Xiaomi Mi Max Dan Xiaomi Redmi 3S Akan Hadir Ke Malaysia
Yes ketika pengenalan talian telekomunikasi baru mereka, telah mengumumkan beberapa produk yang akan hadir melalui pakej dan penawaran mereka. Menariknya, antara peranti yang bakal hadir dan menyokong rangkaian Yes adalah termasuk dua peranti terbaru daripada Xiaomi, iaitu Xiaomi Mi Max dan juga Xiaomi Redmi 3S.
Xiaomi Mi Max merupakan telefon pintar bersaiz paling besar daripada Xiaomi, iaitu hadir dengan skrin 6.44-inci. Peranti ini dijana dengan cip Snapdragon 65x, memori sehingga 4GB RAM, dan ruangan storan sehingga 128GB. Pengguna turut disediakan dengan kamera belakang 16-megapixel. selain kamera hadapan 5-megapixel. Melengkapkan telefon pintar ini adalah bateri berkapasiti 4850mAh.
Dengan saiz peranti yang sangat besar ini, ia ingin memudahkan pengguna menggunakannya dalam menikmati pelbagai kandungan media. Memegangnya menggunakan sebelah tangan boleh dikatakan agak sukar disebabkan oleh saiznya. Namun, beberapa sokongan tambahan seperti antaramuka mesra sebelah tangan turut disediakan.
Selain Xiaomi Mi Max, satu lagi telefon pintar yang diperlihatkan adalah Xiaomi Redmi 3S. Xiaomi Redmi 3S menggunakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD, menggunakan memori sehingga 3GB RAM, bateri berkapasiti 4100mAh, kamera belakang 13-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.
Peranti ini adalah peranti mampu-milik daripada Xiaomi, dan turut hadir dengan sokongan pengimbas cap jari.
Buat masa ini, tarikh rasmi penawaran peranti berkenaan untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui. Namun, Yes mengatakan rangkaian mereka akan menyokong kedua-dua peranti ini, sekaligus memberikan petanda Yes mungkin menawarkannya melalui pakej pascabayar mereka kelak.
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/296gLFB
Post a Comment