MP12 Adreno 530
3 Gigabyte 4 Gigabyte 4 Gigabyte
32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 32 Gigabyte (256 GB MikroSD) 32/64 Gigabyte (2 TB MikroSD)
Kamera Utama Berkembar 12 Megapixel, f/2.2 PDAF Kamera Utama 12 Megapixel, f/1.7, OIS, PDAF Kamera Utama 12 Megapixel f/1.8, OIS, Laser
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4 Kamera Hadapan 5 Megapixel, f/1.7 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.8, OIS
3000 mAh (Tidak boleh dibuka) 3000 mAH (Tidak boleh dibuka) 3000 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 2099 RM 2699 RM 2696* (Diubah dari Dollar Amerika)

Kesimpulan

Huawei P9 ialah peranti utama yang bersaing secara terus dengan Samsung Galaxy S7 dan HTC 10. Di atas kertas P9 kalah dari segi spesifikasi. Namun dalam penggunaan dunia sebenar kami tidak menemui perbezaan yang ketara di antaranya dan peranti utama pengeluar lain. Rekaan peranti adalah baik serta memastikan keselesaan kepada pengguna. Kesemua butang navigasi dan fizikal pada sisi peranti mudah diakses dengan penggunaan sebelah tangan. Saiz skrin yang kecil juga memastikan keseluruhan paparan dapat disentuh tanpa melakukan akrobatik jari. Terdapat fungsi penggunaan sebelah tangan yang mengecilkan lagi paparan skrin sekiranya ia diperlukan

Huawei P9 review 001Perkara paling ketara mengenai P9 ialah sistem kamera berkembar yang dihasilkan dengan kerjasama Leica. Apabila nama besar di dalam dunia fotografi ini digunakan kami yakin ramai yang mahukan kemampuan mengambil gambar yang baik. Berita baik di sini ialah kualiti gambar yang diambil adalah baik. Mod monokrom pastinya menjadi kegemaran mereka yang mahu mengambil gambar berwarna. Namun secara peribadi kami tidak berapa menggunakannya. Berita buruk di sini ialah masih belum mampu menandingi apa yang kami temui pada Galaxy S7 Edge. Kamera juga tidak dilengkapi sistem OIS dan rakaman video 4K. Sebagai peranti utama dua fungsi yang hilang ini kami kategorikan sebagai wajib wujud. NFC juga tidak disokong dan ini sedikit mengecewakan.

Pada harga jualan RM 2099, Huawei P9 adalah lebih murah berbanding dengan peranti utama yang lain. Adakah ia peranti yang baik? Jawapannya ialah ya. Sekiranya anda tidak berapa peduli ketiadaan NFC, kamera dengan OIS dan video 4K, kami rasakan P9 mampu memenuhi keperluan harian anda.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan peranti yang kemas serta selesa dipegang.
  • Pengimbas cap jari yang pantas amat pantas.
  • Antaramuka yang lancar berfungsi tanpa sebarang masalah.
  • Ketahanan bateri yang lama dengan skrin terpasang melangkaui 8 jam.
  • Sokongan pengecasan pantas.
  • Kemampuan kamera yang baik
  • Tiada NFC.
  • Kamera tidak sepantas peranti pesaing.
  • Tiada sokongan rakaman 4K walaupun P9 sebuah peranti utama.
  • Pembesar suara mono kurang berkuasa.

Huawei-P9-Skor

 






Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/297YgQM

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.